Salur darah mampu jadi ‘senjata’ kanser
Mekanisme penting yang membolehkan proses pemulihan berlaku ialah angiogenesis, iaitu pembentukan salur darah baharu daripada salur darah yang sedia ada.
Oleh: DR. NOZLENA ABDUL SAMAD
TUBUH manusia merupakan sebuah sistem yang sangat menakjubkan. Setiap hari, pelbagai proses berlaku tanpa kita sedari bagi memastikan badan terus berfungsi dengan baik. Apabila kita terluka, jatuh atau mengalami kecederaan, tubuh akan segera bertindak untuk membaiki kerosakan tersebut.
Salah satu mekanisme penting yang membolehkan proses pemulihan berlaku ialah angiogenesis, iaitu pembentukan salur darah baharu daripada salur darah yang sedia ada.
Walaupun istilah ini jarang didengari oleh masyarakat umum, angiogenesis memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Tanpa proses ini, luka akan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh, tisu yang rosak sukar pulih dan perkembangan janin dalam kandungan boleh terganggu.
Secara mudah, salur darah boleh diibaratkan sebagai rangkaian lebuh raya yang menghubungkan seluruh tubuh. Melalui rangkaian ini, oksigen, nutrien dan pelbagai bahan penting dihantar ke setiap sel. Apabila sesuatu kawasan memerlukan bekalan tambahan, tubuh akan membina “laluan baharu” bagi memastikan keperluan tersebut dapat dipenuhi. Inilah yang dikenali sebagai angiogenesis.
Proses ini berlaku secara semula jadi dalam pelbagai keadaan fisiologi. Antaranya termasuklah penyembuhan luka, pembentukan plasenta semasa kehamilan, pertumbuhan organ reproduktif wanita dan pemulihan tisu selepas kecederaan. Dalam situasi ini, angiogenesis bertindak sebagai sahabat kepada tubuh kerana membantu proses pembaikan dan pemulihan berjalan dengan lebih berkesan.
Namun begitu, seperti banyak proses biologi lain, angiogenesis juga mempunyai sisi gelapnya.
Apabila kanser mengambil kesempatan
Kanser berlaku apabila sel-sel tubuh kehilangan kawalan terhadap pertumbuhan dan pembahagiannya. Pada peringkat awal, ketumbuhan yang terbentuk masih kecil dan boleh mendapatkan bekalan oksigen serta nutrien daripada salur darah berhampiran.
Bagaimanapun, apabila ketumbuhan semakin membesar, keperluan terhadap oksigen dan nutrien meningkat dengan mendadak. Sama seperti sebuah bandar yang berkembang pesat memerlukan lebih banyak jalan raya untuk menampung pertumbuhan penduduk, sel kanser juga memerlukan sistem bekalan yang lebih besar untuk terus hidup.
Bagi memenuhi keperluan ini, sel kanser mula menghasilkan pelbagai bahan kimia yang merangsang pembentukan salur darah baharu. Fenomena ini dikenali sebagai “angiogenic switch”, iaitu titik perubahan apabila ketumbuhan mula membina rangkaian salur darahnya sendiri.
Melalui salur darah baharu ini, kanser memperoleh bekalan oksigen dan nutrien yang mencukupi untuk berkembang dengan lebih cepat. Lebih membimbangkan, salur darah tersebut juga menyediakan laluan bagi sel kanser memasuki sistem peredaran darah dan merebak ke organ lain seperti paru-paru, hati, tulang atau otak.
Proses penyebaran ini dikenali sebagai metastasis dan merupakan antara punca utama kematian pesakit kanser di seluruh dunia dan dalam dunia penyelidikan kanser, terdapat satu molekul yang sering menjadi tumpuan utama saintis, iaitu Vascular Endothelial Growth Factor (VEGF).
VEGF boleh dianggap sebagai “pengarah projek” yang mengarahkan pembinaan salur darah baharu. Apabila sesuatu kawasan mengalami kekurangan oksigen, penghasilan VEGF akan meningkat. Isyarat ini kemudiannya merangsang sel-sel endotelium yang membentuk dinding salur darah untuk membiak dan bergerak ke kawasan yang memerlukan bekalan darah tambahan.
Dalam ketumbuhan kanser, penghasilan VEGF sering berlaku pada tahap yang tinggi. Akibatnya, pembentukan salur darah berlaku secara berlebihan bagi menyokong pertumbuhan tumor.
Selain VEGF, beberapa faktor lain turut memainkan peranan penting dalam angiogenesis. Antaranya ialah Fibroblast Growth Factor (FGF), Platelet-Derived Growth Factor (PDGF) dan Transforming Growth Factor-beta (TGF-β). Kesemua faktor ini bertindak secara bersama bagi memastikan pembentukan salur darah dapat berlaku secara berberterusan.
Membendung bekalan kanser
Pemahaman yang semakin mendalam mengenai angiogenesis telah membuka ruang kepada pendekatan rawatan kanser yang lebih bersasar.
Jika kanser bergantung kepada salur darah untuk mendapatkan makanan dan oksigen, mengapa tidak kita menyekat bekalan tersebut?
Berdasarkan konsep inilah terapi antiangiogenesis dibangunkan. Rawatan ini bertujuan menghalang pembentukan salur darah baharu yang diperlukan oleh ketumbuhan. Dengan mengurangkan bekalan oksigen dan nutrien, pertumbuhan tumor dapat diperlahankan dan keberkesanan rawatan lain seperti kemoterapi atau imunoterapi dapat dipertingkatkan.
Walaupun terapi antiangiogenesis bukanlah penawar mutlak kepada kanser, ia telah memberikan harapan baharu kepada ramai pesakit. Kini, beberapa ubat anti-angiogenesis telah digunakan dalam rawatan pelbagai jenis kanser termasuk kanser kolorektal, paru-paru, buah pinggang dan beberapa jenis tumor otak.
Pada masa yang sama, penyelidik di seluruh dunia terus berusaha memahami bagaimana angiogenesis berlaku dalam pelbagai jenis kanser. Pengetahuan ini penting untuk membangunkan rawatan yang lebih tepat dan berkesan pada masa hadapan.
Keseimbangan yang menentukan kesihatan
Kisah angiogenesis mengajar kita bahawa tidak semua proses dalam tubuh boleh dikategorikan sebagai baik atau buruk secara mutlak. Proses yang membantu menyembuhkan luka dan menyokong kehidupan juga boleh dimanipulasi oleh penyakit seperti kanser untuk kepentingannya sendiri.
Hakikat ini menunjukkan betapa pentingnya keseimbangan dalam sistem biologi manusia. Kesihatan yang baik bergantung kepada kemampuan tubuh mengawal setiap proses pada kadar dan masa yang sesuai.
Seiring kemajuan sains perubatan, semakin banyak rahsia tubuh manusia berjaya dirungkai. Pengetahuan mengenai angiogenesis bukan sahaja membantu saintis menghasilkan terapi kanser yang lebih bersasar, malah meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa tubuh manusia merupakan sebuah sistem yang kompleks dan menakjubkan.
Apa yang jelas, memahami bagaimana salur darah baharu terbentuk bukan sekadar isu saintifik. Ia adalah kunci kepada usaha membangunkan rawatan yang lebih berkesan dan memberi harapan baharu kepada pesakit kanser pada masa hadapan.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan dan Penyelidik Perubatan di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia.

