Pendidikan media mampu lahirkan graduan yang adil, memahami nilai

Penceritaan yang baik bukan sekadar bergantung pada kemahiran teknikal tetapi menuntut pemahaman terhadap manusia, tempat dan konteks yang membentuk sesuatu cerita.

Feature Image

DALAM dunia hari ini, menghasilkan video bukan lagi sesuatu yang luar biasa kerana hampir semua orang boleh melakukannya. Namun, persoalan yang lebih penting ialah sama ada kemampuan menghasilkan kandungan itu disertai dengan keupayaan membina cerita yang benar-benar bermakna.

Penceritaan yang baik bukan sekadar bergantung pada kemahiran teknikal tetapi menuntut pemahaman terhadap manusia, tempat dan konteks yang membentuk sesuatu cerita.

Kemajuan teknologi telah menjadikan proses menghasilkan kandungan semakin mudah. Peralatan yang dahulunya hanya dimiliki organisasi media kini boleh diakses melalui telefon pintar. Perisian suntingan juga semakin mesra pengguna manakala kecerdasan buatan mampu membantu menghasilkan visual, audio dan teks dalam masa yang singkat.

Namun, semua kemudahan ini tidak semestinya melahirkan pencerita yang lebih baik. Kandungan yang menarik dari sudut teknikal masih boleh gagal menyampaikan makna sekiranya konteks yang melatari sesuatu cerita tidak benar-benar difahami.

Inilah cabaran yang semakin penting dalam pendidikan media. Pengajaran di universiti sememangnya berjaya membina asas yang kukuh dari segi penulisan, penggambaran, penyuntingan dan penerbitan kandungan.

Namun, persoalan yang wajar diberi perhatian ialah sama ada pelajar turut didedahkan kepada pengalaman yang membolehkan mereka memahami bagaimana sesuatu cerita terbentuk dalam dunia sebenar. Penceritaan yang berkesan bukan sekadar menyampaikan apa yang berlaku tetapi membantu khalayak memahami mengapa sesuatu itu berlaku.

Memahami konteks bermaksud melihat sesuatu isu secara lebih menyeluruh. Ia melibatkan usaha memahami sejarah sesuatu tempat, latar belakang masyarakat, hubungan antara pelbagai pihak, serta kesan sesuatu naratif terhadap khalayak.

Tanpa pemahaman ini, seseorang mungkin berjaya menghasilkan kandungan yang menarik perhatian tetapi belum tentu berjaya menghasilkan cerita yang adil, bertanggungjawab dan memberi makna.

Pengalaman melalui inisiatif Suara Bukit memperlihatkan perkara ini dengan jelas. Kolaborasi antara Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya dan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia bukan sekadar memberi peluang kepada pelajar menghasilkan dokumentari di Bukit Bendera.

Lebih penting daripada itu, mereka berpeluang berinteraksi secara langsung dengan komuniti, memahami nilai warisan yang terdapat di kawasan tersebut, serta menyedari bahawa setiap keputusan dalam proses penceritaan membawa implikasi terhadap cara sesuatu tempat difahami oleh masyarakat.

Pengalaman seperti ini memperlihatkan perbezaan yang ketara antara pembelajaran di dalam bilik kuliah dengan pembelajaran di lapangan. Bilik kuliah menyediakan teori, konsep dan kemahiran asas yang penting. Namun, pengalaman di lapangan melatih pelajar membuat pertimbangan apabila berhadapan dengan situasi yang tidak dapat dirancang sepenuhnya.

Mereka perlu menyesuaikan diri dengan kekangan masa, berkomunikasi dengan pelbagai pihak, menghormati sensitiviti setempat dan membuat keputusan editorial berdasarkan realiti yang dihadapi, bukan semata-mata berdasarkan perancangan awal.

Kemahiran membuat pertimbangan inilah yang membezakan antara seorang penghasil kandungan dengan seorang pencerita. Kecekapan mengendalikan kamera atau perisian penyuntingan boleh dipelajari melalui latihan yang berterusan tetapi kebijaksanaan memahami konteks hanya berkembang apabila seseorang benar-benar mendekati masyarakat dan mendengar cerita daripada mereka sendiri.

Atas sebab itu, pengalaman lapangan tidak seharusnya dilihat sebagai pelengkap kepada pembelajaran di universiti. Sebaliknya, pengalaman tersebut merupakan sebahagian daripada proses pendidikan yang membentuk cara pelajar berfikir, menilai dan memahami tanggungjawab mereka sebagai pembina naratif. Dalam era maklumat yang bergerak pantas, keupayaan membezakan antara menghasilkan kandungan dengan membina makna menjadi semakin penting.

Pendekatan ini juga sejajar dengan peranan universiti yang semakin menekankan hubungan antara ilmu dan masyarakat. Kejayaan sesebuah institusi bukan lagi diukur semata-mata melalui penerbitan ilmiah atau pencapaian akademik tetapi juga melalui keupayaannya melahirkan graduan yang mampu menggunakan ilmu untuk memahami dan menyumbang kepada masyarakat secara bermakna.

Kolaborasi antara universiti, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan membuka ruang kepada pengalaman pembelajaran yang lebih autentik dan relevan dengan keperluan semasa.

Dalam konteks yang lebih luas, pemahaman terhadap konteks bukan sahaja penting dalam bidang media, malah dalam hampir setiap bidang profesional. Sama ada dalam kewartawanan, komunikasi korporat, penyelidikan, pendidikan mahupun sektor awam, keputusan yang baik sentiasa bergantung pada keupayaan memahami manusia, persekitaran dan keadaan yang melatari sesuatu isu.

Kemahiran teknikal membuka ruang untuk berkarya tetapi pemahaman terhadap konteks menentukan nilai dan makna hasil karya tersebut.

Justeru, jika matlamat pendidikan media adalah untuk melahirkan graduan yang benar-benar bersedia menghadapi dunia sebenar, maka tumpuan tidak boleh terhad kepada penguasaan teknologi dan kemahiran produksi semata-mata.

Pendidikan media juga perlu memberi ruang yang lebih luas kepada pengalaman yang membolehkan pelajar memahami konteks sebelum mereka membina sesuatu cerita. Ini adalah kerana akhirnya, kekuatan sesebuah penceritaan tidak hanya terletak pada bagaimana ia disampaikan tetapi pada sejauh mana kita benar-benar memahami cerita yang ingin kita sampaikan.