Kadar kelahiran menurun ancaman kepada kelestarian ekonomi

Apabila jumlah kelahiran semakin berkurangan, negara akan menghadapi penyusutan bilangan penduduk usia bekerja pada masa hadapan.

Feature Image (2)

MALAYSIA sedang berhadapan dengan satu fenomena demografi yang semakin membimbangkan, namun kurang mendapat perhatian serius dalam perbahasan ekonomi negara. Statistik terkini menunjukkan jumlah kelahiran hidup di Malaysia terus merosot kepada hanya 414,918 kelahiran pada tahun 2024, iaitu yang terendah sejak tahun 1980.

Jumlah ini menurun sebanyak 9 peratus berbanding 455,761 kelahiran yang direkodkan pada tahun 2023. Pada masa yang sama, kadar kesuburan keseluruhan (Total Fertility Rate, TFR) negara turut menurun daripada 1.7 kepada 1.6 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian populasi sebanyak 2.1 anak.

Penurunan kadar kelahiran bukan sekadar isu keluarga atau pilihan individu tetapi merupakan isu strategik yang mempunyai implikasi besar terhadap masa depan ekonomi negara. Dalam ilmu ekonomi, tenaga kerja merupakan faktor pengeluaran yang penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

Apabila jumlah kelahiran semakin berkurangan, negara akan menghadapi penyusutan bilangan penduduk usia bekerja pada masa hadapan. Fenomena ini telah berlaku di beberapa negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan yang kini berdepan kekurangan tenaga kerja serta peningkatan kos penjagaan warga emas.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa komposisi penduduk berumur 65 tahun ke atas meningkat daripada 7.6 peratus kepada 7.7 peratus pada suku pertama 2025, manakala peratusan penduduk muda berumur 0 hingga 14 tahun terus menurun kepada 22.2 peratus. Ini menunjukkan Malaysia sedang bergerak ke arah sebuah negara menua dengan lebih pantas daripada yang dijangkakan.

Daripada perspektif ekonomi Islam, isu ini tidak boleh dilihat hanya melalui lensa statistik semata-mata. Islam menekankan kepentingan Hifz al-Nasl (pemeliharaan keturunan) sebagai salah satu daripada objektif utama Maqasid Syariah.

Keturunan bukan sahaja penting bagi kesinambungan institusi keluarga, bahkan menjadi asas kepada pembangunan tamadun, kestabilan sosial dan kekuatan ekonomi sesebuah negara. Dalam konteks moden, modal insan yang lahir daripada institusi keluarga merupakan aset ekonomi yang paling bernilai.

Penurunan kadar kelahiran yang berterusan berpotensi mewujudkan ketidakseimbangan antara golongan produktif dan golongan tanggungan. Apabila bilangan warga emas meningkat, kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan untuk sektor kesihatan, kebajikan dan pencen.

Pada masa yang sama, jumlah pembayar cukai dan pencarum dalam sistem keselamatan sosial mungkin berkurangan. Situasi ini boleh memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara dalam jangka panjang.

Lebih membimbangkan, kekurangan tenaga kerja tempatan akan memaksa negara bergantung kepada pekerja asing untuk memenuhi keperluan sektor ekonomi tertentu. Walaupun tenaga kerja asing memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, kebergantungan yang terlalu tinggi boleh menimbulkan cabaran dari sudut produktiviti, pengaliran keluar pendapatan, integrasi sosial dan keseimbangan demografi negara.

Persoalannya, mengapa semakin ramai pasangan memilih untuk mempunyai anak yang lebih sedikit? Antara faktor utama yang sering dikaitkan ialah peningkatan kos sara hidup, harga rumah yang tinggi, kos pendidikan dan penjagaan anak yang semakin meningkat, selain perubahan gaya hidup masyarakat bandar.

Ramai pasangan muda menangguhkan perkahwinan atau kelahiran anak kerana faktor kewangan dan kerjaya. Dalam sesetengah keadaan, ketidaksuburan turut menjadi cabaran yang semakin meningkat dalam kalangan pasangan muda.

Justeru, pendekatan menyelesaikan isu ini tidak boleh hanya bergantung kepada kempen kesedaran semata-mata. Malaysia memerlukan dasar yang lebih mesra keluarga seperti insentif cukai bagi keluarga yang mempunyai anak, subsidi penjagaan kanak-kanak, kemudahan perumahan mampu milik untuk pasangan muda, waktu kerja fleksibel serta sokongan kesihatan reproduktif yang lebih menyeluruh.

Negara-negara seperti Singapura dan Korea Selatan telah memperkenalkan pelbagai insentif kewangan bagi menggalakkan kelahiran, walaupun hasilnya masih memerlukan masa untuk dinilai.

Dalam kerangka ekonomi Islam, pembangunan negara tidak hanya diukur melalui peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi juga melalui kelestarian masyarakat dan kesejahteraan generasi akan datang. Anak-anak yang lahir hari ini bukan sekadar ahli keluarga tetapi merupakan modal insan, pembayar cukai, pekerja, usahawan dan pemimpin yang akan menentukan masa depan negara pada tahun 2050 dan seterusnya.

Jika trend penurunan kelahiran terus berlanjutan, Malaysia mungkin berdepan situasi di mana pertumbuhan ekonomi menjadi semakin perlahan akibat kekurangan tenaga kerja dan peningkatan beban sosial. Oleh itu, isu kadar kelahiran perlu dilihat sebagai agenda pembangunan negara yang strategik, bukannya sekadar urusan peribadi sesebuah keluarga.

Hakikatnya, kelestarian ekonomi Malaysia tidak hanya bergantung kepada teknologi, pelaburan atau dasar fiskal yang baik. Ia juga bergantung kepada kewujudan generasi baharu yang mencukupi untuk meneruskan pembangunan negara. Dalam erti kata lain, masa depan ekonomi Malaysia bermula daripada institusi keluarga hari ini.