Masanya untuk pecahkan tabungan

Ibadah korban bukan hanya melibatkan penyembelihan haiwan dan pengaliran darah tetapi turut menjadi manifestasi rasa kesyukuran kepada Allah SWT.

Feature Image (5)

IBADAH korban merupakan antara rutin ibadah tahunan dalam masyarakat Islam. Ia dilaksanakan pada 10 Zulhijjah dan diteruskan pada hari-hari tasyrik. Amalan yang diwarisi sejak zaman Nabi Ibrahim AS ini telah diterima dan diamalkan dalam syariat Nabi Muhammad SAW hingga ke hari ini. Setiap tahun, ibadah ini dilaksanakan oleh umat Islam di seluruh dunia sebagai salah satu syiar penting dalam agama.

Amalan ini bukan sekadar pesta menikmati daging segar semata-mata, malah mengandungi makna yang amat mendalam. Ibadah korban bukan hanya melibatkan penyembelihan haiwan dan pengaliran darah tetapi turut menjadi manifestasi rasa kesyukuran kepada Allah SWT, khususnya sebagai penutup tahun hijrah. Lazimnya, ibadah ini menuntut pengorbanan harta berbentuk wang ringgit bagi memperoleh haiwan korban seperti unta, lembu, kerbau atau kambing.

Sering kali harga haiwan korban menjadi rungutan dalam kalangan masyarakat berikutan kenaikan kos yang berlaku saban tahun. Keadaan ini menyebabkan sebahagian masyarakat Islam memilih untuk tidak melaksanakan ibadah korban kerana kekangan kewangan, khususnya apabila bayaran perlu dijelaskan dalam satu pembayaran. Situasi tersebut turut memberi kesan terhadap pengurusan perbelanjaan bulanan akibat ketidakseimbangan dan peningkatan penggunaan wang dalam tempoh berkenaan.

Sesungguhnya ibadah korban tidak dinamakan sebagai korban sekiranya tidak melibatkan pengorbanan harta benda dan wang ringgit dalam pelaksanaannya. Sehubungan dengan itu, bagi mereka yang sukar menyediakan wang secara tunai sekaligus, amalan menabung sejak awal tahun hijrah merupakan satu langkah yang wajar bagi mengumpulkan dana untuk melaksanakan ibadah korban.

Apatah lagi bagi golongan yang bekerja makan gaji atau memperoleh pendapatan secara upah, kemampuan kewangan mereka juga mempunyai keterbatasan tertentu. Jika keadaan ini berterusan tanpa sebarang perancangan, maka ketidakmampuan untuk melaksanakan ibadah korban akan terus berpanjangan hingga ke akhir hayat.

Hal ini merupakan satu kerugian kerana ibadah korban hanya disyariatkan sekali dalam setahun. Oleh itu, amalan menabung menjadi solusi yang praktikal bagi memastikan umat Islam memiliki kemampuan kewangan menjelang bulan Zulhijjah. Majoriti ulama meletakkan hukum korban sebagai sunat mu’akkad bagi mereka yang berkemampuan.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memiliki kemampuan harta tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.” (HR Ibn Majah, no. hadis: 3123). Hadis tersebut menunjukkan bahawa ibadah korban merupakan satu tuntutan bagi mereka yang berkemampuan, bahkan terdapat unsur ancaman terhadap golongan yang bakhil dan tidak mengambil berat untuk melaksanakan ibadah korban.

Justeru, bagi mereka yang telah menabung sejak awal tahun hijrah, inilah masanya untuk memecahkan tabung bagi melaksanakan ibadah korban. Rebutlah peluang ini selagi diberikan kesempatan untuk melaksanakannya. Hal ini kerana ibadah korban tidak disyariatkan secara sia-sia, bahkan sarat dengan hikmah yang bersifat fizikal mahupun spiritual.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hajj ayat 37 yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya”.

Ayat ini menjelaskan bahawa daging dan darah haiwan korban tidak sampai kepada Allah SWT, sebaliknya yang diterima ialah keikhlasan dan ketakwaan orang yang melaksanakannya,.

Sehubungan dengan itu, umat Islam digalakkan untuk melaksanakan ibadah korban bagi menyempurnakan tuntutan syariat. Amalan ini memerlukan pengorbanan wang ringgit dan harta benda. Jika tidak mampu untuk membayar secara sekaligus, umat Islam boleh memilih untuk membuat simpanan secara ansuran sejak awal tahun agar perbelanjaan bulanan tidak terjejas.

Jika tidak, sampai bila-bila pun kita akan merasakan diri tidak mampu untuk berkorban, sebaliknya dalam masa yang sama kita masih mampu menabung untuk aktiviti dan program lain. Sedangkan tabungan untuk ibadah korban sangat bermanfaat sebagai bekalan di akhirat kelak.

Sikap menghindarkan diri (escapism) daripada melaksanakan ibadah korban juga perlu dielakkan. Kadangkala seseorang sentiasa mencipta alasan berkaitan kekangan kewangan, sedangkan dalam masa yang sama dia mampu berbelanja untuk perkara lain.

Bahkan, ada yang cuba menenangkan hati dengan pelbagai justifikasi agar tidak berasa bersalah apabila meninggalkan ibadah tersebut. Namun begitu, bagi mereka yang benar-benar tidak mampu, syariat tidak membebankan mereka. Bahkan, mereka termasuk dalam sebahagian kelompok yang layak menerima agihan daging korban.

Justeru, mulakanlah azam untuk berkorban dan susunlah langkah awal dengan menabung. Sekiranya tabungan masih belum mencukupi dalam tempoh setahun, maka teruskan lagi untuk tahun berikutnya dan seterusnya, asalkan wujud niat dan usaha untuk melaksanakan ibadah korban. Hal ini kerana ibadah korban sememangnya dibina atas dasar pengorbanan, ketaatan, keikhlasan dan kesediaan melepaskan sesuatu yang disayangi demi Allah SWT.