Syed Mohamad Rafid berlari dari padang permainan ke pentas kepimpinan

Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, Syed Mohamad Rafid membesar dengan melihat ayahnya, seorang tukang masak yang bekerja keras dengan penuh disiplin setiap hari.

Poster Terkini (4)

SEJAK di bangku sekolah rendah, Syed Mohamad Rafid Syed Ahmad Sharif bukan seorang pelajar yang biasa. Anak muda kelahiran Taiping itu dikenali sebagai individu yang sentiasa aktif dan bersemangat tinggi untuk menyertai pelbagai aktiviti.

Jika bukan di padang permainan bermain sepak takraw atau badminton, Syed Mohamad Rafid akan mewakili sekolah di pentas pertandingan pantun atau tilawah al-Quran.

“Bagi saya, setiap saat dan ruang adalah peluang untuk belajar sesuatu yang baharu,” kata anak muda berusia 23 tahun itu.

Beliau percaya bahawa masa adalah nikmat yang tidak boleh disia-siakan. Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, Syed Mohamad Rafid membesar dengan melihat ayahnya, seorang tukang masak yang bekerja keras dengan penuh disiplin setiap hari.

“Saya lihat sendiri macam mana ayah menguruskan masa, dari awal pagi hingga malam, semuanya teratur,” ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.

Didikan dan norma itu telah menghadirkan keupayaan bagi dirinya untuk menguruskan masa dengan cekap. Dengan penglibatan yang luas dan aktif dalam bidang akademik, kepimpinan serta kesukarelawanan, beliau menjadikan pengurusan masa sebagai tunjang utama dalam kehidupannya.

Jadual hariannya sentiasa disusun rapi agar setiap tanggungjawab yang digalas dapat dilaksanakan sebaik mungkin, tanpa mengorbankan mana-mana aspek.

Selain itu, hidupnya digerakkan oleh satu falsafah yang membentuk keperibadiannya hingga ke hari ini iaitu sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain.

Prinsip itu bukan sekadar pegangan, malah menjadi asas kepada banyak keputusan besar yang dibuatnya. Sebagai contoh, sewaktu di Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII, beliau kerap membantu rakan-rakan melalui kelas tambahan percuma menjelang PT3 dan SPM. Baginya, kejayaan lebih bermakna apabila dikongsi bersama.

Selain penglibatannya dalam organisasi pelajar, Syed Mohamad Rafid turut aktif dalam program kemasyarakatan sebagai suatu bentuk tanggungjawab sosial. Baginya, penglibatan dalam aktiviti sukarelawan bukan sekadar mengisi masa lapang tetapi satu platform penting untuk membina empati, memahami realiti masyarakat dan melatih diri menjadi insan yang lebih peka terhadap keperluan sekeliling.

“Saya percaya semua mahasiswa patut sekurang-kurangnya terlibat dalam satu aktiviti luar bilik kuliah, bukan kerana keperluan sijil tetapi kerana nilai yang ia berikan kepada diri sendiri,” ujar bakal pemimpin belia itu.

Antara program yang memberi kesan mendalam kepada dirinya termasuklah Share Food with Homeless serta misi-misi bantuan bencana seperti banjir di Selangor dan kebakaran di Putra Heights, satu kejadian yang menimpa baru-baru ini.

“Bantuan Bencana Bakar tu memang sangat dekat di hati saya. Walaupun dalam masa yang sangat singkat, saya cuba buat apa sahaja yang termampu seperti mengurus bantuan, edarkan sumbangan dan bantu sebar maklumat,” jelasnya.

Usahanya tidak terhenti di lokasi semata-mata, malah beliau turut menggerakkan rakan-rakan untuk bersama-samanya turun padang.

Bagi Syed Mohamad Rafid, aktiviti sukarelawan adalah pelengkap kepada pencapaian akademik. Ia menjadikan seseorang itu bukan sahaja bijak dari segi teori tetapi juga bertanggungjawab, berjiwa rakyat dan memahami makna kepimpinan yang sebenar.

Namun, tidak semua perjalanan itu lancar. Syed Mohamad Rafid pernah diserang penyakit demam virus, sakit tekak, cirit-birit dan selesema yang berpanjangan selepas mengikuti satu program kepimpinan dan kesukarelawanan di Indonesia.

Beliau terlantar hampir dua minggu dan dalam keadaan yang lemah itu tetap perlu menyiapkan profil untuk permohonan Anugerah Perdana Belia Negara.

“Itu antara saat paling mencabar dalam hidup saya. Fizikal saya sangat lemah tapi saya tahu saya tak boleh berhenti. Saya ingatkan diri saya tentang tujuan asal saya. Kalau saya betul-betul serius dengan apa yang saya perjuangkan, saya mesti teruskan,” tambahnya.

Kini, sebagai mahasiswa Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Malaya, Syed Mohamad Rafid terus cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik dengan pencapaian CGPA 3.75 dan beberapa kali menerima Anugerah Dekan, tetapi juga dalam penglibatan di luar kuliah.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Presiden Sekretariat Rakan Muda UM, Naib Presiden Angkatan Kejuruteraan Islam dan menjadi pengarah kepada pelbagai program seperti Bazaar Ramadan, Rakan Muda Hari Sukan Negara dan Night Dinner with Homeless. Beliau turut menerima pengiktirafan antarabangsa melalui The Duke of Edinburgh Award (Peringkat Gangsa dan Perak) termasuk anugerah kepimpinan di bawah program yang sama.

Beliau turut menjadikan tiga tokoh ini sebagai inspirasi dalam hidupnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana keteguhan dan perjuangan dalam politik serta reformasi; Profesor Diraja Ungku Aziz yang banyak berjasa dalam bidang pendidikan dan pemikiran serta Khairul Aming, seorang usahawan muda tempatan yang berjaya membina jenama melalui kerja keras dan nilai kemasyarakatan.

Gabungan ketiga-tiga figura ini mencerminkan aspirasi Syed Mohamad Rafid untuk menjadi pemimpin yang intelektual, berjiwa rakyat, dan tidak terputus daripada realiti masyarakat.

Beliau bukan sekadar seorang pelajar cemerlang atau sukaralewan yang aktif tetapi cerminan anak muda yang tahu menghargai masa, memahami nilai memberi dan berani bangkit ketika diuji.

Kisahnya membuktikan bahawa kejayaan bukan datang dari bakat semata-mata tetapi daripada disiplin, semangat dan kepercayaan terhadap nilai yang dibawa.

Dalam dunia yang serba pantas dan penuh cabaran, Syed Mohamad Rafid mengingatkan kita bahawa masa adalah aset yang paling berharga dan apabila dimanfaatkan dengan bijak, ia boleh membentuk seorang individu biasa pada suatu ketika dahulu, menjadi insan yang luar biasa pada suatu hari nanti.