Kesempurnaan trailer filem, antara jangkaan dan kenyataan

Sejauhmana trailer dapat menjanjikan sesuatu naratif filem itu sepertimana yang ditonjolkan melaluinya?

Feature Image

“BEST lah cerita tadi, lakonan memang berkesan tapi rasa kecewa pula babak penamat habis macam tu ja”.

Ini mungkin antara dialog yang biasa diungkapkan oleh penonton sejurus keluar dari pawagam. Rasa puas hati atau sedikit kecewa adalah antara luahan pendapat penonton berdasarkan pengalaman tontonan mereka.

Penonton akan mengulas sebaik mungkin pendapat mereka dan kebiasaannya dengan bersandarkan harapan sebelum memulakan tontonan. Segala jangkaan perjalanan cerita sebelum menonton berkemungkinan akan bertembung dengan realiti sebenar naratif filem berkenaan dan dititik inilah akan timbulnya perbandingan harapan penonton dan kenyataan sesebuah filem.

Keadaan ini berlaku kerana penonton kebiasaannya mudah terbawa-bawa dengan tanggapan awal sebelum memulakan tontonan. Tanggapan yang berkemungkinan menjurus kepada tafsiran berdasarkan tajuk filem, barisan pelakon, sinopsis jalan cerita mahupun pengarahan yang dinilai sebelum filem ditayangkan di layar skrin. Kebiasaannya, kesemua maklumat ini termuat dalam trailer filem yang mungkin sedikit-sebanyak mempengaruhi bakal penonton membuat jangkaan awal sebelum mendapatkan tiket.

Persoalan yang selalu diajukan adalah sejauhmana trailer dapat menjanjikan sesuatu naratif filem itu sepertimana yang ditonjolkan melaluinya? Hal ini bakal terjawab jika kita memperhalusi berkenaan cara trailer digarap dalam membina persepsi dan keyakinan penonton.

Apabila sesebuah filem berjaya diterbitkan dan sebelum menjengah di pawagam, sudah pasti pihak produksi akan melakukan aktiviti hebahan bagi tujuan promosi terlebih dahulu. Hal ini merupakan keperluan untuk memaklumkan kepada potensi penonton berkenaan judul filem yang bakal menemui penonton mengikut jangkaan masa yang telah dijadualkan.

Peringkat ini merupakan salah satu nadi yang memungkinkan filem berkenaan mendapat sambutan masyarakat dan bakal menarik perhatian umum khususnya kepada penggemar filem tempatan.

Terdapat pelbagai kaedah yang digunapakai untuk tujuan promosi dan yang paling membantu untuk menarik perhatian adalah melalui persembahan trailer yang berkesan. Trailer merupakan kaedah yang hampir pasti memberikan kesan penumpuan idea kepada bakal penonton kerana maklumat yang diperlukan, disajikan dengan kemas dari sudut gambaran atau jangkaan naratif.

Berdurasi pendek dan selitan babak ringkas, namun impaknya tidak boleh dinafikan. Penonton dengan mudah akan mengetahui genre filem, para pelakon, babak penting, ungkapan dialog bermakna dan juga keunikan tajuk yang sangat berperanan dalam merangkumkan keseluruhan jangkaan perjalanan cerita tersebut.

Secara umumnya, keberkesanan trailer ini banyak bergantung kepada kreativiti dalam menyokong sesuatu genre yang ditawarkan. Dengan menonton trailer sahaja, penonton akan dapat mengenalpasti genre dan membina pengharapan berkenaan jangkaan pengalaman yang bakal dikongsi melaluinya. Banyak kriteria yang digunakan dalam menghasilkan trailer yang bertujuan memberi gambaran ringkas tentang cerita yang bakal dipersembahkan.

Paling penting dalam penghasilan trailer adalah berkenaan dengan pautan awal yang mampu menarik perhatian penonton samada melalui visual, audio ataupun deretan dialog yang kuat dan bakal menjadi ingatan penonton secara bersahaja. Pemilihan babak bagi mewakili keperluan tersebut perlu jelas dan mempunyai keistimewaan tersendiri yang merungkai sesuatu genre.

Sebagai contoh, trailer genre seram kebiasaannya akan dimulakan dengan situasi yang harmoni lantas bertukar menjadi ketakutan dalam beberapa saat dipertontonkan. Pelbagai persoalan dan tekaan akan timbul difikiran penonton tentang situasi sebenar yang berlaku antara watak yang terlibat.

Persoalan berkenaan beberapa kemungkinan yang mungkin berlaku dan tekaan watak yang dipertanggungjawabkan. Ketelitian pergerakan watak yang disokong dengan bantuan suntingan pantas, pergerakan perlahan kamera, dan bunyi tergempar memekik menjadikan suasana dramatik yang perlu untuk terus diterokai.

Tanpa terhad, trailer juga bakal memberi maklumat berkenaan konflik utama yang diperlukan penonton dengan kewajarannya. Jalinan permasalahan yang dihadapi diungkap dengan cabaran yang bakal direncanakan menjadikan penonton semakin ingin mengetahui kesudahan cerita berkenaan.

Hal ini merupakan tarikan berhubung kandungan yang dibawa oleh sesuatu filem berkenaan. Intipati naratif penceritaan digayakan dengan ringkas, menyelinap melalui watak yang diperkenalkan dalam usaha untuk mencipta kemesraan antara watak yang dilakonkan dengan sasaran penonton.

Contohnya seperti konflik alam remaja iaitu suatu zaman yang masih melalui proses mencari identiti dalam menongkah cita-cita dan harapan kehidupan. Dengan mengambilkira waktu remaja adalah zaman menuju ke alam dewasa dan tentunya rata-rata masyarakat mempunyai pengalaman tersendiri yang mendasari kehidupan mereka.

Maka cita rasa yang diketengahkan harus selari dengan sasaran penonton yang mungkin mempunyai persamaan latar suasana dengan naratif filem berkenaan. Kemungkinan perlakuan, dialog, situasi dan lain-lain yang relevan bakal menjadi imbauan kepada penonton yang pernah melaluinya dan juga yang masih berada dalam radar kehidupan yang sama.

Paling sukar dalam pembikinan trailer adalah menggabungjalinkan antara babak yang pelbagai dalam usaha menarik perhatian penonton. Babak yang mempunyai pengertian yang hebat dari sudut aksi lakonan, tujahan dialog, pengamatan situasi dan unsur yang menyokong genre perlu disusun kemas secara susunan rawak.

Tidak perlu terikat dengan perjalanan naratif sebenar kerana tidak mahu merosakkan unsur dramatik yang berupaya menjejaskan tumpuan penonton. Emosi yang diadun dalam babak juga wajar dipelbagaikan walaupun agak kontra dengan genre bagi tujuan mengendurkan suasana. Babak lucu misalnya diselitkan antara aksi pergaduhan bagi menjelmakan tawa dalam mempelbagaikan reaksi penonton. Hal ini bakal menggamit penonton untuk pergi mendapatkan tiket di pawagam.

Dan sudah pasti, susunan muzik harus selari dengan babak yang diketengahkan. Ini bakal memberi impak kepada keseluruhan trailer. Kesepaduan antara lagu atau muzik dengan lakonan, dialog dan suntingan wajar dilakukan sebaik mungkin. Hal ini akan memberi kesan kepada penonton untuk jelas merasai genre yang dibawakan.

Genre seram diselubungi ketakutan, genre aksi berdepan detik cemas, genre komedi dititip seribu kelucuan, genre drama ketika linangan air mata dan begitulah seterusnya. Deria penglihatan dan pendengaran harus diadun dengan teknik penyampaian yang baik demi mewarnai perubahan emosi dengan gaya mempersonakan.

Diakhiri dengan deretan perkataan bersesuaian dengan genre yang tertentu yang terangkum maklumat berkenaan dengan tayangan filem berkenaan. Maklumat yang berupa tajuk filem, tarikh tayangan, penerbitan dan pawagam yang bakal menayangkan filem berkenaan beserta khasifikasi tontonan. Kesemua maklumat ini perlu bagi memudahkan penonton merancang untuk pergi menonton mengikut kesesuaian individu.

Sememangnya trailer berfungsi dalam menarik minat tontonan. Cuma bakal penonton dinasihatkan untuk bersedia dengan naratif filem sebenar agar tidak terlalu bergantung harap dengan jangkaan tontonan kerana asas pembikinan trailer adalah bersifat kreatif dalam hala tuju demi menjelmakan semangat tontonan dengan susunan ringkas babak.

Gaya persembahan berdurasi pendek ini akan memautkan semua babak menarik dan mendominasi pemikiran masyarakat untuk mengetahui perjalanan penuh filem tersebut. Di sisi lain, sudah tentu pemilihan babak terbaik dilakukan dalam menjelmakan kehendak untuk menonton filem, disokong dengan kreativiti persembahan dan bukannya kesempurnaan jalan cerita.

Akhir kata, mulakan tontonan tanpa perlu bersandarkan dengan jangkaan awal yang mengawal keseronokan kerana dipenghujung tayangan filem, setiap individu akan sampai ke rumusannya sendiri.