Seni “Layan Blues” yang hilang pada zaman gangguan teknologi pintar

“Layan Blues” bukan sekadar tentang perasaan sedih dan melankolis. Ia tidak semestinya tentang emosi terganggu.

Feature Image (2)

BAGI kita yang membesar di Malaysia sekitar tahun 1990-an, kesunyian bukanlah sesuatu yang boleh dielakkan, malah ia adalah norma kehidupan yang kita semua alami. Teringat saya dalam helaian komik tempatan pada waktu itu, di antara humor dan penceritaan misteri, terdapat ruang penulisan yang tenang dan refleksi, yang terlalu dekat dengan jiwa ini, iaitu “Layan Blues”.

“Layan Blues” bukan sekadar tentang perasaan sedih dan melankolis. Ia tidak semestinya tentang emosi terganggu. Ia adalah tentang kita berduduk diam, membiarkan fikiran kita melayang dan membiarkan fikiran terungkap secara semula jadi. Ia boleh jadi tentang cinta, penyesalan, cita-cita, dilema kecil kehidupan, konflik hidup dan sebagainya.

Penulisan dan komik sedemikian merakam konsep ini dengan indah. Seorang watak akan duduk bersendirian di tepi tingkap, di bangku atau di bawah pokok, merenung ke kejauhan. Kapsyen ringkas “Aku Tengah Layan Blues”, sudah cukup untuk membuat para pembaca memahami apa yang dimaksudkan kerana kita semua mengalaminya.

Suasana ini merupakan tema berulang dalam lanskap komik Malaysia pada waktu itu. Karya-penulisan dalam novel grafik, Aku Hidup Dalam Blues oleh Azzam Supardi atau lebih dikenali dengan nama pena Toyon, ilustrasi oleh kartunis lagenda Shaari Sulong atau lebih dikenali sebagai Aie. Kemudian, konsep ini terus diperhalusi dan disempurnakan oleh Aie dengan karya-karya yang seterusnya seperti Blues Untuk Aku dan Aku dan Sesuatu.

Grafik novel ini sering menggambarkan hirisan kehidupan seharian, di mana saat-saat refleksi tenang muncul secara semula jadi antara humor dan pemerhatian sosial. Watak-wataknya adalah masyarakat marhaen yang mengharungi kehidupan seharian, sederhana dan tidak dramatik. Kadang-kadang, di akhir perjuangan harian mereka itu, mereka akan duduk diam, berfikir dengan sebatang rokok menemani. Pemikiran itu dinyatakan dalam monolog introspektif dan dalam pemikiran itu, pembaca terasa dekat, berkait dan penuh intim.

Melalui karya-karya ini, wujud satu kesedaran, bahawa komik Malaysia pada waktu itu tidak tergesa-gesa untuk menghilangkan kesunyian. Mereka membiarkannya wujud selama boleh dan dengan berbuat demikian, mereka menormalkan refleksi sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.

Kehilangan Ruang Mental

Walau bagaimanapun, kehidupan moden telah mengubah cara kita mengisi masa dan perhatian kita. Dahulu kita mempunyai banyak jurang masa, contohnya menunggu bas, duduk di gerai tepi jalan, berbaring di atas katil tanpa melakukan apa-apa, merenung ke luar tingkap rumah dan sebagainya tetapi kini terdapat skrin telefon pintar, media sosial, platform penstriman dan notifikasi yang tidak berkesudahan telah memenuhi hampir setiap saat yang terbiar.

Kebosanan, yang dahulunya merupakan pencetus semula jadi untuk introspeksi diri, sebahagian besarnya telah dihapuskan kini. Waktu itu, kita merasai kebosanan tetapi tidak pernah berasa kosong. Kebosanan itu ibarat satu pintu masuk kepada fikiran dalaman kita. Tanpa gangguan atau rangsangan luar, minda kita mula mengembara, mengimbau kenangan, memproses emosi, mempersoalkan keputusan dan meneroka kemungkinan. Pengembaraan dalaman itu adalah intipati “layan Blues.”

Hari ini, apabila momen ketenangan muncul, ia sering terganggu dengan cepat. Sekilas pandang ke telefon. Notifikasi baharu. Video tular pendek untuk mengisi masa. Tabiat ini tidak semestinya berbahaya tetapi ia secara beransur-ansur mengurangkan ruang yang tersedia untuk pemikiran yang lebih mendalam. Pemikiran yang boleh matang dan menjadi refleksi kini sering dipendekkan.

Refleksi vs. Rangsangan Berlebihan

Adalah penting untuk membezakan antara refleksi dan pemikiran berlebihan (overthinking). Pemikiran berlebihan adalah cemas, berulang dan tidak berpenghujung. Ia memerangkap minda dalam gelung yang tidak dapat diselesaikan. Walau bagaimanapun, refleksi adalah lebih perlahan dan lebih terbuka. Ia membolehkan pemikiran dan emosi terungkap tanpa tekanan untuk penyelesaian.

“Layan Blues” ialah satu seni refleksi diri. Ia bukan tentang menjadi kebimbangan tetapi tentang memberi diri masa untuk duduk dengan pemikiran kita sehingga ia menjadi lebih jelas. Ia adalah proses yang lembut dan tidak tergesa-gesa untuk memahami dunia dalaman kita sendiri.

Kala ini, kita hidup di dalam persekitaran yang bergerak pantas, didorong oleh kecekapan dan kemajuan teknologi. Produktiviti seharian seseorang itu diukur dengan Tindakan dan hasil (output) yang dapat dilihat. Keadaan ini memenatkan mental dan fizikal. Bagi seseorang untuk duduk, termenung dan berfikir dengan tenang, dilihat sebagai tidak produktif tetapi kita lupa, bahawa waktu bertenang dan refleksi memainkan peranan penting dalam pengawalaturan emosi, kesedaran diri dan kejelasan (clarity) jangka panjang.

Akibat Emosi dan Kognitif

Apabila saat-saat refleksi sering diganggu oleh teknologi, fikiran dan emosi kita mungkin tidak diproses sepenuhnya. Lama-kelamaan, ini boleh menyumbang kepada rasa keletihan mental. Bukan kerana terlalu banyak berfikir tetapi kerana tidak membiarkan fikiran tersebut mencapai kematangan yang sepenuhnya.

Minda kita memerlukan keseimbangan. Sama seperti tubuh badan memerlukan rehat selepas melakukan aktiviti fizikal, minda memerlukan tempoh ketenangan selepas menerima rangsangan berterusan atau tanpa henti. Tanpa keseimbangan, mental kita berisiko menjadi reaktif berbanding reflektif. Di mana minda kita bertindak balas dengan cepat terhadap input tanpa memahami dan memproses sepenuhnya kondisi dalaman kita.

“Layan Blues” menyediakan keseimbangan itu. Ia adalah amalan kesihatan mental yang tertanam di dalam budaya Malaysia suatu ketika dahulu.

Tidak Hilang, Cuma Kurang Kelihatan

Konsep dan amalan “Layan Blues” kini sudah terasa asing dan janggal, malah mungkin hampir pupus dalam kehidupan seharian masyarakat. Sekarang ia cuma muncul pada saat-saat di mana gangguan teknologi adalah terhad, seperti semasa memandu seorangan, berjalan-jalan tenang, pada awal pagi atau lewat malam atau saat-saat peribadi yang penting.

Pada waktu tersebut, minda secara semula jadi akan berlalu perlahan. Pemikiran mula muncul tanpa gangguan. Emosi menjadi lebih mudah difahami. Individu tersebut akan berhubung semula dengan dialog dalaman diri yang sering tenggelam dalam hingar-bingar notifikasi harian peranti pintar.

Mewujudkan Semula Ruang Berfikir

Jadi, adakah untuk “Layan Blues” kita perlu menolak teknologi moden? Jawapannya adalah tidak. Sebaliknya, ia memerlukan kita untuk mewujudkan ruang untuk berfikir sejenak dan mendalami diri dalam hari kita. Tabiat kecil boleh membantu memulihkan ruang mental. Dengan mengetepikan masa tanpa peranti, berjalan-jalan tanpa input audio atau hanya membiarkan beberapa minit kesunyian tanpa gangguan setiap hari. Detoks daripada peranti.

Saat-saat ini mungkin terasa tidak penting tetapi di situlah refleksi boleh muncul semula. Tanpa input yang berterusan, minda akan menyambung semula ritma semula jadinya untuk mengembara dan mengatur pemikiran. Di sinilah kejelasan sering timbul, bukan melalui paksaan tetapi melalui keheningan.

Amalan Bertenang yang Patut Dipelihara

Akhirnya, “Layan Blues” bukanlah sekadar frasa budaya yang pernah wujud daripada halaman komik lama. Ia merupakan cerminan bagaimana karyawan-karyawan terdahulu mengharungi dan mengatasi ujian harian kehidupan mereka. Karya-karya agung tersebut memelihara pengalaman manusia yang halus namun penuh bermakna.

Dalam dunia hari ini yang sentiasa terhubung melalui teknologi, “Layan Blues” sudah amat jarang berlaku tetapi ia tidak lapuk dan masih wujud. Cuma ia menunggu ruang dan waktu yang sesuai untuk kita pilih dan isi. Sama ada kita mampu membenarkan diri kita untuk merasai kesunyian tersebut. Kerana kadangkala, pada saat-saat sunyi itulah ketenangan hadir dan pemikiran mulai tercetus.

Untuk Allahyarham Azzam Supardi (Toyon) dan Shaari Sulong (Aie), di mana karya-karya mereka telah membentuk jati diri saya dalam diam dan membimbing saya mengharungi turun naik badai kehidupan.