Debat Terbuka ASTAR bentuk pemikiran kritis, keupayaan analitik mahasiswa
Debat Terbuka ASTAR yang dianjurkan sejak 1997 itu kekal relevan sebagai antara platform perdebatan tertua di negara ini yang digerakkan oleh mahasiswa.
KUALA LUMPUR, 23 Mei 2026 – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) masing-masing dinobatkan sebagai juara Kategori Utama dan Kategori Muda pada Debat Terbuka ASTAR (DTA) Edisi Ke-27 yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Debat Terbuka ASTAR yang dianjurkan sejak 1997 itu kekal relevan sebagai antara platform perdebatan tertua di negara ini yang digerakkan oleh mahasiswa, sekali gus berperanan penting dalam membentuk pemikiran kritis, keupayaan analitik serta budaya berhujah secara matang dalam kalangan generasi muda.
Penganjuran program itu saban tahun mencerminkan kesinambungan tradisi wacana intelektual yang menjadi pemacu utama dalam memperkembangkan daya fikir mahasiswa selain menyediakan ruang perbahasan terbuka mengenai isu semasa di peringkat kebangsaan.
Bagi edisi kali ini, pertandingan berlangsung selama dua hari bermula 25 hingga 26 April lalu di Universiti Malaya, anjuran Jawatankuasa Kerja Perkembangan (JKP) Akademik dan Intelektual, Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya.
Sebanyak 38 pasukan daripada 19 institusi melibatkan universiti awam, universiti swasta dan Kolej Poly-Tech MARA mengambil bahagian dalam pertandingan itu menerusi dua kategori dipertandingkan, iaitu Kategori Utama dan Kategori Muda.
Penyertaan tidak hanya tertumpu kepada pelajar ijazah sarjana muda, malah turut membuka peluang kepada pelajar asasi dan diploma, sekali gus memperlihatkan komitmen tinggi mahasiswa terhadap budaya diskusi ilmiah dan perbahasan intelektual.

Sepanjang pertandingan berlangsung, peserta memperdebatkan pelbagai usul berkaitan isu semasa merangkumi tema Demokrasi, Integriti dan Reformasi Institusi, Anak Muda dan Pendidikan serta Antarabangsa dan Keamanan Sejagat.
Pertandingan berlangsung dalam suasana intelektual yang dinamik apabila setiap pasukan menampilkan hujah tersusun, analisis mendalam serta penyampaian yang meyakinkan.
Bagi Kategori Muda, pusingan akhir menemukan UTM dan Universiti Malaya dalam pertembungan sengit menerusi usul “Dewan Ini Mewajibkan Majikan Menetap Hak untuk Log Keluar bagi Menangani Isu Kesihatan Mental Pekerja”.
Kedua-dua pasukan mempamerkan prestasi cemerlang menerusi penghujahan yang tajam dan pengolahan isu yang mantap sebelum UTM muncul juara dengan margin perdebatan 2.17 mata serta keputusan juri 7-0.
Sementara itu, kemuncak pertandingan Kategori Utama menyaksikan pertemuan antara UIAM selaku kerajaan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pembangkang menerusi usul “Generasi Muda Negara Gagal Dilindungi Sistem Sosioekonomi Semasa”.

Perbahasan akhir itu berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan menampilkan hujah dan bidasan yang mengupas isu berkait rapat dengan realiti kehidupan mahasiswa serta kedudukan generasi muda dalam ekosistem sosioekonomi negara.
UIAM akhirnya dinobatkan sebagai juara Kategori Utama selepas menewaskan UKM dengan margin perdebatan 2.83 mata dan keputusan juri 6-1.
Majlis penutupan DTA Edisi Ke-27 berlangsung di Balai Ungku Aziz, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya dan disempurnakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Dalam ucapannya, beliau berkata program seperti DTA bukan sahaja membuka ruang penyertaan lebih luas kepada mahasiswa, malah memainkan peranan penting dalam melatih bakat baharu serta memperkukuh budaya perdebatan dalam kalangan belia.
Beliau turut menegaskan platform sedemikian mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja petah berhujah, malah matang dalam menilai sesuatu isu daripada pelbagai perspektif.
Kejayaan penganjuran DTA Edisi Ke-27 membuktikan pertandingan itu terus berfungsi sebagai medium penting dalam membentuk pemikiran analitik, memperkukuh budaya diskusi berilmiah serta melahirkan mahasiswa yang kritis, berdaya saing dan berwawasan.
