PRN Negeri Sembilan 2026: Apakah faktor menentukan keputusan pilihan raya?
PRN Negeri Sembilan ini juga berlangsung dalam suasana politik yang berbeza daripada pilihan raya negeri sebelum ini.

NEGERI SEMBILAN mempunyai kedudukan yang unik dalam landskap politik negara. Komposisi pengundinya yang terdiri daripada kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar, di samping kewujudan beberapa kerusi yang sering dimenangi dengan majoriti kecil, menjadikan negeri ini antara medan persaingan yang sukar diramalkan.
PRN Negeri Sembilan ini juga berlangsung dalam suasana politik yang berbeza daripada pilihan raya negeri sebelum ini. Begitu juga faktor yang membawa PRN pada kali ini juga agak unit berbanding PRN di negeri lain.
Strategi parti-parti politik, bentuk kerjasama yang diwujudkan, isu-isu semasa, prestasi kerajaan serta kemunculan naratif baharu sepanjang kempen berpotensi mempengaruhi keputusan akhir.
Dalam disiplin sains politik, pilihan raya tidak boleh dinilai hanya berdasarkan sentimen atau keyakinan penyokong sesuatu parti. Sebaliknya, keputusan pilihan raya dipengaruhi oleh gabungan pelbagai faktor seperti strategi parti, isu semasa, prestasi kerajaan, kekuatan calon serta perubahan kecenderungan pengundi pada saat akhir.
Faktor Pertama: Strategi Parti Politik dan Corak Persaingan
Dalam mana-mana pilihan raya, strategi parti merupakan elemen penting yang menentukan kekuatan sesuatu gabungan. Strategi ini bukan hanya berkaitan jumlah kerusi yang ditandingi tetapi juga melibatkan pemilihan calon, kekuatan jentera, kemampuan menyampaikan mesej kepada rakyat serta sejauh mana parti mampu menyatukan penyokongnya.
Dalam PRN Negeri Sembilan, setiap gabungan mempunyai kekuatan dan cabaran tersendiri. Pihak yang sedang memerintah mempunyai kelebihan tertentu dari sudut pengalaman pentadbiran, pengenalan dasar dan hubungan dengan rakyat sepanjang tempoh pemerintahan. Namun pada masa yang sama, menjadi kerajaan juga membawa tanggungjawab untuk menjawab penilaian rakyat terhadap prestasi mereka.
Pihak pembangkang pula berusaha meyakinkan pengundi bahawa perubahan diperlukan dan menawarkan pendekatan alternatif. Kekuatan mereka bergantung kepada kemampuan mengubah sokongan politik kepada undi sebenar pada hari pengundian.
Dari sudut teori politik, keadaan ini boleh dikaitkan dengan Duverger’s Law yang menjelaskan bahawa perubahan bentuk pertandingan boleh memberi kesan terhadap corak keputusan pilihan raya. Apabila pertandingan sesama kelompok yang mempunyai sokongan hampir sama berkurangan, potensi perpecahan undi juga boleh berubah.
Namun teori ini bukan satu formula matematik yang menjamin kemenangan. Kejayaannya bergantung kepada satu persoalan besar, adakah penyokong di peringkat akar umbi benar-benar menerima strategi yang dirancang oleh kepimpinan parti?
Faktor Kedua: Naratif Kempen dan Pertarungan Persepsi
Dalam pilihan raya moden, bukan sahaja kekuatan organisasi menentukan keputusan tetapi juga kemampuan menguasai naratif. Teori Agenda Setting yang dikemukakan oleh Maxwell McCombs dan Donald Shaw menjelaskan bahawa pihak yang berjaya menentukan isu utama dalam perbincangan awam berpotensi mempengaruhi cara masyarakat menilai sesuatu pilihan raya.
Begitu juga dengan Framing Theory, yang menjelaskan bahawa sesuatu isu bukan sahaja dinilai berdasarkan fakta semata-mata, tetapi bagaimana isu tersebut dibingkaikan dan diterangkan kepada masyarakat. Dalam konteks PRN Negeri Sembilan, isu seperti ekonomi, kos sara hidup, pembangunan negeri, integriti, kestabilan politik dan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan boleh menjadi faktor yang mempengaruhi persepsi pengundi.
Hari-hari terakhir kempen lazimnya menjadi tempoh yang sangat penting kerana sebahagian pengundi masih menilai pilihan mereka. Sebarang perkembangan baharu atau perubahan naratif berpotensi mengubah kecenderungan sebahagian pengundi, khususnya mereka yang belum mempunyai keputusan muktamad.
Faktor Ketiga: Pengundi Atas Pagar Sebagai Jaringan Gol Terakhir
Dalam banyak pilihan raya, penyokong tegar sesuatu parti biasanya mempunyai pendirian yang lebih stabil. Oleh itu, pertandingan sebenar sering berlaku dalam kalangan pengundi yang masih belum membuat keputusan. Golongan ini dikenali dalam kajian politik sebagai swing voters.
Anthony Downs melalui Rational Choice Theory menjelaskan bahawa sebahagian pengundi membuat keputusan berdasarkan pertimbangan terhadap manfaat yang mereka jangka daripada sesuatu kerajaan. Mereka mungkin menilai isu ekonomi, prestasi pentadbiran, calon yang bertanding dan keadaan politik semasa sebelum membuat keputusan.
Jika sesuatu kawasan dimenangi dengan majoriti kecil, perubahan sokongan yang sederhana dalam kalangan pengundi atas pagar boleh membawa perubahan besar terhadap keputusan akhir. Sebagai contoh analisis, jika sebahagian daripada pengundi atas pagar di kawasan marginal berubah kecenderungan kepada satu-satu gabungan, ia boleh mengubah keputusan beberapa kerusi walaupun tidak berlaku perubahan besar dalam sokongan keseluruhan rakyat. Inilah sebabnya mengapa semua parti perlu memberi perhatian besar kepada kelompok ini kerana mereka sering menjadi penentu antara kemenangan dan kekalahan.
Faktor Keempat: Kekuatan kesatuan dalaman dan sokongan akar umbi.
Dalam konteks ini, pemikiran Ibn Khaldun mengenai konsep ‘asabiyyah memberikan satu perspektif yang menarik. Sesebuah gerakan politik tidak hanya bergantung kepada keputusan pemimpin tetapi juga tahap kesatuan dan kesediaan penyokong untuk melaksanakan strategi yang telah ditetapkan.
Sesebuah gabungan mungkin mempunyai strategi yang baik di atas kertas tetapi kejayaannya bergantung kepada sejauh mana strategi tersebut diterima oleh penyokong di peringkat bawah. Justeru sokongan akar umbi khususnya di hari pengundian akan menyumbang kepada kejayaan sesuatu parti atau gabungan parti yang bertanding.
Faktor Kelima: keupayaan sesebuah parti meyakinkan rakyat terhadap pendekatan menguntungkan masyarakat.
Perspektif politik Islam melalui pemikiran Imam al-Ghazali menekankan kepentingan maṣlaḥah atau kepentingan umum dalam urusan pemerintahan. Dalam sistem demokrasi moden, rakyat akhirnya akan menilai parti dan calon berdasarkan persepsi mereka terhadap kemampuan membawa kestabilan, kebajikan dan pembangunan. Oleh itu, pilihan raya bukan hanya pertandingan mendapatkan kuasa, tetapi juga pertandingan mendapatkan kepercayaan rakyat.
Kesemua faktor ini menunjukkan bahawa keputusan PRN Negeri Sembilan tidak boleh ditentukan hanya melalui satu ukuran seperti kekuatan tradisi sesuatu parti atau jumlah penyokong tegar. Sebaliknya, ia merupakan hasil interaksi antara strategi politik, persepsi awam, perubahan kecenderungan pengundi serta kemampuan setiap gabungan membina keyakinan rakyat sehingga hari pengundian.
Pengalaman Pilihan Raya Malaysia: Kuasa Perubahan Kecil Pengundi
Sejarah pilihan raya Malaysia menunjukkan bahawa keputusan politik tidak semestinya berubah kerana perubahan besar dalam keseluruhan pola sokongan rakyat. Dalam banyak keadaan, perubahan kecil dalam kecenderungan sebahagian pengundi sudah memadai untuk mengubah keputusan di kawasan yang mempunyai persaingan sengit.
Kita juga sering melihat bahawa kemenangan tidak hanya bergantung kepada jumlah penyokong tegar sesuatu parti, tetapi juga keupayaan sesebuah gabungan untuk meyakinkan kumpulan pengundi yang lebih sederhana dan fleksibel. Golongan ini mungkin tidak menghadiri ceramah politik, tidak aktif di media sosial dan tidak menunjukkan kecenderungan politik secara terbuka, namun keputusan mereka di peti undi boleh menentukan siapa yang menang.
Fenomena ini dapat dilihat khususnya di kawasan yang mempunyai majoriti kemenangan yang kecil. Apabila perbezaan antara calon hanya beberapa ratus undi atau tidak jauh daripada angka tersebut, perubahan sokongan dalam kalangan pengundi atas pagar boleh menjadi faktor penentu. Oleh sebab itu, parti politik perlu memberikan perhatian besar kepada kelompok pengundi yang belum membuat keputusan sehingga saat akhir.
Keadaan ini selari dengan konsep swing voters dalam kajian politik moden, iaitu kumpulan pengundi yang tidak mempunyai kesetiaan mutlak kepada mana-mana parti dan boleh berubah pilihan berdasarkan isu, keadaan semasa serta persepsi terhadap calon atau kerajaan.
Dalam konteks PRN Negeri Sembilan, persoalan utama bukan hanya berapa ramai penyokong setiap parti, tetapi sejauh mana setiap gabungan berjaya mempengaruhi kelompok pengundi yang masih menilai pilihan mereka. Jika perubahan kecil berlaku dalam kalangan pengundi atas pagar, kesannya mungkin besar terhadap beberapa kerusi yang mempunyai persaingan rapat.
Perspektif Politik Islam: Kesatuan dan Maslahah
Analisis politik moden boleh dilihat bersama perspektif pemikiran politik Islam. Ibn Khaldun melalui karya al-Muqaddimah memperkenalkan konsep ‘asabiyyah, iaitu kekuatan sesuatu pemerintahan bergantung kepada kesatuan dan solidariti kelompok yang menyokongnya.
Dalam konteks demokrasi moden, konsep ini boleh difahami sebagai pentingnya hubungan antara kepimpinan politik dengan sokongan akar umbi. Strategi yang dirancang oleh pemimpin hanya akan berkesan jika diterima dan dilaksanakan oleh penyokong. Imam al-Ghazali pula menekankan konsep maṣlaḥah dalam urusan masyarakat. Politik bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi berkaitan usaha mencapai kepentingan umum dan mengelakkan kemudaratan kepada rakyat. Atas dasar ini, setiap parti perlu berusaha meyakinkan masyarakat bahawa pendekatan mereka adalah pilihan yang paling membawa manfaat.
Kesimpulan: Keputusan Masih Terbuka
Menjelang hari pengundian, semua gabungan masih mempunyai ruang untuk mempengaruhi keputusan. Kekuatan organisasi, strategi kempen, kemampuan membina naratif serta sokongan pengundi atas pagar akan menjadi antara faktor utama yang menentukan arah politik Negeri Sembilan.
Dalam pilihan raya yang kompetitif, kelebihan awal tidak semestinya menjamin kemenangan, dan kelemahan awal tidak semestinya membawa kekalahan. Perubahan kecil dalam tingkah laku pengundi boleh menghasilkan kesan yang besar.
Oleh itu, PRN Negeri Sembilan 2026 bukan sahaja merupakan pertandingan antara parti politik, tetapi juga ujian terhadap strategi, persepsi dan keyakinan rakyat. Akhirnya semua pihak yang terlibat dengan PRN Negeri Sembilan ini terpaksa akur bahawa masa depan politik negeri tersebut ditentukan melalui pilihan para pengundi di peti undi pada hari kejadian. Wa Allah a’lam.
# Artikel ini merupakan analisis politik berdasarkan pemerhatian terhadap perkembangan kempen, teori sains politik serta corak pilihan raya terdahulu dan semasa. Sebarang pandangan dan senario yang dikemukakan bertujuan menghuraikan kemungkinan yang boleh berlaku, bukannya menyatakan keputusan yang pasti atau menyokong mana-mana parti politik. Keputusan sebenar hanya akan ditentukan oleh rakyat melalui peti undi.

