AICB iktiraf lebih 700 profesional perbankan perkukuh bakat masa depan
Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu turut menghimpunkan ahli dari Kemboja, Maldives dan Filipina.
Timbalan Gabenor Bank Negara, Adnan Zaylani; Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Chartered Banker Institute, UK, Tanya Retter bergambar bersama Ahli Majlis AICB pada Majlis Penganugerahan Chartered Banker kesembilan.
KUALA LUMPUR, 16 Mei 2026 – Institut Bank-Bank Bertauliah Asia (AICB) mengiktiraf lebih 700 profesional perbankan sempena Majlis Penganugerahan Chartered Banker kesembilan sebagai usaha berterusan memperkukuh pembangunan bakat sektor perbankan di Malaysia dan rantau ini.
Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu turut menghimpunkan ahli dari Kemboja, Maldives dan Filipina, sekali gus mencerminkan pengaruh AICB yang semakin berkembang dalam memartabatkan standard profesional industri perkhidmatan kewangan serantau.
AICB dalam kenyataan memaklumkan majlis berkenaan berlangsung ketika industri perbankan berdepan landskap yang semakin dinamik susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), kemunculan aset digital, komitmen terhadap kelestarian serta risiko operasi yang semakin kompleks.
Menurut Tinjauan Tenaga Kerja AICB 2025, sebanyak 57 peratus institusi kewangan masih berada pada peringkat awal penerapan AI manakala 62 peratus menyatakan kepesatan perkembangan teknologi yang mengatasi keupayaan semasa tenaga kerja menjadi halangan utama dalam merapatkan jurang kemahiran.
“Keadaan ini menuntut kesegeraan untuk memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja, keupayaan tadbir urus serta pembangunan kemahiran kritikal dan baharu seiring perkembangan sektor perbankan,” menurut kenyataan itu.
Timbalan Gabenor Bank Negara, Adnan Zaylani berkata tanggungjawab warga perbankan kini perlu berkembang melangkaui fungsi pembiayaan tradisional bagi memangkin pertumbuhan ekonomi.
“Bank bukan sahaja berperanan sebagai perantara kewangan, malah turut menjadi pemacu strategik transformasi ekonomi. Seiring perubahan landskap operasi, pertumbuhan ekonomi dan industri kini semakin dibayangi risiko yang kompleks serta saling berkait,” katanya dalam ucaptama majlis itu.
Sementara itu, Pengerusi AICB, Azman Hashim berkata sektor perbankan Malaysia perlu memberi penekanan seimbang terhadap pelaburan dalam pembangunan modal insan dan teknologi.
Beliau berkata kelayakan profesional AICB bersama inisiatif seperti Future Skills Framework (FSF) dan platform penilaian kemahiran FSF Xcel diwujudkan bagi membantu institusi perbankan mengenal pasti serta membangunkan tenaga kerja yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.
Presiden Chartered Banker Institute (CBI), United Kingdom, Paul Denton pula berkata status Chartered Banker melambangkan komitmen terhadap profesionalisme, kepimpinan beretika dan pertanggungjawaban jangka panjang dalam industri kewangan global.
Pada majlis itu, AICB menganugerahkan status Fellow Chartered Banker kepada tujuh tokoh perbankan, selain mengiktiraf 114 Chartered Banker dan 611 Associate Chartered Banker, di samping penerima Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Korporat.
Tujuh penerima status Fellow Chartered Banker ialah Amanah Aboobucker, Faradina Mohammad Ghouse, Shamsul Bahrom Mohamed Ibrahim, Raja Shah Riman Raja Harun Al-Rashid, Arshad Mohamed Ismail, Hu Meng Kui serta Fong Seow Loong.
Majlis itu turut mencatat sejarah apabila Vorn Samedy dan Thong Min Fong diiktiraf sebagai Overall Subject Prize Global Winners oleh Chartered Banker Institute menerusi bidang Perbankan Komersial dan Pengurusan Risiko Bank.
Menurut kenyataan itu, pengiktirafan berprestij berkenaan diberikan kepada individu yang memperoleh markah tertinggi di peringkat global dan mereka merupakan ahli AICB pertama menerima penghormatan tersebut.
Selain itu, Public Bank Group menerima Platinum Winner of the Leading Bank for Professional Development Award atas pencapaian mempunyai jumlah pekerja bertauliah tertinggi dalam kalangan bank ahli korporat AICB pada 2025.
Maybank pula menerima Leading Bank for Chartered Banker Award kerana melahirkan jumlah Chartered Banker tertinggi pada tahun sama.
AICB memaklumkan pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen institusi kewangan terhadap pembelajaran berterusan, pemerkasaan standard profesionalisme serta pembangunan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan industri perkhidmatan kewangan.
Kelayakan Chartered Banker yang ditawarkan AICB dilaksanakan bersama Chartered Banker Institute, United Kingdom, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pengiktirafan profesional perbankan bertaraf global.
