Sukarelawan UM zahirkan senyuman Suku Jakun di Rompin
Kesedaran mengenai risiko kanser mulut akibat tabiat mengunyah sirih dan pinang yang menjadi amalan harian masyarakat Orang Asli Kaum Jakun di Rompin.

SERAMAI 53 sukarelawan dari Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), National Cancer Society of Malaysia (NCSM), Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA) serta disokong oleh tajaan dana daripada Perlis Plantation Berhad (PPB) Group Berhad menyertai Program Khidmat Masyarakat bersama Orang Asli di Balai Raya Kampung Sena, Rompin, Pahang pada 15 dan 16 Februari 2025.
Program itu menyokong inisiatif KPT Prihatin MADANI dengan matlamat memberikan perkhidmatan kesihatan komuniti serta meningkatkan kesedaran tentang isu-isu kesihatan melalui aktiviti promosi dan saringan kesihatan dalam kalangan masyarakat Orang Asli Kaum Jakun di Rompin.
Fakulti Pergigian UM merupakan salah satu institusi pendidikan kesihatan yang mengambil bahagian dalam program bermakna itu.
Objektif utama program ini adalah untuk memberikan perkhidmatan kesihatan pergigian kepada masyarakat Orang Asli di Rompin, di samping meningkatkan kesedaran mengenai risiko kanser mulut akibat tabiat mengunyah sirih dan pinang yang menjadi amalan harian mereka.
Sepanjang dua hari program ini berlangsung, seramai 261 penduduk kampung hadir ke Balai Raya Kampung Sena bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan pergigian.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk pendidikan kesihatan mulut, penskaleran gigi (cuci gigi), aplikasi topikal fluorida khusus untuk kanak-kanak serta saringan kanser mulut.
Sepanjang program ini, pasukan sukarelawan mendapati bahawa tabiat mengunyah sirih dan pinang merupakan amalan biasa dalam kalangan penduduk kampung dan majoriti daripada mereka mengamalkan tabiat ini sejak usia muda.
Tabiat ini, bersama merokok, merupakan faktor risiko utama yang dikaitkan dengan peningkatan kes kanser mulut. Kajian menunjukkan bahawa sirih yang dicampur dengan bahan tambahan seperti kapur, tembakau, atau bahan kimia lain boleh merosakkan tisu mulut dan meningkatkan risiko perkembangan sel kanser.
Selain itu, bahan kimia dalam asap rokok turut menyumbang kepada kerosakan tisu mulut serta perubahan dalam struktur sel yang boleh mencetuskan penyakit berbahaya ini.
Oleh itu, program ini menekankan kepentingan kesedaran terhadap tanda-tanda awal kanser mulut dan kepentingan pengesanan awal.
Hasil pemeriksaan mendapati bahawa majoriti penduduk mengalami masalah kesihatan pergigian yang serius. Sebanyak 65 peratus peserta mengalami kerosakan gigi (karies), manakala 64% menghadapi masalah gusi yang ketara.
Selain itu, sekitar 44 peratus mengamalkan tabiat mengunyah sirih pinang, sementara 45 peratus daripada mereka adalah perokok aktif, termasuk wanita.
Menyedari keadaan ini, pasukan pergigian mengambil langkah proaktif dengan memberi penerangan mengenai tanda-tanda kanser mulut serta risiko yang berkaitan.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan langkah pencegahan, khususnya dalam kalangan golongan muda agar lebih prihatin terhadap kesihatan mulut mereka.
Program itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Kehadiran mereka memberikan impak positif, bukan sahaja dalam memperoleh pendidikan mengenai kesihatan gigi tetapi juga dalam menanam kesedaran tentang kepentingan penjagaan diri.
Aktiviti interaktif seperti sesi mewarna dan demonstrasi ‘bersih saya sehingga bersih’ dalam memberus gigi turut menjadikan pengalaman itu lebih menyeronokkan, terutama bagi kanak-kanak.
“Sambutan terhadap pemeriksaan gigi sangat memberangsangkan, dengan ramai peserta sanggup menunggu giliran meskipun dalam keadaan hujan. Kami berharap program ini menjadi langkah awal dalam meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan penduduk Kampung Sena, Rompin.
“Dengan kerjasama daripada pelbagai agensi, kami berharap ia dapat memberikan impak positif kepada komuniti Orang Asli, khususnya Kaum Jakun di Rompin,” kata Profesor di Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Prof. Dr. Norliza Ibrahim yang terlibat dalam program itu.
Program khidmat masyarakat itu bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli, tetapi juga memberikan pengalaman berharga kepada pasukan sukarelawan dari UM.
Dr. Ng Aik Hao dari Fakulti Perubatan, yang mengetuai delegasi itu berkata, “Saya sangat gembira melihat kesungguhan para sukarelawan dalam mendekati penduduk kampung ini. Walaupun sebahagian besar daripada mereka sudah berpengalaman dalam aktiviti luar bandar, ini adalah kali pertama mereka berpeluang berinteraksi secara langsung dengan komuniti Orang Asli.”
Tok Batin yang mewakili penduduk Kampung Sena turut merakamkan penghargaan beliau terhadap usaha ini.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Program ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama antara pelbagai agensi dan komuniti untuk mencapai matlamat bersama. Saya berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan demi kesejahteraan masyarakat kami,” katanya.
Kejayaan ini membuktikan bahawa kerjasama antara sektor akademik, industri, dan komuniti mampu mencapai perubahan positif yang nyata.
Oleh itu, usaha sebegini harus diteruskan dengan penglibatan lebih banyak agensi bagi memperluaskan manfaat kepada lebih ramai masyarakat.
Semoga program ini dapat memberi impak jangka panjang dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan masyarakat Orang Asli.