UM perkasa usahawan mikro B40 melalui integrasi digital
DIGI4B40 bukan sekadar program latihan, sebaliknya menjadi platform yang menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan sebenar komuniti.
KUALA LUMPUR, 3 Ogos 2026 – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus menjadi tunjang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan menyediakan peluang pekerjaan, merangsang aktiviti ekonomi setempat serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Namun, di sebalik peranan penting itu, ramai usahawan mikro, khususnya dalam kalangan komuniti B40 masih bergelut dengan pelbagai cabaran termasuk penguasaan teknologi digital yang terhad, pengurusan kewangan yang kurang sistematik dan kekurangan akses kepada latihan pembangunan kapasiti.
Dalam era ekonomi digital yang semakin kompetitif, kekangan ini bukan sahaja mengehadkan keupayaan mereka untuk meningkatkan produktiviti dan meluaskan pasaran, malah boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan.
Menyedari hakikat itu, Universiti Malaya (UM) menerusi Program Pemindahan Ilmu di bawah Malaysian Research University Network (MRUN) dengan kerjasama penduduk PPR Seri Alam melaksanakan Projek Pemerkasaan Usahawan Mikro B40 Melalui Integrasi Digital: Kelestarian, Pemasaran, Kewangan dan Perakaunan (DIGI4B40).
Projek selama 12 bulan yang diketuai Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Dalilawati Zainal itu memberi fokus kepada pemerkasaan usahawan mikro wanita B40 di PPR Seri Alam melalui pemindahan ilmu, pembangunan kemahiran digital dan pengukuhan pengurusan perniagaan.
DIGI4B40 bukan sekadar program latihan, sebaliknya menjadi platform yang menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan sebenar komuniti.
Melalui pendekatan berasaskan pemindahan ilmu, peserta dibimbing memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan kecekapan operasi, memperluaskan pasaran dan membina perniagaan yang lebih mampan.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi negara untuk memperkasa PMKS menerusi transformasi digital, peningkatan produktiviti dan pembangunan keusahawanan berasaskan pengetahuan.
Keunikan projek ini ialah setiap peserta turut dibekalkan telefon pintar berserta langganan data mudah alih bulanan sepanjang program. Kemudahan ini memastikan peserta dapat mengakses aplikasi digital dan platform pembelajaran tanpa dibatasi oleh kekangan peranti atau capaian internet.
Lebih penting, sokongan tersebut meningkatkan motivasi dan keyakinan peserta untuk mengaplikasikan teknologi digital secara langsung dalam pengurusan dan pemasaran perniagaan mereka.
Fasa pertama projek yang selesai dilaksanakan pada Jun lalu memberi tumpuan kepada empat modul utama, iaitu Pemasaran, Perakaunan, Kewangan dan Kelestarian.
Melalui modul pemasaran, peserta didedahkan kepada penggunaan WhatsApp Business sebagai platform komunikasi perniagaan yang lebih profesional melalui fungsi katalog produk, mesej automatik dan pengurusan tempahan yang lebih sistematik. Pendekatan ini membantu usahawan meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memperkukuh hubungan dengan pelanggan.
Dalam modul perakaunan pula, peserta dilatih menggunakan aplikasi Kyte untuk merekod jualan, mengurus inventori, menyimpan maklumat pelanggan dan memantau prestasi perniagaan secara digital. Penggunaan aplikasi ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada rekod manual, malah membantu menghasilkan rekod kewangan yang lebih kemas, tepat dan mudah dianalisis.
Fungsi katalog digital dalam aplikasi tersebut juga boleh dihubungkan terus dengan WhatsApp Business, sekali gus memudahkan pelanggan melihat produk dan membuat tempahan dengan lebih pantas.
Bagi modul kewangan, peserta dibimbing memahami kepentingan pengiraan kos perniagaan yang tepat sebagai asas kepada penetapan harga, perancangan keuntungan dan kelangsungan perniagaan. Mereka turut didedahkan kepada kaedah mengenal pasti kos bahan mentah, kos operasi dan kos keseluruhan agar setiap keputusan perniagaan dibuat berdasarkan maklumat kewangan yang tepat.
Penekanan turut diberikan kepada kepentingan mengasingkan kewangan peribadi daripada kewangan perniagaan bagi mengelakkan kebocoran wang, memudahkan pemantauan aliran tunai serta menilai keuntungan sebenar perniagaan.
Selaras dengan agenda pembangunan mampan, modul kelestarian pula memberi penekanan kepada amalan terbaik dalam pengurusan sumber, pengurangan pembaziran dan pelaksanaan operasi yang lebih mesra alam. Pendekatan ini membantu peserta membina perniagaan yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.

Kejayaan pelaksanaan fasa pertama membuktikan bahawa pendekatan pemindahan ilmu yang menggabungkan kepakaran universiti dengan keperluan sebenar komuniti mampu menghasilkan impak yang signifikan.
Selain meningkatkan literasi digital dan kecekapan pengurusan perniagaan, projek ini turut meningkatkan keyakinan usahawan untuk memanfaatkan teknologi sebagai pemangkin pertumbuhan perusahaan mereka.
Memasuki fasa seterusnya, peserta akan terus menerima bimbingan, pemantauan dan sesi konsultasi secara berkala bagi memastikan ilmu yang dipelajari diterjemahkan kepada peningkatan prestasi perniagaan.
Melalui sokongan berterusan ini, DIGI4B40 dijangka menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah, memperkukuh ekonomi komuniti serta melahirkan lebih ramai usahawan mikro yang berdaya tahan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital, khususnya dalam sektor makanan dan minuman (F&B).
Lebih daripada sebuah program latihan, DIGI4B40 membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi mampu menjadi pemangkin perubahan sosial apabila kepakaran akademik diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Inisiatif ini memperlihatkan komitmen Universiti Malaya dalam memastikan ilmu yang dijana di universiti bukan sekadar kekal di bilik kuliah atau makmal penyelidikan tetapi benar-benar dimanfaatkan untuk memperkasa komuniti dan menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih inklusif dan mampan.
Menurut Dr. Dalilawati, kejayaan pelaksanaan DIGI4B40 di PPR Seri Alam diharap menjadi pemangkin kepada peluasan program yang sama ke kawasan PPR lain di seluruh negara melalui kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan dan sektor swasta.
“Ahli akademik mampu menyumbangkan kepakaran dan hasil penyelidikan bagi membangunkan kapasiti komuniti. Namun, untuk memastikan impaknya lebih meluas, kami memerlukan sokongan industri bagi menyediakan peranti digital, kemudahan rangkaian internet dan langganan aplikasi digital manakala agensi kerajaan pula berperanan menghubungkan universiti dengan komuniti yang memerlukan. Setiap pihak mempunyai kekuatan tersendiri. Apabila digabungkan, impaknya jauh lebih besar,” katanya.
Beliau berkata, kolaborasi pintar antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti bukan sahaja mampu memperluaskan manfaat program seperti DIGI4B40, malah dapat mewujudkan ekosistem pembangunan keusahawanan yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi.
Kerjasama erat yang berterusan antara semua pihak amat penting bagi menjamin kelestarian projek serta memastikan lebih ramai usahawan mikro B40 dapat memanfaatkan transformasi digital untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup mereka.
