Ground Team Red, Teleport lancar terminal kargo udara pertama di Sandakan

Kemudahan ini mengukuhkan keupayaan perdagangan rentas sempadan dan meningkatkan kadar import-eksport di Sabah, menyokong inisiatif pertumbuhan ekonomi negeri.

Poster Terkini

KUALA LUMPUR, 24 April 2025 – Ground Team Red Sdn Bhd (GTR), penyedia perkhidmatan pengendalian darat syarikat penerbangan terkemuka Malaysia, dengan kerjasama Teleport, pakar logistik e-dagang bersepadu di Asia Tenggara melancarkan gudang terminal kargo udara baharu di Sandakan pada 23 April 2025.

Kemudahan baharu ini bertujuan untuk mengukuhkan keupayaan perdagangan rentas sempadan dan meningkatkan kadar import-eksport di Sabah, menyokong inisiatif pertumbuhan ekonomi negeri.

Majlis pelancaran disempurnakan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong yang menandakan perkembangan penting dalam infrastruktur kargo udara di rantau ini.

Terminal Kargo Udara Sandakan dilengkapi dengan sistem pengendalian kargo termaju yang direka untuk memperkemaskan operasi dan meningkatkan kecekapan.

Kemudahan ini merupakan langkah pertama dalam strategi pengembangan bersama antara GTR dan Teleport, dengan perancangan untuk membangunkan terminal kargo tambahan di lapangan terbang Kota Kinabalu dan Tawau bagi merealisasikan sepenuhnya keupayaan dan peluang yang ditawarkan oleh Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif GTR, Musdalifa Abdullah menggariskan visi syarikat: “Pelancaran hari ini merupakan langkah pertama dalam strategi pengembangan komprehensif GTR di seluruh Sabah. Bermula dengan Sandakan dan akan diikuti dengan kemudahan di Kota Kinabalu dan Tawau, kami komited untuk membangunkan infrastruktur kargo bertaraf tinggi di seluruh wilayah.

“Di GTR, kami percaya bahawa infrastruktur logistik merupakan tulang belakang pembangunan ekonomi. Dengan melabur dalam kemudahan ini dan rangkaian yang dirancang di seluruh Sabah, kami berhasrat untuk menghapuskan halangan perdagangan dan mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan dari semua saiz.”

GTR mengesahkan bahawa seiring dengan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan kargo udara di Sandakan, syarikat tersebut bersedia untuk memperluaskan saiz terminal dengan segera bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat.

Kemudahan ini akan menggabungkan ciri-ciri kelestarian, sistem cekap tenaga, dan proses yang mengurangkan kesan terhadap alam sekitar sambil memaksimumkan kecekapan operasi.

Vivian Wong menekankan kepentingan ekonomi pembangunan ini: “Kemudahan ini akan meningkatkan keupayaan logistik kita dan membuka peluang baharu bagi perniagaan tempatan untuk berhubung dengan pasaran di seluruh Malaysia dan lebih jauh lagi.

“Ia merupakan pelaburan penting dalam infrastruktur perdagangan rentas sempadan Sandakan yang akan mewujudkan pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi, terutamanya menyokong industri kenderaan
elektrik yang sedang berkembang di POIC dan meningkatkan keupayaan eksport pertanian kita.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak berkata: “Sabah merupakan hab yang sangat penting bagi Teleport, kerana ia merupakan hab kargo udara kedua terbaik kami, selepas Kuala Lumpur, dari segi jumlah importeksport.

“Kami ingin menggerakkan e-dagang ke mana-mana, melampaui bandarbandar utama. Oleh itu, pelaburan dalam kemudahan ini di Sandakan adalah komitmen kami untuk memastikan bahawa perniagaan e-dagang dari semua saiz, terutamanya perniagaan di Sandakan, mempunyai akses kepada penghantaran rentas sempadan yang berpatutan dan boleh diharapkan, secepat keesokan hari.

“Lebih 40 syarikat penerbangan rakan kongsi Teleport juga akan mendapat manfaat daripada kemudahan ini.”

Kunci kejayaan pelan pertumbuhan Teleport untuk menggerakkan 2 juta bungkusan menjelang akhir 2025, adalah dengan meningkatkan secara strategik infrastruktur pengendalian dan pemprosesan di darat, untuk menyokong jumlah yang dijangkakan.

Terminal kargo baharu ini direka untuk menyokong peningkatan aliran perdagangan antara Sabah, Semenanjung Malaysia, dan pasaran antarabangsa, dengan fokus untuk membangunkan Sabah sebagai hab logistik utama di rantau ini.