Dana awam amanah rakyat: Apabila ketamakan mengatasi tanggungjawab
Sebarang bentuk penyelewengan terhadap dana awam bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan tetapi pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat.

PENDEDAHAN mengenai penyelewengan tuntutan Program Daya Kerjaya 2.0 yang sedang disiasat pihak berkuasa membuka satu lagi lembaran penting dalam perbincangan mengenai integriti, tadbir urus dan pengurusan dana awam di negara ini.
Di sebalik angka jutaan ringgit yang dilaporkan terlibat, terdapat persoalan yang jauh lebih besar untuk direnungi bersama, sejauh manakah nilai amanah dan integriti benar-benar dihayati dalam pengurusan sumber yang diperuntukkan untuk kesejahteraan rakyat.
Program Daya Kerjaya 2.0 diwujudkan dengan tujuan yang cukup mulia. Ia dirangka sebagai instrumen sokongan kepada golongan yang berdepan cabaran mendapatkan pekerjaan, termasuk individu daripada kumpulan rentan yang memerlukan peluang kedua untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Dana yang disalurkan bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya merupakan manifestasi keprihatinan negara dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan.
Namun, apabila muncul dakwaan berhubung tuntutan palsu dan penyalahgunaan insentif yang disediakan, persoalan mengenai integriti tidak lagi boleh dilihat sebagai isu individu semata-mata. Ia menjadi cerminan kepada tahap kesedaran moral dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pihak yang diamanahkan mengurus atau menerima manfaat daripada sesuatu program kerajaan.
Hakikatnya, setiap sen dana awam yang diperuntukkan adalah wang rakyat. Ia terhasil daripada hasil negara, cukai, caruman dan pelbagai sumber yang dikumpulkan untuk dikembalikan semula kepada masyarakat dalam bentuk perkhidmatan dan bantuan.
Oleh itu, sebarang bentuk penyelewengan terhadap dana awam bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah merupakan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat.
Lebih membimbangkan, apabila penyelewengan berlaku dalam program yang diwujudkan khusus untuk membantu golongan yang memerlukan, kesannya menjadi lebih besar daripada sekadar kehilangan wang. Setiap tuntutan palsu yang diluluskan berpotensi menafikan hak individu lain yang benar-benar layak menerima bantuan.
Setiap penyalahgunaan dana bermakna terdapat peluang pekerjaan, latihan kemahiran atau sokongan ekonomi yang mungkin gagal sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.
Dalam konteks ini, integriti tidak seharusnya difahami sekadar sebagai pematuhan kepada peraturan atau ketakutan terhadap tindakan undang-undang. Integriti adalah komitmen moral untuk melaksanakan amanah dengan jujur, telus dan bertanggungjawab walaupun terdapat ruang dan peluang untuk melakukan sebaliknya. Nilai inilah yang menjadi benteng utama dalam mencegah salah guna kuasa, penipuan dan rasuah.
Perkembangan siasatan yang berjaya membongkar isu ini juga membuktikan bahawa sistem kawalan dalaman, pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan memainkan peranan penting dalam memastikan ketelusan pengurusan dana awam.
Dalam era digital yang semakin kompleks, organisasi perlu sentiasa memperkukuh mekanisme pengesanan, pengauditan dan pengurusan risiko rasuah bagi menutup ruang yang boleh dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Namun, teknologi dan sistem semata-mata tidak mencukupi. Sehebat mana pun mekanisme kawalan yang dibangunkan, ia tetap memerlukan manusia yang berintegriti untuk mengendalikannya. Oleh itu, usaha memperkukuh integriti perlu bergerak seiring dengan pembangunan budaya organisasi yang berteraskan nilai amanah, akauntabiliti dan profesionalisme.
Dalam hal ini, pendidikan integriti perlu dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang. Pembudayaan dan pengukuhan integriti tidak boleh bermula hanya apabila seseorang memasuki alam pekerjaan. Ia perlu dipupuk sejak di bangku sekolah, diperkasakan di institusi pendidikan tinggi dan diterjemahkan dalam setiap aspek kehidupan bermasyarakat.
Integriti yang dibentuk melalui pendidikan dan teladan yang baik akan melahirkan warga yang bukan sahaja patuh kepada undang-undang, malah mempunyai kesedaran dalaman untuk melakukan perkara yang betul.
Isu Daya Kerjaya 2.0 seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa pembangunan negara bukan hanya bergantung kepada jumlah peruntukan yang disediakan tetapi juga kepada tahap integriti pihak-pihak yang diamanahkan untuk mengurus dan memanfaatkannya. Dana awam yang besar sekalipun tidak akan mampu mencapai matlamatnya jika nilai amanah diketepikan demi kepentingan peribadi.
Akhirnya, integriti bukan sekadar slogan yang diangkat dalam seminar atau kempen kesedaran. Integriti adalah pilihan yang sewajarnya dibuat setiap hari untuk berlaku jujur ketika mempunyai peluang menipu, pilihan untuk memelihara amanah ketika berpeluang mengkhianatinya, dan pilihan untuk meletakkan kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan diri.
Ini adalah kerana pada akhirnya, dana awam bukan sekadar angka yang dibentangkan di dalam laporan kewangan tahunan. Ia adalah amanah rakyat yang wajib dipelihara demi kesejahteraan bersama dan masa depan negara yang lebih sejahtera.

