UM kembalikan senyuman kanak-kanak Orang Asli Pos Kuala Mu

Universiti Malaya terus memperkukuh komitmennya dalam mendekati masyarakat melalui penganjuran program kesihatan pergigian di kawasan pedalaman.

Feature Image (3)

Oleh: PROF. MADYA DR. NOR AZLIDA MOHD. NOR dan DR. MOHD. AMIRUL FAHMI CHE MOHD. FADZILAH

KUALA LUMPUR, 10 April 2026 – Seawal pagi di Pos Kuala Mu, Sungai Siput, deretan kanak-kanak Orang Asli beratur dengan keterujaan di perkarangan sekolah, senyuman lebar dan debaran terpancar di wajah mereka saat menanti aktiviti yang bakal berlangsung.

Bagi mereka, kunjungan pensyarah dan mahasiswa universiti bukan sekadar lawatan biasa tetapi satu pengalaman berharga yang jarang dinikmati. Dalam suasana inilah pasukan Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh komitmennya dalam mendekati masyarakat melalui penganjuran program kesihatan pergigian di kawasan pedalaman ini.

Seramai 122 orang murid di Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu, berumur antara 6 hingga 12 tahun, terlibat dalam program pemerkasaan kesihatan pergigian ini pada bulan Februari yang lalu. Pelaksanaan program ini menekankan aspek promosi pendidikan dan pencegahan masalah kesihatan pergigian yang disesuaikan dengan peringkat umur kanak-kanak.

Modul latihan yang digunakan dirangka secara sistematik bagi memastikan penyampaian maklumat mudah difahami, menarik dan relevan dengan amalan harian mereka. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Kuala Kangsar, Tok Batin dan rakan industri yang memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan kepakaran, sumber manusia dan logistik.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pemeriksaan gigi, latihan memberus gigi, pameran, kuiz kesihatan serta permainan interaktif bertemakan penjagaan gigi. Selain itu, latihan memberus gigi secara praktikal turut dilaksanakan menggunakan teknik pewarnaan plak bagi membantu murid memahami kaedah pembersihan gigi yang efektif dan mengaplikasikannya dalam rutin harian.

Pendekatan interaktif ini berjaya menarik minat serta meningkatkan penglibatan aktif murid. Namun demikian, terdapat juga cabaran, khususnya dalam kalangan murid yang masih belum menguasai kemahiran membaca dan mempunyai tahap literasi yang rendah. Keadaan ini memerlukan pendekatan penyampaian berasaskan demonstrasi, visual serta penggunaan bahasa yang mudah.

Selain aktiviti kesihatan pergigian, program ini turut menyantuni keperluan asas kanak-kanak melalui sumbangan makanan asas dan alat tulis. Pendekatan ini selari dengan bukti saintifik bahawa kesihatan seseorang individu berkait rapat dengan persekitaran dan kesejahteraan hidup secara menyeluruh.

Sesi sembang santai dan perkongsian pengalaman dari mahasiswa UM, turut menyemai aspirasi pendidikan kepada anak-anak Orang Asli. Mereka bertanya pelbagai soalan dengan keterujaan, malah sebahagian pelajar tahun empat hinga enam menyuarakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan ingin menerokai bidang profesional.

Guru Besar SK Pos Kuala Mu, Ahmad Johari Dawod menyambut baik pelaksanaan program ini dan merakamkan penghargaan terhadap usaha kolaboratif yang dijalankan.

“Penganjuran aktiviti sebegini bukan saja bermanfaat, malah dapat menarik minat anak-anak Orang Asli untuk hadir ke sekolah,” katanya.

Beliau juga berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang memandangkan akses kepada fasiliti kesihatan pergigian adalah terhad akibat jarak klinik yang jauh serta cabaran geografi. Menurut beliau, tempoh lawatan pasukan pergigian sekolah adalah terhad, dan dengan adanya program tambahan daripada fakulti pergigian universiti tempatan dapat memperkukuh usaha sedia ada.

Usaha ini juga selari dengan aspirasi Malaysia Madani bagi memastikan kesihatan pergigian yang lebih inklusif dan mampan untuk semua lapisan masyarakat.

Inisiatif ini juga seiring dengan konsep “UM Cakna” iaitu pendekatan universiti dalam menyantuni masyarakat melalui keterlibatan langsung dengan komuniti. Melalui usaha ini, pihak universiti bukan sahaja dapat membuat perkongsian ilmu dengan masyarakat, malah memupuk nilai kesukarelawanan dan kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa universiti terhadap realiti kehidupan masyarakat di luar bandar.