Mahasiswa OKU genggam Sarjana, kini sambung pengajian PhD
Mohd Azzani Ahmad menamatkan pengajian Sarjana Pengurusan Perakaunan Strategik di UiTM dan kini sedang meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah.
Oleh: UNGKU NADIAH
KUALA LUMPUR, 15 Mei 2026 – Seorang graduan orang kurang Upaya (OKU), Mohd Azzani Ahmad, 45, berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pengurusan Perakaunan Strategik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan kini sedang meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Anak kelahiran Johor yang kini menetap di Dengkil, Selangor itu memulakan perjalanan akademiknya sejak peringkat matrikulasi dalam bidang perakaunan sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang yang sama.
Menurutnya, keputusan untuk kembali melanjutkan pengajian dibuat pada tahun 2023 secara separuh masa di UiTM bagi memperkukuh pengetahuan dan kompetensi sebagai seorang akauntan, sebelum berjaya menamatkan pengajian tersebut pada tahun 2025.
Beliau menyatakan matlamat pengajiannya adalah untuk meningkatkan keupayaan professional dalam menyumbang kepada perkhidmatan awam, khususnya dalam aspek pengurusan, tadbir urus dan pegurusan kewangan yang lebih strategik.
“Saya percaya pengajian ini bukan sahaja memperluas pengetahuan tetapi juga memperkukuh keupayaan untuk membuat keputusan yang lebih kritikal dan berkualiti,” katanya.
Tambahnya, dalam jangka panjang beliau berharap dapat menyumbang secara lebih signifikan kepada penambahbaikan organisasi serta menyokong pembentukan sistem pengurusan awam yang lebih cekap, telus dan mampan.
Dalam aspek sokongan keluarga, beliau menzahirkan penghargaan terhadap isteri dan ahli keluarga yang sentiasa memberikan kefahaman, kesabaran serta doa berterusan sepanjang perjalanan pengajiannya.
“Sokongan keluarga memberi ketenangan dan menjadi dorongan moral yang sangat besar untuk saya kekal fokus hingga tamat pengajian,” katanya.
Beliau turut menghargai sokongan majikan yang memberikan kefahaman terhadap tuntutan akademik serta ruang fleksibiliti dalam mengurus tugasan kerja dan pengajian.
Beliau berkata, sokongan rakan sekerja serta pihak pengurusan yang melihat pendidikan sebagai nilai tambah kepada organisasi turut memberi motivasi untuk beliau terus komited dalam kedua-kedua tanggungjawab.
Mengulas aspek kekuatan diri, beliau menegaskan bahawa keazaman dan motivasi dalaman merupakan faktor utama untuk kekal kuat sepanjang pengajian.
“Saya percaya kunci utama adalah untuk kekal focus kepada matlamat sendiri, di samping menyesuaikan diri dengan persekitaran,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata sokongan moral daripada keluarga, pensyarah dan rakan-rakan menjadi pelengkap yang menguatkan semangat untuk menamatkan pengajian dengan baik.
Beliau berharap perjalanan akademiknya dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai individu, khususnya pelajar OKU, untuk terus berani menyambung pengajian ke tahap tertinggi.
