Figura seorang bapa jangan dimatikan dalam jiwa anak
Bapa merupakan simbol kepimpinan, perlindungan, disiplin, nilai hidup dan hala tuju sesebuah keluarga.

SETIAP tahun, Hari Bapa diraikan sebagai tanda penghargaan kepada insan yang banyak berkorban demi keluarga. Namun, sambutan ini seharusnya lebih daripada sekadar ucapan terima kasih atau hadiah istimewa. Ia juga merupakan masa terbaik untuk kita bertanya satu soalan penting, iaitu adakah figura seorang bapa masih hidup dalam jiwa anak-anak yang sedang membesar?
Hari ini, masyarakat semakin kerap disajikan dengan pelbagai berita yang membimbangkan. Kes remaja terlibat dalam penyalahgunaan dadah, perlumbaan haram, buli, gejala sosial, pergaulan bebas dan pelbagai salah laku lain sering menjadi tajuk utama media. Lebih merisaukan, sebahagian daripada mereka datang daripada keluarga yang pada zahirnya kelihatan sempurna.
Keadaan ini menimbulkan persoalan besar. Apakah yang sebenarnya sedang berlaku dalam institusi keluarga hari ini?
Salah satu faktor yang sering terlepas pandang ialah semakin berkurangnya pengaruh seorang bapa dalam kehidupan anak-anak. Kehilangan ini bukan semestinya berlaku kerana kematian, perceraian atau perpisahan. Lebih menyedihkan, ada anak yang masih tinggal serumah dengan ayah mereka tetapi tidak lagi merasai kehadiran emosi, kasih sayang dan bimbingan yang sepatutnya diterima daripada seorang bapa.
Dalam keadaan sebegini, seorang bapa mungkin masih wujud secara fizikal tetapi figuranya telah hilang dalam jiwa anak-anak.
Hakikatnya, peranan seorang bapa jauh lebih besar daripada sekadar mencari nafkah dan menyediakan keperluan asas keluarga. Bapa merupakan simbol kepimpinan, perlindungan, disiplin, nilai hidup dan hala tuju sesebuah keluarga.
Bagi anak lelaki, ayah ialah contoh pertama tentang bagaimana seorang lelaki harus berfikir, bertanggungjawab dan berinteraksi dengan masyarakat. Bagi anak perempuan pula, ayah menjadi lelaki pertama yang mengajar makna kasih sayang, penghormatan dan rasa selamat dalam sebuah hubungan.
Apabila hubungan ini semakin renggang, anak-anak akan mencari pengganti untuk mengisi kekosongan tersebut. Anak lelaki mungkin lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya, manakala anak perempuan mungkin mencari perhatian dan penghargaan daripada individu lain yang belum tentu membawa pengaruh positif. Akhirnya, keputusan hidup mereka lebih dipengaruhi oleh tekanan persekitaran berbanding nilai yang dibentuk dalam keluarga.
Apa yang ramai tidak sedar ialah kehadiran seorang bapa sebenarnya membekalkan apa yang boleh diibaratkan sebagai “vitamin jiwa” kepada anak-anak. Vitamin ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, tidak boleh digantikan oleh gajet atau media sosial dan sukar diperoleh daripada individu lain.
Vitamin jiwa pertama ialah rasa selamat. Kehadiran seorang bapa yang bertanggungjawab memberi keyakinan kepada anak bahawa ada insan yang akan melindungi, membimbing dan menyokong mereka ketika berdepan cabaran hidup. Anak yang membesar dengan rasa selamat lazimnya lebih yakin meneroka potensi diri dan tidak mudah menyerah kalah apabila berdepan kegagalan.
Kedua ialah rasa dipunyai. Setiap anak mahu merasakan dirinya diterima dan dihargai dalam keluarga. Apabila seorang bapa melibatkan anak dalam perbualan, aktiviti atau keputusan keluarga yang bersesuaian dengan usia mereka, anak akan merasakan dirinya penting dan mempunyai tempat dalam keluarga.
Ketiga ialah rasa disayangi. Ramai bapa menunjukkan kasih sayang melalui pengorbanan dan kerja keras. Namun, anak-anak juga memerlukan kasih sayang yang dapat dirasai secara langsung. Pelukan, pujian, kata-kata penghargaan dan masa yang diluangkan bersama mampu membina keyakinan bahawa mereka dicintai tanpa syarat.
Keempat ialah rasa diperlukan. Anak-anak perlu mengetahui bahawa kewujudan mereka membawa makna kepada keluarga. Apabila diberikan tanggungjawab yang sesuai dan peluang untuk menyumbang, mereka akan belajar menghargai diri sendiri serta memahami bahawa mereka mempunyai peranan penting dalam kehidupan orang lain.
Kelima ialah rasa dihormati. Ramai ibu bapa mengharapkan penghormatan daripada anak-anak tetapi kadangkala terlupa bahawa anak-anak juga perlu dihormati sebagai individu yang sedang membesar. Mendengar pandangan mereka dan menghargai perasaan mereka akan membantu membentuk harga diri yang sihat.
Keenam ialah rasa dipercayai. Kepercayaan yang diberikan oleh seorang ayah merupakan sumber motivasi yang sangat besar. Apabila anak merasakan ayah percaya kepada kemampuan mereka, mereka akan lebih terdorong untuk bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri dan berusaha menjaga kepercayaan tersebut.
Apabila keenam-enam vitamin jiwa ini diterima secara konsisten, anak-anak akan membesar dengan asas emosi dan psikologi yang lebih kukuh. Mereka lebih berupaya mengurus tekanan, membuat keputusan yang matang dan menghadapi cabaran kehidupan dengan lebih baik. Sebaliknya, kekurangan unsur-unsur ini boleh menyebabkan mereka mencari pengganti daripada sumber lain yang belum tentu membawa kebaikan.
Dalam dunia moden yang semakin mencabar, tugas menjadi seorang bapa juga semakin kompleks. Tekanan ekonomi, tuntutan kerjaya dan perkembangan teknologi menyebabkan ramai bapa menghabiskan sebahagian besar masa di luar rumah atau tenggelam dalam kesibukan harian.
Namun, dalam mengejar kejayaan hidup, jangan sampai anak-anak membesar tanpa mengenali suara nasihat ayah, tanpa merasai sentuhan kasih sayangnya dan tanpa memahami nilai kehidupan yang ingin diwariskan kepada mereka.
Hubungan yang kukuh antara bapa dan anak tidak dibina melalui kemewahan atau pemberian material semata-mata. Ia dibina melalui masa yang diluangkan bersama, perbualan yang bermakna, teguran yang penuh hikmah, doa yang tidak pernah putus dan kasih sayang yang sentiasa dirasai.
Sempena Hari Bapa, marilah kita menghidupkan kembali figura seorang ayah dalam keluarga. Bagi para bapa, jadilah insan yang bukan sahaja hadir secara fizikal tetapi juga dekat di hati anak-anak. Jadilah sumber keselamatan, kasih sayang, penghormatan dan kepercayaan yang akan membimbing mereka sepanjang kehidupan.
Sesungguhnya, antara tragedi terbesar dalam sesebuah keluarga bukanlah apabila seorang bapa meninggal dunia. Tragedi yang lebih menyedihkan ialah apabila figura seorang bapa telah mati dalam jiwa seorang anak sedangkan ayahnya masih hidup di depan mata.
Jika keadaan ini berlaku, bukan sahaja hubungan kekeluargaan yang terjejas, malah kompas kehidupan seorang anak juga berisiko kehilangan arah.
Itu adalah kerana setiap bapa perlu memastikan figuranya terus hidup dalam hati anak-anak. Daripada hubungan yang kukuh inilah lahir generasi yang berakhlak, berdaya tahan, mempunyai jati diri yang teguh dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta negara.

