PRN Johor dan Negeri Sembilan: Isyarat kembali kepada politik kaum atau munculnya politik identiti baharu?

AdakahMalaysia sedang kembali kepada pola politik berasaskan kaum seperti era terdahulu, atau sedang memasuki fasa baharu yang lebih kompleks?

Feature Image (1)

PILIHAN Raya Negeri (PRN) ke-16 Johor dan Negeri Sembilan telahpun melabuhkan tirainya. Namun bagi mereka yang terlibat dengan kedua PRN ini, bahang kepanasannya masih dirasai sehingga kini. Bagi penganalisis dan pemerhati politik di tanah air pula pelbagai tanggapan dan persoalan yang berlegar yang memerlukan kajian dan pengamatan yang mendalam.

Berdasarkan keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan, timbul pertanyaan; adakah negara ini sedang kembali kepada pola politik berasaskan kaum seperti era terdahulu, atau sebenarnya sedang memasuki fasa baharu yang lebih kompleks iaitu politik identiti?

Persoalan ini menjadi semakin penting kerana selepas PRU14, ramai menjangkakan Malaysia akan bergerak ke arah politik baharu yang lebih berasaskan dasar, prestasi dan tadbir urus. Namun perkembangan politik selepas itu menunjukkan bahawa faktor identiti masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam menentukan pilihan pengundi.

Walau bagaimanapun, untuk memahami fenomena ini memerlukan pendekatan yang lebih berhati-hati. Politik identiti tidak semestinya bermaksud politik perkauman dalam bentuk lama. Dalam masyarakat majmuk, identiti sosial sentiasa menjadi sebahagian daripada proses politik. Persoalannya ialah sama ada identiti tersebut menjadi alat persaingan sempit atau menjadi asas membina keadilan dan keharmonian bersama.

Daripada Politik Reformasi kepada Politik Identiti Baharu

PRU14 dianggap sebagai titik perubahan apabila berlaku pertukaran kerajaan selepas lebih enam dekad. Perubahan tersebut melahirkan harapan bahawa politik Malaysia akan memasuki era baharu yang mengurangkan pergantungan kepada faktor etnik.

Namun selepas beberapa tahun, realiti menunjukkan bahawa identiti sosial masih memainkan peranan. Pengundi tidak membuat keputusan berdasarkan satu faktor sahaja. Mereka mempertimbangkan ekonomi, kos sara hidup, prestasi kerajaan, calon, agama, identiti komuniti dan persepsi terhadap masa depan kelompok mereka.

Oleh itu, fenomena semasa mungkin tidak menunjukkan kembalinya politik kaum seperti dahulu, tetapi kemunculan semula politik identiti dalam bentuk yang lebih moden.

Politik lama membahagikan masyarakat melalui formula kaum dan parti. Politik baharu pula menyaksikan identiti berinteraksi dengan faktor lain seperti kelas sosial, generasi, lokasi bandar atau luar bandar serta tahap pendidikan.

Isyarat PRN Johor dan Negeri Sembilan Terhadap Perubahan Sokongan

PRN Johor dan Negeri Sembilan memberikan beberapa isyarat penting bahawa pola sokongan pengundi sedang mengalami penyesuaian. DAP antara parti yang terkesan dengan penyesuaian ini. DAP sebagai sebuah parti yang berjaya memperluaskan pengaruh selepas PRU14 berhadapan cabaran baharu apabila politik identiti kembali mendapat perhatian. Jika kecenderungan ini berterusan, tidak mustahil berlaku penyusutan ketara sokongan terhadap DAP di kawasan tertentu sebagaimana kedudukannya sekitar dua dekad lalu.

Namun, perkara ini tidak semestinya bermaksud penolakan mutlak terhadap DAP. Ia mungkin menggambarkan bahawa sokongan pengundi sedang kembali kepada pola yang lebih seimbang selepas satu tempoh perubahan besar politik.

Begitu juga dengan parti-parti yang bekerjasama dengan DAP seperti PKR dan Amanah. Cabaran mereka bukan sekadar memenangi pilihan raya, tetapi menjelaskan kepada masyarakat bagaimana kerjasama politik tersebut mampu membawa manfaat kepada semua kelompok.

Keseimbangan Antara Perlindungan Identiti dan Prinsip Keadilan Sejagat.

Dalam konteks Negeri Sembilan, antara faktor yang sering disebut oleh pemerhati politik ialah penggunaan isu berkaitan kepentingan Melayu dalam kempen BN dan PN. Naratif mengenai kedudukan Melayu, agama Islam, hak bumiputera dan masa depan identiti Melayu menjadi antara tema yang mendapat perhatian sebahagian pengundi.

Bagi penyokong pendekatan ini, isu tersebut dilihat bukan sebagai penolakan terhadap kelompok lain, tetapi sebagai usaha memastikan kepentingan majoriti Melayu terus dipelihara dalam kerangka sejarah dan realiti masyarakat Malaysia.

Namun, cabaran utama dalam politik Malaysia ialah bagaimana membezakan antara perjuangan kepentingan kelompok dengan politik eksklusif. Mempertahankan kepentingan sesuatu komuniti tidak semestinya bersifat rasis selagi ia tidak menafikan hak kelompok lain dan masih berada dalam kerangka keadilan.

Dalam masa yang sama, parti-parti yang membawa agenda masyarakat bukan Melayu juga mempunyai hak untuk menyuarakan kepentingan komuniti mereka. Persoalannya bukan sama ada sesuatu kelompok boleh membicarakan kepentingannya atau tidak, tetapi bagaimana semua tuntutan tersebut diseimbangkan dalam kerangka kepentingan nasional.

Di sinilah muncul cabaran persepsi terhadap DAP dan parti-parti yang bekerjasama dengannya. Sebahagian pengundi Melayu melihat terdapat ketidakseimbangan apabila usaha mempertahankan kepentingan Melayu sering dilabel sebagai politik perkauman, sedangkan perbincangan mengenai kepentingan komuniti bukan Melayu dianggap sebagai hak demokrasi biasa. Persepsi seperti ini, sama ada benar atau tidak, memberi kesan terhadap penerimaan sesetengah kelompok pengundi.

Dalam hal ini, semua parti politik perlu lebih berhati-hati dalam mengurus isu identiti. Perbincangan mengenai kepentingan Melayu tidak seharusnya terus dianggap sebagai rasis, sebagaimana perjuangan hak komuniti lain juga tidak semestinya dianggap sebagai ancaman. Dalam masyarakat majmuk, ukuran yang lebih penting ialah sama ada sesuatu tuntutan itu membawa kepada keadilan, keseimbangan dan keharmonian bersama.

Generasi muda khususnya semakin menuntut pendekatan yang lebih seimbang. Mereka tidak semestinya menolak identiti kelompok, tetapi mereka juga tidak mahu politik identiti digunakan untuk mewujudkan ketakutan antara masyarakat. Mereka mahukan dasar yang adil, peluang yang saksama dan pentadbiran yang melihat rakyat berdasarkan keperluan serta sumbangan mereka.

Dalam kerangka pemikiran Ibn Khaldun, kekuatan sesuatu kelompok melalui ‘asabiyyah boleh menjadi positif apabila ia membawa kepada solidariti dan pembangunan, tetapi menjadi negatif apabila berubah menjadi permusuhan terhadap kelompok lain. Oleh itu, politik identiti hanya akan memberi manfaat apabila ia bergerak daripada persaingan kelompok kepada usaha mencapai maslahah bersama.

Dalam konteks politik moden, identiti kelompok boleh menjadi kekuatan positif apabila ia mendorong masyarakat memperjuangkan keadilan, menjaga kepentingan bersama dan menyumbang kepada kestabilan negara. Sebaliknya, apabila identiti berubah menjadi sikap menolak atau memusuhi kelompok lain, ia boleh menjadi faktor perpecahan.Oleh itu, cabaran politik Malaysia bukan menghapuskan identiti masyarakat, tetapi memastikan identiti tersebut berada dalam kerangka keadilan dan kepentingan nasional.

Maslahah ‘Ammah: Ukuran Sebenar Kejayaan Politik

Dalam pemikiran al-Ghazali, tujuan utama pemerintahan ialah memelihara maslahah (kepentingan) manusia dan mengelakkan kerosakan terhadap mereka. Politik tidak dinilai hanya melalui kemenangan mendapatkan kuasa, tetapi melalui kemampuan menghasilkan kebaikan umum selepas memperoleh kuasa.

Konsep maslahah ‘ammah memberikan satu perspektif penting dalam membaca pilihan raya Malaysia. Pengundi bukan hanya memilih berdasarkan siapa yang paling kuat dari segi identiti, tetapi juga siapa yang mereka percaya mampu menjaga kepentingan masyarakat. Dalam konteks hari ini, maslahah umum merangkumi isu seperti keharmonian dalam hubungan kaum dan agama, kestabilan politik dan ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan, keselamatan, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat.

Begitu juga pandangan Imam al-Haramayn al-Juwayni dalam pemikiran politik Islam yang menekankan kepentingan kepimpinan yang mampu menjaga kestabilan urusan masyarakat. Pemerintahan bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi satu amanah untuk mengurus kehidupan manusia.

Perspektif ini menunjukkan bahawa politik identiti sahaja tidak mencukupi untuk menjamin sokongan rakyat dalam jangka panjang. Identiti mungkin menarik sokongan awal, tetapi kemampuan menjaga maslahah masyarakat akan menentukan kelangsungan politik di Malaysia.

Fenomena Sementara atau Perubahan Politik Baharu?

Persoalan penting ialah sama ada perkembangan ini hanya bersifat sementara atau merupakan tanda perubahan struktur politik Malaysia. Dalam ilmu politik, perubahan yang berpanjangan dalam sokongan pengundi dikenali sebagai political realignment. Namun perubahan seperti ini hanya dapat dikenal pasti selepas beberapa siri pilihan raya.

Jika pola pengundian berasaskan identiti terus berulang dalam sesi PRN selepas ini hingga ke PRU16 dan pilihan raya seterusnya, maka ia mungkin menunjukkan perubahan besar dalam sistem politik Malaysia. Sebaliknya, jika faktor kestabilan politik, ekonomi, prestasi kerajaan dan isu semasa kembali menjadi penentu utama, maka fenomena ini mungkin hanya satu fasa sementara.

Kesimpulan

PRN Johor dan Negeri Sembilan memberikan satu mesej penting bahawa identiti masih menjadi unsur yang berpengaruh dalam politik Malaysia. Namun, mengatakan bahawa Malaysia telah kembali sepenuhnya kepada politik kaum seperti masa lalu adalah kesimpulan yang terlalu mudah. Realiti yang lebih tepat ialah Malaysia sedang berhadapan dengan politik identiti baharu yang menjadikan faktor kaum, agama, ekonomi, generasi dan prestasi kerajaan saling berinteraksi antara satu sama lain.

Dalam perspektif Ibn Khaldun, identiti kelompok boleh menjadi sumber kekuatan apabila diterjemahkan sebagai solidariti yang membawa kebaikan bersama. Dalam perspektif al-Ghazali dan tradisi siyasah Islam, ukuran terakhir politik bukan sekadar kemenangan, tetapi kemampuan menghasilkan maslahah untuk masyarakat.

Masa depan politik Malaysia akhirnya bergantung kepada kemampuan parti politik menjawab satu persoalan utama iaitu “siapa yang mampu menjaga kepentingan semua rakyat” demi Malaysia tercinta bukan “siapa yang mewakili kelompok tertentu” demi mengekalkan kuasa. Wa Allah a’lam