Seteguh kasihnya ibu
Pengorbanan seorang ibu dalam menjaga, mendidik dan berjaya menjadikan anak-anak sebagai ‘kemenjadian manusia’ merupakan titik penting dalam perjalanan kerjaya.

HARI ibu yang disambut pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei setiap tahun adalah manifestasi penghormatan dan penghargaan terhadap seluruh insan bergelar ibu di seluruh dunia.
Sambutan ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap segala pengorbanan, jerih perih serta suka duka seorang ibu dalam mendidik, membesarkan dan mencurahkan kasih sayang demi mewujudkan kebahagiaan dalam sesebuah institusi keluarga.
Pelbagai bentuk penghargaan seperti ucapan, doa dan pemberian hadiah dizahirkan oleh ahli keluarga sebagai tanda menghargai jasa serta peranan besar seorang ibu dalam menyemai nilai kasih sayang, keharmonian dan keceriaan dalam kehidupan berkeluarga.
Pengorbanan seorang ibu dalam menjaga, mendidik dan berjaya menjadikan anak-anak sebagai ‘kemenjadian manusia’ merupakan titik penting dalam perjalanan kerjaya sebagai seorang ibu dalam melihat kejayaan yang dimiliki oleh anak-anak.
Melihat setiap anak membesar sehingga dapat berdikari dan mencapai kejayaan dalam hidup adalah suatu kebanggaan kepada ibu bapa. Tidak terkira besarnya pekerjaan hakiki seorang ibu bagi memastikan setiap ahli keluarga sentiasa terjaga dari aspek pakaian, makanan, kebersihan dan segala keperluan asas yang akan sentiasa dipastikan sempurna.
‘Pekerjaan’ sebagai ibu dalam dunia sebenar adalah tidak pernah terhenti dari saat beliau bangkit dari tidur di awal pagi sehingga lena kembali di waktu malam. Kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa dalam menjaga kesihatan dan keselamatan anak-anak kadangkala melebihi dari diri mereka sendiri.
Rutin kehidupan seorang ibu yang bekerjaya sememangnya lebih mencabar kerana mereka perlu memastikan tanggungjawab profesional di tempat kerja dapat dilaksanakan dengan sempurna, walaupun pada masa yang sama berhadapan dengan pelbagai tekanan dan tuntutan kerjaya.
Setiap ibu yang mempunyai profesion seperti doktor, pensyarah, guru, pegawai, anggota pasukan keselamatan, peniaga, pekerja am, mahupun suri rumah, hakikatnya merupakan wirawati yang menjadi tunjang utama dalam mengemudi kebahagiaan serta menceriakan sesebuah institusi kekeluargaan.
Fitrah seorang ibu yang dikurniakan sifat penyayang, lemah lembut serta mempunyai empati yang tinggi terhadap anak-anak menjadikan kehadiran mereka sebagai denyut nadi dalam keluarga. Kasih sayang dan pengorbanan yang dicurahkan bukan sahaja memberikan ketenangan dan kedamaian kepada emosi anak-anak, malah turut memainkan peranan penting dalam membentuk suasana keluarga yang harmoni, sejahtera dan penuh dengan nilai kasih sayang.
Pelbagai isu semasa yang berlaku pada hari ini memperlihatkan wujudnya fenomena segelintir anak yang sanggup melakukan kekasaran terhadap ibu bapa, malah terdapat juga kes tragis yang melibatkan pembunuhan terhadap ibu sendiri. Situasi ini dipercayai berpunca daripada kegagalan mengawal emosi, tekanan hidup serta pengaruh sosial negatif yang mendorong kepada perlakuan agresif sehingga membawa kemudaratan kepada diri sendiri dan institusi keluarga.
Fenomena tersebut bercanggah dengan nilai kemanusiaan, moral dan ajaran agama yang menuntut setiap anak agar menghormati serta berbakti kepada ibu bapa. Hakikatnya, hampir semua agama di dunia menekankan kewajipan seorang anak untuk berbuat baik kepada ibu bapa, khususnya ketika mereka berada dalam keadaan lanjut usia dan memerlukan perhatian serta kasih sayang.
Dalam Islam, Allah SWT dengan jelas melarang anak-anak daripada berkata kasar atau mengherdik ibu bapa, sebaliknya menuntut agar mereka sentiasa bertutur dengan penuh kelembutan, hormat dan ihsan. Kesedaran ini penting agar setiap anak memahami bahawa ibu bapa, khususnya ibu, sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagiaan anak-anak mengikut kemampuan yang dimiliki.
Walaupun berhadapan dengan kesempitan hidup dan kekangan kewangan, seorang ibu dan ayah tetap berusaha melaksanakan amanah serta tanggungjawab terhadap anak-anak sejak hari pertama kelahiran anak di bumi ini.
Kedudukan seorang wirawati bergelar ibu bukan sahaja diraikan melalui sambutan istimewa dalam konteks semasa, bahkan mereka turut dimuliakan dengan kedudukan yang tinggi dalam perspektif agama Islam. Pengiktirafan terhadap kemuliaan seorang ibu dapat dilihat menerusi pelbagai kisah teladan dalam sejarah Islam, antaranya kisah Uwais al-Qarni yang meletakkan ibunya pada kedudukan tertinggi dalam kehidupannya.
Kisah beliau sering dijadikan contoh terbaik dalam menggambarkan nilai ketaatan dan pengorbanan seorang anak terhadap ibunya. Kemuliaan Uwais al-Qarni dikatakan begitu tinggi sehingga namanya disebut dalam kalangan malaikat kerana kesungguhan beliau menjaga dan berbakti kepada ibunya yang uzur, termasuk dalam usaha memenuhi hasrat ibunya untuk menunaikan ibadah haji.
Selain itu, keutamaan berbuat baik kepada ibu turut ditegaskan secara jelas dalam hadis Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadis, seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berhak aku perlakukan dengan baik?” Baginda menjawab: “Ibumu.”. Sahabat tersebut bertanya lagi: “Kemudian siapa lagi?” Baginda menjawab: “Ibumu.”. Pertanyaan tersebut diulang sekali lagi, lalu Rasulullah SAW tetap menjawab: “Ibumu.”. Kemudian barulah Baginda menyebut: “Ayahmu, kemudian yang paling dekat selepasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Hadis ini menunjukkan bahawa Islam meletakkan kedudukan ibu pada darjat yang sangat mulia kerana besarnya pengorbanan, kasih sayang, dan kesusahan yang ditanggung dalam membesarkan anak-anak.
Justeru, berdasarkan hadis tersebut, dapat difahami bahawa ketaatan serta penghormatan terhadap ibu bapa merupakan prinsip penting yang perlu disemai dalam diri setiap anak sejak usia kecil. Walaupun seseorang anak telah meningkat dewasa, berkerjaya, dan membina keluarga sendiri, tanggungjawab untuk terus berbakti, menghormati serta membahagiakan ibu bapa tetap menjadi kewajipan yang tidak pernah terputus. Nilai ketaatan dan ihsan terhadap ibu bapa inilah yang akan menjadi sumber keberkatan serta keharmonian dalam kehidupan seseorang.
Buat seluruh wanita yang bergelar ibu, mama, umi, mak, mummy dan bonda, sesungguhnya anda merupakan wirawati dan denyut nadi dalam institusi keluarga. Jika seorang bapa dianggap sebagai Raja dalam keluarga, ibu adalah jantung yang menghidupkan suasana ceria dalam keluarga. Pengorbanan, kasih sayang, serta keikhlasan yang dicurahkan dalam membesarkan anak-anak dan mengurus keluarga merupakan jasa yang amat besar nilainya.
Semoga setiap pengorbanan yang dilakukan dikurniakan ganjaran kebahagiaan, ketenangan, dan keberkatan hidup di dunia serta di akhirat. Selamat Hari Ibu.

