Keluarga amanah jati diri tamadun, bangsa
Dalam Islam, keluarga bukan hanya struktur biologi atau sosial tetapi institusi tarbiah yang membentuk akhlak, iman dan nilai manusia.

PADA 15 Mei 2026, dunia akan memperingati Hari Keluarga Antarabangsa yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai usaha menekankan kepentingan institusi keluarga dalam membina masyarakat yang stabil dan sejahtera.
Dalam era moden yang penuh dengan perubahan sosial, tekanan ekonomi dan ledakan teknologi, tema keluarga menjadi semakin penting untuk dibincangkan. Ini kerana keluarga bukan sekadar unit sosial tetapi asas kepada pembentukan jati diri individu dan kekuatan sesebuah bangsa.
Dalam Islam, keluarga bukan hanya struktur biologi atau sosial tetapi institusi tarbiah yang membentuk akhlak, iman dan nilai manusia. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Tahrim ayat 6 agar setiap individu menjaga dirinya dan ahli keluarganya daripada api neraka.
Menurut Ibn Kathir, ayat ini menegaskan tanggungjawab besar seorang ketua keluarga dalam mendidik, membimbing dan melindungi ahli keluarganya daripada kesesatan akidah dan kerosakan akhlak. Ini menunjukkan bahawa keluarga adalah benteng pertama dalam pembinaan jati diri seorang Muslim.
Rasulullah SAW juga menegaskan peranan kepimpinan dalam keluarga melalui hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa setiap individu adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka yang berada di bawah jagaannya. Seorang ayah adalah pemimpin dalam keluarganya, seorang ibu adalah pemimpin di rumahnya dan setiap anak mempunyai tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan. Hadis ini menjelaskan bahawa keluarga bukan ruang bebas tanpa tanggungjawab tetapi satu amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah.
Namun realiti hari ini memperlihatkan cabaran besar terhadap institusi keluarga. Krisis sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan dengan peningkatan masalah disiplin, keruntuhan akhlak, ketagihan media sosial dan hilangnya rasa hormat kepada ibu bapa.
Banyak keluarga berdepan jurang komunikasi apabila setiap ahli lebih sibuk dengan telefon pintar masing-masing daripada berbual sesama sendiri. Media sosial pula sering membentuk nilai alternatif yang kadangkala bercanggah dengan nilai agama dan budaya.
Dalam konteks ini, ulama seperti Imam al-Ghazali menegaskan bahawa pendidikan awal dalam keluarga adalah asas kepada pembentukan insan. Dalam karya beliau Ihya ‘Ulum al-Din, beliau menjelaskan bahawa hati seorang anak itu suci dan ia diibaratkan seperti permata kosong yang masih belum lagi diukir.
Jika baik didikan kedua ibu bapanya, maka baiklah akhlaknya tetapi jika diabaikan, maka rosaklah generasi tersebut. Pandangan ini sangat relevan dengan situasi hari ini apabila pengaruh luar lebih cepat membentuk pemikiran anak berbanding didikan di rumah.
Selain itu, surah Luqman memberikan gambaran jelas tentang pendidikan keluarga yang berteraskan tauhid, akhlak dan tanggungjawab sosial. Nasihat Luqman kepada anaknya agar tidak mensyirikkan Allah, menjaga solat, bersabar dan tidak sombong menunjukkan bahawa keluarga adalah tempat pertama pembinaan nilai spiritual dan akhlak.
Dalam konteks ini, para mufasir terkemuka seperti Ibn Kathir, Fakhr al-Din al-Razi dan Ibn ‘Asyur sepakat bahawa dialog antara Luqman dan anaknya mencerminkan pendekatan pendidikan yang penuh hikmah, kasih sayang, dan komunikasi yang berkesan.
Sementara itu, al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami‘ li Ahkam al-Quran lebih menekankan aspek disiplin dan adab dalam keluarga. Beliau menghuraikan bahawa pendidikan anak perlu merangkumi pembentukan tingkah laku dan pengawalan moral, bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik. Dalam konteks krisis sosial remaja masa kini, pendekatan holistik ini amat penting bagi mencegah keruntuhan akhlak dalam masyarakat.
Pada masa yang sama, cabaran media sosial hari ini menjadikan institusi keluarga semakin terdedah kepada krisis identiti. Anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh trend global berbanding nasihat ibu bapa. Lebih membimbangkan, dalam banyak keadaan, ibu bapa sendiri kurang memahami dunia digital yang menjadi ruang utama interaksi anak-anak mereka.
Akibatnya, jurang pemahaman yang besar terbentuk dalam keluarga. Justeru, Islam menuntut keseimbangan antara kemajuan teknologi dan pemeliharaan nilai kekeluargaan agar jati diri umat tidak hilang ditelan arus globalisasi.
Namun begitu, Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik dalam membina keluarga yang harmoni. Baginda sangat lembut dengan ahli keluarga, membantu kerja rumah, berbual dengan isteri dan menunjukkan kasih sayang kepada anak dan cucu. Dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, Baginda pernah memanjangkan sujud kerana cucunya berada di atas belakangnya. Ini menunjukkan bahawa kasih sayang dalam keluarga bukan sekadar emosi tetapi juga tindakan yang nyata dalam kehidupan seharian.
Maka, membina keluarga jati diri bangsa memerlukan usaha bersama antara ibu bapa, anak-anak dan masyarakat. Ibu bapa perlu menjadi contoh dalam akhlak dan penggunaan teknologi, anak-anak perlu dididik dengan nilai hormat dan tanggungjawab. Manakala masyarakat perlu menyokong sistem keluarga yang sihat melalui pendidikan, dasar sosial dan pengukuhan nilai agama.
Sebagaimana pandangan Sayyid Qutb, keluarga adalah asas pembinaan masyarakat rabbani. Apabila keluarga rosak, masyarakat akan turut terkesan. Oleh itu, kekuatan bangsa bermula daripada kekuatan institusi keluarga yang berlandaskan iman, kasih sayang, dan keseimbangan tanggungjawab antara ibu bapa dan anak-anak.
Sesungguhnya, keluarga merupakan akar tunjang kepada jati diri sesebuah bangsa. Apabila keluarga kukuh, masyarakat akan stabil dan negara akan sejahtera. Namun apabila keluarga runtuh, maka akan lahirlah generasi yang hilang arah dan nilai. Islam telah lama memberikan panduan yang lengkap dalam membina keluarga yang seimbang antara kasih sayang, disiplin dan iman.
Justeru, bersempena sambutan Hari Keluarga Antarabangsa ini, umat Islam dan masyarakat seluruhnya perlu kembali melihat keluarga sebagai amanah besar yang perlu dipelihara, bukan sekadar institusi sosial biasa, tetapi asas kepada masa depan tamadun manusia.

