Nilai dan semangat kemerdekaan bukan sekadar warisan
Di sebalik kemeriahan sambutan tersebut, wajar kita berhenti sejenak dan bertanya, di mana sebenarnya nilai dan semangat kemerdekaan kita hari ini?

SETIAP kali tiba bulan Ogos, kita sekali lagi menyambut hari yang penuh bermakna buat seluruh rakyat Malaysia. Bulan ini, kita dapat menyaksikan suasana kemerdekaan kembali mewarnai media sosial, pusat beli-belah, premis perniagaan, sekolah, universiti serta kawasan kejiranan. Jalur Gemilang mula dikibarkan, lagu-lagu patriotik berkumandang dan pelbagai program bertemakan kemerdekaan dianjurkan bagi menyemarakkan semangat cinta akan negara.
Namun, di sebalik kemeriahan sambutan tersebut, wajar kita berhenti sejenak dan bertanya, di mana sebenarnya nilai dan semangat kemerdekaan kita hari ini?
Kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan. Kemerdekaan juga membawa makna yang lebih besar, iaitu kebebasan untuk menentukan masa depan negara, membina kehidupan yang lebih baik serta hidup bersama dalam sebuah masyarakat yang aman dan bersatu. Justeru, semangat kemerdekaan seharusnya tidak terhad kepada sambutan pada bulan Ogos, tetapi diterjemahkan melalui sikap dan tindakan kita sepanjang tahun.
Generasi terdahulu memahami erti kemerdekaan melalui pengalaman yang penuh dengan cabaran dan pengorbanan. Mereka menyaksikan bagaimana perbezaan kaum, agama dan latar belakang boleh diketepikan demi mencapai matlamat yang lebih besar. Semangat untuk hidup bersama sebagai sebuah negara menjadi antara asas penting dalam pembentukan Malaysia.
Hari ini, generasi baharu mungkin tidak lagi berdepan dengan bentuk penjajahan yang sama. Namun, cabaran yang dihadapi juga semakin kompleks. Kita berdepan dengan dunia digital yang pantas, lambakan maklumat, penyebaran berita palsu, penipuan dalam talian, buli siber dan pelbagai bentuk perpecahan yang boleh berlaku hanya melalui satu hantaran di media sosial. Persoalannya, adakah kita benar-benar menggunakan kebebasan yang diwarisi dengan penuh tanggungjawab?
Kebebasan bersuara, misalnya, merupakan antara nilai penting dalam sebuah masyarakat yang merdeka. Namun, kebebasan tidak seharusnya disalahgunakan untuk menghina, memfitnah atau menjatuhkan maruah orang lain. Dalam dunia digital, satu komen yang ditulis dalam beberapa saat boleh tersebar kepada ribuan orang dan meninggalkan kesan yang jauh lebih besar daripada yang kita jangkakan.
Begitu juga dengan kebebasan mendapatkan dan berkongsi maklumat. Jika dahulu perjuangan adalah untuk mendapatkan akses kepada pendidikan dan pengetahuan, hari ini maklumat berada di hujung jari. Namun, akses yang mudah tidak semestinya menjadikan kita lebih bijak. Sebaliknya, kita perlu mempunyai keupayaan untuk menilai kesahihan maklumat, membezakan fakta daripada manipulasi dan tidak menjadi penyebar berita palsu.
Semangat kemerdekaan juga dapat dilihat melalui cara kita menghargai kepelbagaian. Malaysia dibina atas masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya. Perbezaan sepatutnya menjadi kekuatan, bukannya alasan untuk berpecah. Dalam kehidupan seharian, semangat merdeka boleh diterjemahkan melalui perkara yang sederhana seperti menghormati kepercayaan orang lain, menjaga tutur kata, membantu jiran dan bekerjasama tanpa mengira latar belakang.
Lebih penting, kemerdekaan perlu disertai dengan sifat tanggungjawab. Kita sering bercakap tentang hak sebagai rakyat, tetapi hak dan tanggungjawab sebenarnya berjalan seiring. Hak untuk bersuara datang bersama tanggungjawab untuk tidak menyebarkan kebencian. Hak untuk menikmati keamanan datang bersama tanggungjawab untuk menjaga keharmonian. Hak untuk mendapat pendidikan pula membawa tanggungjawab untuk menggunakan ilmu bagi menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Dalam konteks generasi muda, pemahaman terhadap kemerdekaan juga perlu diperluaskan. Mereka bukan sekadar perlu menghafal tarikh penting atau tokoh sejarah, tetapi memahami mengapa kemerdekaan itu penting dan bagaimana mereka boleh mempertahankannya dalam konteks kehidupan hari ini.
Mungkin perjuangan generasi terdahulu adalah untuk membebaskan negara daripada penjajahan. Perjuangan generasi hari ini mungkin berbeza di mana kita mempertahankan perpaduan, integriti, keamanan dan maruah negara dalam dunia yang semakin terbuka dan saling terhubung.
Oleh itu, semangat kemerdekaan tidak seharusnya diukur berdasarkan berapa banyak Jalur Gemilang yang kita kibarkan atau berapa kali kita melaungkan “Merdeka!”. Ia lebih bermakna apabila nilai tersebut tercermin dalam kehidupan kita seperti kita memilih untuk bersatu walaupun berbeza, memilih untuk menyemak sebelum berkongsi, memilih untuk menghormati walaupun tidak bersetuju dan memilih untuk melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa melihat.
Akhirnya, kemerdekaan bukan sekadar warisan untuk dikenang, tetapi amanah untuk diteruskan. Jika generasi terdahulu berjuang untuk memberikan kita sebuah negara yang merdeka, menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk memastikan negara itu terus aman, bersatu, berintegriti dan dihormati.
Maka, sempena sambutan kemerdekaan kali ini, mungkin soalan yang lebih penting bukanlah “Sudah berapa tahun kita merdeka?” tetapi “Apakah yang telah kita lakukan dengan kemerdekaan yang kita warisi?” Jawapannya terletak bukan pada kata-kata, tetapi pada tindakan kita setiap hari.

