Memelihara adab terhadap para sahabat bila menyampai ilmu

Para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah sejak dahulu sangat berhati-hati ketika membicarakan tentang para sahabat.

Feature Image (1)

DALAM tradisi keilmuan Islam, adab sentiasa diletakkan pada kedudukan yang sangat tinggi. Para ulama terdahulu bukan sahaja menekankan kepentingan menuntut ilmu, bahkan turut menekankan bahawa ilmu yang tidak disertai dengan adab boleh membawa kepada kerosakan dalam masyarakat.

Sebab itu, dalam dunia pendidikan Islam, akhlak dan penghormatan terhadap tokoh-tokoh agama menjadi sebahagian daripada asas penting dalam proses penyampaian ilmu.

Antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah adab terhadap para sahabat Rasulullah SAW. Mereka merupakan generasi yang menerima didikan secara langsung daripada Baginda SAW, menyaksikan penurunan wahyu serta menjadi individu terawal yang mempertahankan dan menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

Melalui pengorbanan mereka, umat Islam hari ini dapat menikmati nikmat iman dan memahami ajaran Islam sebagaimana yang diwariskan oleh Rasulullah SAW. Kedudukan para sahabat dalam Islam bukan sekadar sebagai tokoh sejarah biasa.

Mereka dipuji oleh Allah SWT dalam al-Quran dan diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai generasi terbaik umat ini. Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 100 menjelaskan tentang kemuliaan golongan Muhajirin dan Ansar serta mereka yang mengikuti jejak langkah mereka dengan baik. Ayat ini menunjukkan bahawa para sahabat mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dalam tradisi Islam.

Oleh sebab itu, para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah sejak dahulu sangat berhati-hati ketika membicarakan tentang para sahabat. Walaupun sejarah Islam mencatatkan beberapa peristiwa perselisihan yang berlaku sesama mereka, pendekatan yang diambil oleh ulama ialah mengekalkan adab dan menghindari bahasa yang bersifat penghinaan atau celaan. Perbezaan yang berlaku dalam kalangan sahabat dilihat dalam kerangka ijtihad dan keadaan semasa yang mereka hadapi, bukan sebagai alasan untuk merendahkan kedudukan mereka.

Dalam konteks pengajaran agama hari ini, prinsip tersebut seharusnya terus dipelihara. Penyampaian ilmu bukan hanya bertujuan memberikan maklumat kepada masyarakat tetapi turut membentuk pemikiran, emosi dan akhlak pendengar. Seorang guru, pendakwah atau penceramah mempunyai pengaruh besar terhadap cara masyarakat memahami sesuatu isu agama. Jika sesuatu topik disampaikan tanpa menjaga adab dan disiplin ilmu, ia boleh menimbulkan kekeliruan serta membuka ruang kepada budaya perdebatan yang tidak sihat.

Tambahan pula, masyarakat hari ini hidup dalam era media sosial yang sangat pantas menyebarkan maklumat. Potongan ceramah, video pendek dan kenyataan tertentu boleh tersebar luas dalam masa yang singkat tanpa konteks yang lengkap. Dalam keadaan seperti ini, masyarakat awam mudah terpengaruh dengan gaya penyampaian yang bersifat sensasi dan emosional. Sedangkan Islam mengajar bahawa ilmu agama perlu disampaikan dengan hikmah, ketenangan dan rasa tanggungjawab.

Realitinya, sebahagian masyarakat hari ini lebih tertarik kepada gaya ceramah yang keras dan kontroversi kerana dianggap lebih berani atau lebih menarik perhatian. Namun, ukuran keberkesanan dakwah bukan terletak pada sensasi atau populariti semata-mata tetapi sejauh mana penyampaian tersebut membawa manusia lebih dekat kepada akhlak Islam dan kesatuan umat. Rasulullah SAW sendiri mendidik para sahabat dengan penuh hikmah dan kelembutan walaupun dalam keadaan yang mencabar.

Adab terhadap para sahabat juga penting kerana ia berkait rapat dengan penghormatan terhadap sumber ilmu Islam itu sendiri. Sebahagian besar hadis Rasulullah SAW diriwayatkan melalui para sahabat. Mereka menjadi penghubung utama antara Rasulullah SAW dengan generasi umat Islam selepas Baginda. Jika masyarakat mula hilang rasa hormat terhadap para sahabat, maka secara tidak langsung ia boleh menghakis penghormatan terhadap tradisi ilmu Islam yang dibina sejak zaman awal Islam lagi.

Dalam dunia pendidikan, guru dan pendakwah perlu menunjukkan contoh terbaik dalam cara membicarakan tokoh-tokoh Islam. Kritikan ilmiah terhadap fakta sejarah boleh dilakukan dalam ruang akademik dengan disiplin tertentu, namun ia tidak boleh bertukar menjadi penghinaan atau kata-kata yang melampaui batas. Islam membezakan antara perbahasan ilmiah dan budaya mencela. Perbezaan pandangan tidak seharusnya menghilangkan adab dan akhlak ketika berbicara.

Generasi muda khususnya perlu dididik supaya memahami sejarah Islam secara seimbang. Mereka perlu mengetahui bahawa para sahabat ialah manusia biasa yang mempunyai pandangan dan ijtihad tersendiri tetapi dalam masa yang sama mereka tetap merupakan generasi terbaik yang dipilih Allah SWT untuk mendampingi Rasulullah SAW. Kefahaman seperti ini akan melahirkan sikap lebih matang dalam memahami sejarah Islam tanpa terjebak dalam budaya ekstrem atau penghinaan.

Selain itu, masyarakat juga perlu memahami bahawa menjaga adab terhadap para sahabat bukan bermaksud menutup ruang kajian sejarah atau menghalang perbincangan ilmiah. Islam tidak melarang penelitian terhadap sejarah, bahkan tradisi keilmuan Islam berkembang melalui kajian dan perbahasan yang mendalam. Namun demikian, semua perbincangan tersebut hendaklah dilakukan dalam kerangka ilmu, kejujuran akademik dan akhlak Islam.

Hakikatnya, kekuatan tamadun Islam sejak dahulu bukan hanya terletak pada keluasan ilmu tetapi juga pada keindahan adab dalam menyampaikan ilmu tersebut. Para ulama silam sentiasa mencontohkan kesederhanaan, penghormatan dan kebijaksanaan ketika membicarakan isu-isu sensitif berkaitan agama. Tradisi ini perlu diteruskan agar masyarakat Islam hari ini tidak terjebak dalam budaya permusuhan dan perpecahan akibat penyampaian ilmu yang tidak beradab.

Sesungguhnya, memelihara adab terhadap para sahabat Rasulullah SAW merupakan sebahagian daripada usaha menjaga kehormatan agama dan kesatuan umat Islam. Dalam dunia yang semakin dipenuhi dengan budaya sensasi dan polemik, umat Islam perlu kembali menghayati bahawa ilmu yang benar sentiasa melahirkan akhlak yang baik.

Dengan memelihara adab dalam penyampaian ilmu agama, masyarakat bukan sahaja akan lebih matang dalam memahami sejarah Islam, bahkan mampu membina suasana dakwah yang lebih harmoni, berilmiah dan berteraskan nilai-nilai rahmah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi melalui zafran@um.edu.my