Sudut pandangan filem, tanggungjawab mencetuskan nasihat dan pengajaran.
Filem yang membawakan seribu satu cerita yang melibatkan watak utama menjalani kehidupan dengan motosikal kesayangannya.

AKTIVITI bermotosikal seperti menunggang motosikal secara berkumpulan (Konvoi), rekreasi bermotosikal, pertandingan dan pameran serta pelbagai lagi boleh dikatakan sebagai pemandangan biasa dan popular diseluruh pelosok dunia.
Ia boleh dikategorikan sebagai salah satu hobi yang mempunyai ramai peminat dan pelbagai cerita jika diungkapkan perihal pengalaman individu yang terlibat. Malaysia juga tidak terkecuali apabila kita membincangkan tentang aktiviti bermotorsikal ini.
Dalam penulisan kali ini, penulis ingin membawakan satu olahan pendapat berkenaan perihal bermotosikal ini dalam persembahan drama atau filem. Umum mengetahui bahawa sejak dari dahulu lagi, pembikinan filem banyak mengungkap atau berlatarkan berkenaan kehidupan remaja dan alam motosikal sebagai daya tarikan umum untuk dijadikan sandaran bagi menarik minat penonton.
Filem yang membawakan seribu satu cerita yang melibatkan watak utama menjalani kehidupan dengan motosikal kesayangannya. Motosikal sebagai kemudahan dalam mencari rezeki, warisan pusaka keluarga, menggapai impian sejak kecil dan pelbagai kisah yang disusun dengan kemas agar mampu menjelmakan nostalgia bagi mereka yang menonton.
Hal ini kerana motosikal mempunyai keunikannya yang tersendiri. Tak kira samada motosikal itu mahal, berkuasa tinggi atau apa sahaja perbezaan yang ada namun persamaan dalam meniti pengalaman pahit manis bersamanya adalah suatu yang sangat sukar dilupakan.
Siapa sahaja yang tidak pernah mempunyai pengalaman menaiki ataupun memiliki motosikal diusia remaja suatu ketika dahulu? Pasti kita akan mendepani jawapan yang pada asasnya akan menyokong persoalan tersebut.
Manakan tidak, motosikal kebiasaannya adalah kenderaan berenjin pertama yang mampu dimiliki ketika mula menjejakkan kaki ke alam pekerjaan suatu ketika dahulu terutamanya pada sekitar tahun 80an hingga awal tahun 2000 dan mungkin keadaan ini dirasakan masih lagi sama pertimbangannya ketika ini.
Menyingkap suasana penerbitan filem yang menjadikan naratif berkisar aktiviti bermotosikal ini sebagai daya tarikan penonton telah lama bertapak di hati peminat filem terutamanya dikalangan remaja. Terdapat banyak naratif penceritaan yang membawakan latar kehidupan bermotosikal ini sebagai jambatan untuk menghubungkan jalan cerita dan tema utama yang ingin disampaikan.
Terdapat banyak filem yang berjaya mencuri perhatian dan berada dekat difikiran masyarakat berdasarkan zaman penerbitannya. Antaranya adalah seperti Gila-gila Remaja, Ali Setan, Azura, KL Menjerit, Remp-it, Adnan Sempit, Hantu Kapcai, Biker Kental hinggalah yang terkini Malaikat Malam.
Kesemuanya ini mewakili zaman dan cerita yang berbeza namun menjalani kehidupan bertemankan motosikal merupakan sandaran bagi perkembangan jalan cerita. Bukan itu sahaja malah tema yang diangkat juga pelbagai seperti kisah percintaan, aksi, komedi dan lain-lain yang bakal memberikan impak yang berbeza.
Seiring dengan perihal itu, persoalan yang timbul adalah bagaimana konteks bermotosikal ini digambarkan di dalam filem? Adakah ia digambarkan dengan cara yang tidak seharusnya atau sebenarnya memerlukan pemahaman yang lebih lanjut diakhir cerita? Bermaksud penilaian tidak sekadar bersandarkan pada satu atau dua babak tertentu tetapi harus dilihat dari kesempurnaan kesimpulan yang lebih besar dipengakhirannya.
Demikianlah seberkas catatan penceritaan dalam menyampaikan mesej kehidupan, pada asasnya perlu ada kesinambungan antara permulaan dan pengakhiran jalan cerita. Atau untuk mudah difahami ialah perlu ada ciri-ciri atau gaya dalam mempersembahkan konteks yang hendak disampaian.
Kebiasaannya, naratif filem atau drama akan dimulakan dengan perkara pokok yang hendak didedahkan, permulaan krisis, tindakan berterusan, kemuncak krisis, peleraian tindakan dan diakhiri dengan resolusi baik ataupun sebaliknya. Ini adalah merupakan teknik penceritaan asas atau gaya naratif klasik yang digunakan dan masih relevan hingga kini dalam menelusuri sesebuah filem.
Contoh ringkas bagi memudahkan pemahaman di atas, kisah kekeluargaan yang berkisarkan kisah anak yang derhaka pada ibu misalnya. Perlu ada permulaan yang menyantuni hubungan kekeluargaan ini iaitu bermula ketika si anak masih kecil, namun selepas anak ini menjadi dewasa ada perselisihan faham antara dia dan ibunya sehinggakan berlakunya pertengkaran ekoran sikap si anak yang telah berubah.
Seterusnya bermulalah episod kehidupan yang dilalui si anak tadi sehinggakan menimbulkan keinsafan pada akhirnya.
Ini merupakan contoh mudah bagi menerangkan bagaimana naskah seni dibina untuk dijadikan galur cerita yang sempurna mengikut konsep naratif klasik tersebut dan kebiasaannya inilah pendekatan yang direncanakan melalui filem atau drama secara asasnya.
Ringkasnya, perkara penting akan diterjemahkan diakhir cerita sebagai mesej utama yang hendak disampaikan kepada masyarakat. Mesej kemanusiaan yang harus diteladani daripada naratif untuk dijadikan pedoman dan iktibar dalam menjalani kehidupan mendatang.
Berbalik kepada pokok perbincangan berkaitan kisah kehidupan yang terkait dengan motosikal menerusi filem, secara umumnya kaedah yang sama juga dilaksanakan secara praktik. Sebuah kisah yang ada motif dan jalan cerita yang sudah pasti akan membawa kepada kesimpulan yang besar untuk dihayati oleh masyarakat.
Pendekatan yang sama jika diaplikasi, akan hadir jua babak yang digambarkan pada tahap permulaan krisis dan tindakan berterusan seperti keasyikan menunggang motosikal sehingga mengabaikan aspek keselamatan jalan raya misalnya dan juga mungkin akan melibatkan beberapa tindakan yang bersinonim dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan motosikal seperti bunyi ekzos bising, pengubahsuaian, memandu dengan cara merbahaya dan lain-lain lagi.
Inilah yang dikhuatiri apabila babak-babak tertentu mengambil alih perhatian sehingga mengabaikan keseluruhan mesej yang cuba disampaikan secara kolektif menerusi gaya naratif klasik tadi. Atau terdapat pendekatan yang tidak ada keseimbangan sebaiknya iaitu memberikan perhatian dan ruang yang lebih pada aksi mengunggang motosikal yang mungkin memonopoli keseluruhan jalan cerita.
Maka, perlu ada garisan yang menghadkan babak-babak yang mungkin bakal menjelmakan konotatif yang kurang disenangi. Walaupun gagasan akhirnya adalah berupa mesej pendidikan kepada masyarakat dalam susunan penuh filem namun pengisian antara babak juga harus diperhalusi agar dilakukan dengan kadar yang cermat dan sudut kewajarannya.
Sesebuah filem yang melibatkan permotoran misalnya haruslah berfungsi memberi peringatan dan teladan yang berkaitan dengan perkara tersebut. Menerusi babak, harus dititipkan bersama berkenaan intipati kempen keselamatan jalan raya melalui pendekatan penyampaian kreatif kepada masyarakat umum.
Walaupun dipentingkan mesej yang ingin disampaikan secara tersurat mahupun tersirat, namun kehalusan babak dan sudut pandangan masyarakat tetap harus disulami dan diadun dengan seindah-indahnya agar dapat melahirkan nilai-nilai insaniah serta kedalaman pemikiran tentang kewajaran sesuatu penceritaan.
Mesti ada kesinambungan dalam penceritaan filem antara menembusi realiti kehidupan dan tanggungjawab untuk mencetuskan kesedaran, keinsafan serta mesej kemanusiaan agar sesuatu yang dicipta tidak rebah.
Sekadar pendapat peribadi, sesebuah filem atau drama itu dikatakan berjaya jika naratifnya menjadikan cerita yang menarik, menghiburkan penonton dan menambah nilai-nilai bermanfaat serta berperanan sebagai sebuah karya yang memberikan suatu kebijakan kepada masyarakat dalam menjalani kehidupan.
Mungkin dari sudut menyampaian mesej, falsafah kehidupan dan suatu pengertian antara realiti filem dan kehidupan sebenar.
Namun begitu, pengalaman individu dan penghayatan mesej akan berbalik pada cita rasa masing-masing. Semoga segala mesej yang selalunya direncanakan melalui nasihat, pengajaran, gagasan dan contoh ikhtibar sepatutnya menjadi sesuatu yang berguna serta bermanfaat kepada penonton.

