Jangan biarkan huruf dan angka pada slip keputusan jadi penentu harga diri
Huruf-huruf pada slip keputusan hanyalah gambaran prestasi akademik dalam tempoh tertentu, bukan cerminan keseluruhan potensi dan nilai seseorang insan.

PENGUMUMAN keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saban tahun bukan sekadar penyampaian keputusan akademik tetapi telah menjadi satu fenomena sosial yang sarat dengan pelbagai emosi dan persepsi. Di sebalik angka dan huruf yang tertera pada slip keputusan, tersembunyi satu persoalan besar yang jarang diperdebatkan secara terbuka, sejak bila nilai diri seorang pelajar diukur berdasarkan huruf A, B atau C?
Dalam masyarakat hari ini, keputusan SPM sering dijadikan kayu ukur utama kejayaan seseorang pelajar. Mereka yang memperoleh keputusan cemerlang diraikan, diangkat sebagai contoh, malah dijadikan kebanggaan keluarga dan sekolah. Namun, dalam keghairahan meraikan kejayaan tersebut, wujud satu sisi lain yang lebih sunyi, pelajar yang tidak mencapai keputusan seperti diharapkan sering kali berhadapan dengan tekanan emosi, rasa rendah diri dan stigma masyarakat.
Hakikatnya, huruf-huruf pada slip keputusan hanyalah gambaran prestasi akademik dalam tempoh tertentu, bukan cerminan keseluruhan potensi dan nilai seseorang insan. Namun, apabila masyarakat terlalu menyanjung kecemerlangan akademik secara sempit, pelajar mula mengaitkan harga diri mereka dengan keputusan peperiksaan. Keadaan ini secara tidak langsung melahirkan generasi yang takut gagal, bukan kerana ingin berjaya, tetapi kerana bimbang dipandang rendah.
Dalam Islam, nilai seseorang tidak ditentukan oleh pencapaian akademik semata-mata, tetapi diukur melalui keimanan dan ketakwaan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 13: “Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa”. Ayat ini memberikan perspektif yang jelas bahawa kemuliaan seseorang tidak bergantung kepada pencapaian duniawi semata-mata tetapi kepada hubungan dengan Allah dan akhlak yang dimiliki.
Ini bukan bermaksud pencapaian akademik tidak penting. Islam sendiri menggalakkan umatnya menuntut ilmu dan berusaha mencapai kecemerlangan. Namun, keseimbangan perlu dijaga agar usaha mengejar kejayaan dunia tidak mengorbankan kesejahteraan emosi dan nilai kemanusiaan. Pelajar perlu dididik untuk melihat keputusan SPM sebagai satu langkah dalam perjalanan hidup, bukan penentu mutlak masa depan mereka.
Bagi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, kejayaan tersebut sewajarnya disyukuri dengan penuh rasa rendah hati. Mereka perlu sedar bahawa di sebalik kejayaan itu terdapat doa ibu bapa, pengorbanan guru dan sokongan rakan-rakan. Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7 mengingatkan: “Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu.” Justeru, rasa syukur dan kesedaran diri perlu menjadi asas dalam meraikan kejayaan.
Bagi pelajar yang kurang berjaya pula, penting untuk memahami bahawa kegagalan dalam satu peperiksaan bukanlah pengakhiran segalanya. Setiap individu mempunyai laluan yang berbeza dalam mencapai kejayaan. Ada yang cemerlang dalam akademik, dan ada juga yang lebih menyerlah dalam bidang kemahiran, keusahawanan atau kreativiti. Apa yang penting ialah kesediaan untuk bangkit dan terus berusaha.
Allah SWT memberikan jaminan harapan dalam Surah Al-Insyirah ayat 5-6: “Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.” Ayat ini seharusnya menjadi sumber kekuatan kepada mereka yang sedang berdepan dengan kekecewaan. Setiap kesulitan yang dihadapi pasti disertai dengan peluang dan jalan keluar, asalkan tidak berputus asa.
Dalam konteks ini, peranan ibu bapa dan masyarakat amat penting. Sokongan emosi perlu diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira keputusan yang diperoleh. Elakkan daripada membuat perbandingan atau mengeluarkan kata-kata yang boleh menjatuhkan semangat. Sebaliknya, berikan dorongan dan bimbingan agar mereka dapat mengenal pasti potensi diri dan merancang langkah seterusnya dengan lebih baik.
Selain itu, sistem pendidikan juga perlu memberi penekanan kepada pembangunan menyeluruh pelajar, bukan sekadar pencapaian akademik. Kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, daya tahan dan nilai integriti perlu dipupuk sejak awal agar pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.
Kesimpulannya, keputusan SPM hanyalah satu ukuran kecil dalam kehidupan yang luas. Huruf pada slip keputusan tidak seharusnya menentukan harga diri seseorang. Apa yang lebih penting ialah bagaimana seseorang itu bangkit, belajar daripada pengalaman dan terus melangkah ke hadapan.
Dalam dunia yang penuh dengan peluang, setiap individu berhak untuk mencipta kejayaan mereka sendiri, bukan berdasarkan huruf, tetapi berdasarkan usaha, keazaman dan nilai diri yang sebenar.

