Jangan gadai kesihatan mental demi media sosial
Adakah media sosial benar-benar mendekatkan manusia atau sebenarnya menjauhkan kita daripada kesejahteraan diri?
Oleh: DR NOR SHUHADA MURAD@MANSOR
TELEFON pintar kini menjadi teman yang hampir tidak pernah berjauhan daripada kita. Sebaik sahaja bangun tidur, ramai yang terus mencapai telefon untuk menyemak notifikasi, membaca berita atau menatal media sosial.
Sebelum tidur pula, skrin telefon masih menjadi perkara terakhir yang dilihat. Dalam dunia yang semakin terhubung secara digital, media sosial telah menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat.
Hakikatnya, media sosial membawa banyak manfaat. Ia memudahkan komunikasi, mempercepat penyebaran maklumat dan menghubungkan individu tanpa mengira jarak. Namun di sebalik pelbagai kemudahan ini, muncul satu persoalan yang semakin mendapat perhatian pakar kesihatan mental, iaitu adakah media sosial benar-benar mendekatkan manusia atau sebenarnya menjauhkan kita daripada kesejahteraan diri?
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan masalah kebimbangan, tekanan emosi dan kemurungan khususnya dalam kalangan remaja dan belia menjadi kebimbangan global. Pelbagai kajian menunjukkan penggunaan media sosial yang berlebihan mempunyai kaitan dengan kemerosotan kesihatan mental, walaupun ia bukan satu-satunya faktor penyebab.
Penulis dan ahli psikologi sosial terkenal, Jonathan Haidt dalam bukunya The Anxious Generation menjelaskan bagaimana generasi muda kini semakin banyak menghabiskan masa di hadapan skrin berbanding berinteraksi secara bersemuka. Kehidupan yang dahulunya dipenuhi permainan luar, perbualan bersama rakan dan aktiviti sosial kini digantikan dengan dunia maya yang beroperasi selama 24 jam sehari.
Ironinya, seseorang boleh mempunyai ribuan pengikut di media sosial tetapi masih berasa sunyi. Kita mungkin sentiasa berhubung secara digital, namun hubungan tersebut tidak semestinya memenuhi keperluan emosi manusia yang memerlukan interaksi sebenar.
Salah satu cabaran terbesar media sosial ialah kecenderungan manusia untuk mengukur nilai diri berdasarkan penerimaan orang lain. Jumlah “likes”, komen, perkongsian dan pengikut sering dijadikan ukuran populariti, kejayaan dan kebahagiaan.
Masalahnya, angka-angka ini tidak semestinya mencerminkan realiti kehidupan. Seseorang yang mempunyai puluhan ribu pengikut mungkin masih bergelut dengan tekanan emosi, manakala individu yang jarang aktif di media sosial mungkin menikmati kehidupan yang lebih seimbang dan bahagia.
Lebih membimbangkan, media sosial beroperasi melalui sistem ganjaran yang merangsang pengeluaran dopamin, iaitu bahan kimia dalam otak yang dikaitkan dengan rasa seronok dan kepuasan. Setiap kali menerima notifikasi atau tanda suka, otak menerima rangsangan yang membuatkan kita mahu kembali membuka aplikasi tersebut berulang kali.
Lama-kelamaan, pengguna mula bergantung kepada pengiktirafan digital untuk merasakan diri mereka dihargai. Jika hari ini satu hantaran menerima seratus tanda suka, esok mungkin timbul keinginan untuk mendapatkan lebih banyak lagi. Kitaran ini boleh menyebabkan seseorang sentiasa berasa tidak cukup dan sukar mencapai kepuasan.
Selain itu, media sosial turut menggalakkan budaya perbandingan sosial yang tidak sihat. Apa yang dipaparkan di platform digital lazimnya merupakan versi terbaik kehidupan seseorang. Gambar percutian mewah, kejayaan kerjaya, hadiah istimewa atau detik keluarga yang bahagia sering dikongsi manakala kegagalan, kesedihan dan cabaran hidup jarang dipertontonkan.
Akibatnya, ramai pengguna tanpa sedar mula membandingkan kehidupan sebenar mereka dengan gambaran yang telah ditapis dan disusun secara teliti oleh orang lain. Perbandingan ini boleh menimbulkan rasa rendah diri, iri hati, tidak puas hati terhadap kehidupan sendiri dan akhirnya menjejaskan kesihatan mental.
Pada masa yang sama, media sosial turut mengubah cara kita menghargai pengalaman hidup. Dahulu, gambar dirakam untuk menjadi kenangan peribadi. Hari ini, ramai yang merasakan sesuatu pengalaman hanya bermakna apabila ia dikongsi dan mendapat perhatian orang lain.
Kita semakin terdorong untuk merakam setiap detik kehidupan, daripada makanan yang dimakan hinggalah destinasi yang dilawati. Tanpa disedari, fokus beralih daripada menikmati pengalaman kepada mendapatkan pengiktirafan terhadap pengalaman tersebut.
Keadaan ini menimbulkan persoalan penting, iaitu adakah kita benar-benar menikmati kehidupan atau sekadar sibuk mempamerkannya?
Menyedari kesan media sosial terhadap kesihatan mental, semakin ramai pakar mengesyorkan amalan detoks digital. Detoks digital bukan bermaksud menolak teknologi sepenuhnya, tetapi mengambil masa untuk berehat daripada penggunaan media sosial secara berlebihan.
Langkah mudah seperti menetapkan waktu tanpa telefon, menghadkan penggunaan aplikasi tertentu atau meluangkan masa bersama keluarga tanpa gangguan skrin boleh memberikan kesan positif kepada kesejahteraan mental.
Pada peringkat awal, proses ini mungkin terasa sukar. Ramai yang berasa gelisah apabila tidak dapat menyemak telefon atau mengikuti perkembangan terkini di media sosial. Namun perasaan tersebut sebenarnya menunjukkan betapa kuatnya kebergantungan yang telah terbentuk.
Apabila penggunaan media sosial dikurangkan, kita mula memberi ruang kepada diri untuk menikmati perkara-perkara yang sering terlepas pandang. Kita lebih menghargai perbualan bersemuka, menikmati bacaan tanpa gangguan notifikasi dan memberi perhatian kepada dunia sebenar yang berada di sekeliling kita.
Media sosial bukanlah musuh. Ia merupakan alat yang sangat berguna jika digunakan secara bijak dan seimbang. Namun apabila penggunaannya tidak terkawal, ia boleh menjadi punca kepada tekanan emosi, kebimbangan dan rasa tidak puas hati terhadap kehidupan.
Akhirnya, persoalan yang perlu kita tanyakan kepada diri sendiri bukanlah berapa ramai pengikut yang kita miliki atau berapa banyak tanda suka yang diterima. Sebaliknya, adakah kehidupan digital yang kita bina membantu meningkatkan kesejahteraan diri atau sekadar menjadikan kita semakin jauh daripada kebahagiaan sebenar?
Mungkin sudah tiba masanya kita mengurangkan sedikit masa di hadapan skrin dan kembali memberi perhatian kepada hubungan, pengalaman dan kehidupan yang benar-benar berlaku di hadapan mata.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia.

