Perbezaan tafsiran kandungan drama, berhenti sejenak dan hayatilah

Adakah menjadi sesuatu yang ganjil apabila terdapat perbezaan tafsiran walaupun berbicara berpandukan naskah yang sama?

Feature Image

SERING benar kita mendengar tentang perbezaan tafsiran terhadap sesebuah karya kreatif terutamanya drama dalam menyampaikan mesej kehidupan kepada masyarakat. Kita dapat melihat bagaimana penonton memberikan reaksi berbentuk pendapat sejurus selesai menonton dan mungkin bakal menjadi perbualan masyarakat yang rata-ratanya berkemungkinan mempunyai pandangan yang sama, sedikit berbeza ataupun bertentangan secara ideanya.

Namun, adakah menjadi sesuatu yang ganjil apabila terdapat perbezaan tafsiran walaupun berbicara berpandukan naskah yang sama?

Perbincangan ini dimulakan dengan menyentuh tentang aktiviti harian kita dimasa lapang sebagai perumpamaan umum. Andaian ringkas, kita mungkin telah banyak mengisi masa untuk membaca buku, mendengar lagu, melihat gelagat orang sekeliling dan berbual dengan rakan seusia.

Kesemua aktiviti ini merupakan aktiviti yang boleh diungkapkan dengan mudah dalam menyantuni masa lapang kehidupan seharian seseorang individu. Kita barangkali sedar bahawa setiap kali menjalani aktiviti berkenaan, pada hakikatnya kita sedang membuat pentafsiran dan penilaian tentang cara orang lain dalam mentafsirkan suatu konsep.

Dengan mengambil contoh yang diberikan, secara idealnya individu akan terlibat dalam memahamkan diri apabila membaca hasil sesebuah penulisan agar seiring dengan pemikiran mereka dalam memahami konteks yang dibawa.

Individu akan menyanyikan lagu kegemaran yang berupaya membawa suasana atau mood berdasarkan gambaran sesuatu situasi yang memihak kepada mereka dan individu juga akan bertanyakan tentang sesuatu sebab kejadian apabila menyaksikan atau melihat pemandangan yang berlaku disekitar mereka.

Tatkala berbual dengan rakan pun sebenarnya kita masih lagi terikat dengan tafsiran sendiri terhadap topik yang diperbualkan. Bukan sahaja terhad kepada topik malah cara ulasan melalui kata-kata juga dinilai kewajarannya. Begitulah, asasnya seseorang manusia itu membuat tafsiran dalam proses kehidupan seharian.

Dalam landskap menonton drama sejak dahulu hingga kini, wujud keunikan dalam mentafsif naskah kreatif secara berbeza daripada maksud asal yang dijelmakan oleh pihak pengarah, penulis skrip mahupun penerbit. Bagi pihak produksi, pemilihan tema dan mesej tertentu merupakan kunci pada sesebuah karya yang diterbitkan.

Mesej kebisaannya berlandaskan hasrat atau keinginan untuk memenuhi tuntutan kemanusiaan yang membawa manfaat kepada masyarakat. Setiap idea yang disusun dan diolah adalah selaras dengan mesej yang hendak dibawakan secara bertanggungjawab dalam memastikan karya kreatif tersebut mampu menyemarakkan kebaikan berbanding kemudaratan menerusi plot penceritaan yang dicipta agar memberi impak sepertimana dihasratkan.

Sebuah idea yang dilontar melalui kesempurnaan jalan cerita, kelunakan ruang dialog, penyesuaian lakonan dan sudut pandangan seni demi mengusulkan mesej yang menyumbang kepada pembentukan pemikiran masyarakat. Namun dalam proses menyampaikan sesuatu mesej yang bersifat kreatif ada kalanya simpulan tafsiran mungkin berlaku sebaliknya.

Karya yang dilahirkan dengan maksud yang betul akhirnya diulas dengan kadar yang sinis oleh penonton. Rangkuman mesej yang cuba disampaikan mendapat kritikan dan membentuk persepsi khalayak yang menyinggung tanpa sebuah penjelasan yang adil. Hal ini boleh berlaku pada mana-mana hasil karya kreatif drama tanpa ada pengecualian.

Mengapa keadaan ini berlaku dan sejauhmana tafsiran yang tercipta menyusur kebenaran dalam konteks karya seni?

Salah satu yang nyata adalah sudut penghayatan makna yang berbeza-beza berdasarkan pengalaman dan konteks penonton. Kita sedar bahawa citarasa khalayak adalah pelbagai yang terarah kepada minat dan tujuan menonton. Oleh hal yang demikian, tafsiran dan interpretasi makna adalah suara untuk memecahkan segala aspek yang terkandung dalam drama.

Antaranya tafsiran yang kerap diangkat adalah dari sudut logika jalan cerita yang mungkin tidak mencerminkan realiti kehidupan sebenar atau lebih tepat hanyalah rekaan imaginasi pengarahan sahaja yang hampir pasti mempunyai kelonggaran alunan cerita yang menghubungkan keseluruhannya.

Hal ini kemungkinan atas faktor pengalaman individu pada masa lalu yang mempunyai persamaan atau perbezaan dengan konteks yang dibawakan dalam drama. Apabila penonton membuat suatu pembezaan antara perkara yang ditonton dengan pengalaman yang pernah dilalui maka akan muncullah suatu sisi tafsiran yang berkemungkinan menolak atau menerima perspektif naskah drama berkenaan.

Tafsiran yang disisipkan bersama hujah yang menyokong pendapat, mengenal pasti perbezaan dan paling tidak membandingkan dengan pengalaman yang selari dengan konteks yang dibawakan oleh sesuatu drama.
Lazimnya, penonton akan berfikir berdasarkan pemerhatian ketika menonton dan tanpa sengaja tiba-tiba menemukan titik kebolehpercayaan terhadap sesuatu penentu yang meletakkan dirinya untuk membuat perbandingan dengan pengalaman nyata yang pernah dilalui.

Ia seperti suatu refleksi atau kesimpulan yang terbina hasil dari penemuan tadi. Maka tidak hairanlah apabila berlaku kebarangkalian pemerhatian penonton akan mempunyai tanggapan dan perbezaan tafsiran ekoran pengalaman pada situasi yang sama.

Sememangnya diakui bahawa karya kreatif terutama yang mengangkat tema kisah kehidupan masyarakat adalah sebuah cerita rekaan atau diilustrasikan berdasarkan kisah benar yang terjadi. Pertelingkahan adik beradik, keretakan hubungan suami isteri, kegagalan didikan anak-anak dan segala bentuk konflik yang biasa berlaku dalam sebuah keluarga yang mungkin tidak sempurna kisahnya.

Sesuatu yang begitu hampir dengan pemerhatian dan pengalaman masyarakat maka sudah tentu bakal menjelmakan persoalan jika pengkisahan ini tidak diangkat dengan cermat apatah lagi jika perbandingan dilakukan antara kandungan skrin dengan realiti kehidupan. Situasi ini adalah intisari yang berlaku tatkala penonton membuat membandingkan dalam mencari suatu kepuasan tontonan.

Walaupun kedua-dua pihak iaitu pihak penerbit dan juga penonton sudah tentunya menyedari bahawa setiap naskah drama yang dihasilkan adalah untuk tatapan umum sahaja. Drama senantiasa ingin membawakan mesej tertentu bagi tujuan perkongsian dengan masyarakat dalam memberikan pedoman kehidupan namun ada kalanya percubaan untuk membentuk suatu pandangan umum bukanlah penentu mutlak.

Dari satu sisi, keterlibatan penonton untuk membahaskan tafsiran merupakan sesuatu yang positif dalam galakan merencanakan naskah yang lebih baik pada masa hadapan. Ia bukan sekadar tentang ekspresi pendapat yang memberitahu apa yang perlu didengar dan apa yang perlu diperkatakan tetapi lebih dari itu.

Dari sudut realitinya, drama dengan pengalaman kehidupan penonton boleh dijalinkan untuk menjadi panduan dalam meniti kehidupan dan menjadi daya transformasi ke arah yang lebih praktikal dari sudut membuat tafsiran berdasarkan aliran pemikiran individu. Dengan kata mudah, mentafsir adalah kebolehan individu dalam mencabar fikiran untuk memahami antara karya yang dibina dengan berlandaskan pemerhatian kehidupan sebenar.

Sebagai penutup, tafsiran terhadap karya seni adalah platform untuk mengenal dan memahami dunia yang kita huni ini dengan menjadikan drama sebagai medium untuk mempertajamkan analisis kehidupan. Jika terdapat perbezaan pandangan maka berhenti sejenak untuk memimpin fikiran dan hayatilah naskah seni ini dengan hati yang terbuka.