Hari Arafah: Intipati ibadah haji dan peluang meraih keampunan Ilahi
Terdapat banyak galakan untuk berbuat amal soleh pada hari ini kerana ia merupakan hari di mana para jemaah haji akan berwukuf di Arafah.

HARI Arafah ialah hari kesembilan dalam bulan Zulhijjah. Terdapat banyak galakan untuk melakukan amal soleh pada hari tersebut kerana ia merupakan hari di mana para jemaah haji akan berwukuf di Arafah. Khusus bagi jemaah haji, inilah kunci serta inti pati ibadah haji.
Rasulullah SAW bersabda: “Haji adalah Arafah.” (Riwayat al-Tirmizi)
Hadis ini menunjukkan betapa besarnya nilai wukuf di Arafah sehingga ia dijadikan satu rukun yang paling utama dalam ibadah haji. Maka, tidak sah haji seseorang jika ia meninggalkan rukun ini.
Hari Arafah tidak terhad bagi mereka yang hadir untuk wukuf di Arafah sahaja, bahkan ia adalah waktu bagi seluruh umat Islam di dunia untuk bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT. Umat Islam sangat digalakkan untuk berdoa pada hari tersebut, sesuai dengan sabdaan baginda SAW: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. Dan sebaik-baik ucapan yang aku dan para nabi sebelumku pernah ucapkan ialah: La ilaha illa Allah wahdahu la sharika lah, lahul-mulk wa lahul-hamd wa huwa ‘ala kulli shay’in qadir.” (Riwayat al-Tirmizi)
Hari Arafah adalah detik agung yang dinanti-nantikan oleh jutaan umat Islam saban tahun. Ia bukan sekadar perhimpunan besar di padang yang luas tetapi sebuah anugerah Ilahi yang sarat dengan keberkatan dan limpahan keampunan. Maka, apakah persiapan yang sepatutnya dilakukan sewaktu berwukuf?
Bagaimanakah kita dapat meraih rahmat dan maghfirah yang dijanjikan pada hari Arafah? dan apakah keistimewaan serta kelebihan yang terkandung dalam hari yang mulia ini? Marilah kita telusuri sejarah dan sunnah Rasulullah SAW pada Hari Arafah, agar kita tidak terlepas peluang meraih ganjaran yang tiada bandingannya.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW singgah di kawasan Namirah. Apabila matahari tergelincir, Baginda menunggang untanya lalu bergerak menuju ke kawasan Wadi ‘Uranah. Di situ, Baginda menyampaikan khutbah kepada umat Islam. Baginda mengingatkan manusia tentang Allah dan hak-Nya. Dalam khutbah itu, Baginda menjelaskan tentang penghapusan segala amalan jahiliah, termasuk riba dan pertumpahan darah zaman lampau. Baginda juga berpesan supaya umat Islam berbuat baik kepada wanita serta menjelaskan hak antara suami dan isteri. Baginda SAW turut mewasiatkan agar umat Islam berpegang teguh kepada Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah (al-Hadith).
Setibanya baginda di Arafah, baginda menunaikan solat fardu Zohor dan Asar secara jamak taqdim bagi memberi ruang untuk baginda fokus berdoa sepanjang waktu berwukuf. Kemudian, baginda menuju ke kaki Bukit Rahmah dengan menunggang untanya, lalu menghadap ke arah kiblat, sambil menadah tangan untuk berdoa kepada Allah dengan penuh khusyuk hingga matahari terbenam.
Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, para sahabat berbeza pendapat sama ada Rasulullah SAW sedang berpuasa atau tidak pada hari Arafah. Ada yang mengatakan baginda berpuasa dan ada pula yang mengatakan tidak. Bagi menghilangkan keraguan itu, isteri baginda, Maimunah RA atau menurut satu riwayat lain, Ummu Fadhl RA telah menghantar semangkuk susu ketika Nabi SAW sedang wukuf di Arafah.
Lalu baginda meminumnya dalam keadaan orang ramai melihat dan dengan itu terbuktilah bahawa Nabi SAW tidak berpuasa pada hari Arafah. Ini menunjukkan keutamaan bagi jemaah haji untuk tidak berpuasa agar memiliki kekuatan dalam menunaikan ibadah tersebut.
Al-Nasai’ menyebutkan dalam riwayatnya, Usamah bin Zaid menceritakan bahawa beliau pernah membonceng Rasulullah SAW di Arafah. Ketika itu, baginda mengangkat kedua-dua tangan berdoa tanpa henti. Lalu unta baginda condong dan tali kekangnya terjatuh. Namun Nabi SAW tetap meneruskan doanya dengan satu tangan terangkat, sementara tangan yang satu lagi mengambil tali itu.
Begitu khusyuknya Nabi SAW berdoa di Arafah bawah terik mentari, mengangkat tangan berjam-jam tanpa henti, dalam keaadan merendah diri dan penuh pengharapan kepada Allah SWT demi keampunan dan rahmat buat umatnya. Inilah suri teladan agung yang ditunjukkan oleh junjungan baginda, Nabi Muhammad SAW, pada hari Arafah yang mulia.
Sebagai hamba yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, marilah kita teladani apa yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW.
Beberapa panduan ketika wukuf:
1. Sediakan keperluan peribadi yang lengkap, dan berehat secukupnya sebelum berwukuf.
2. Disunatkan untuk menunaikan solat zohor dan asar secara jamak taqdim.
3. Menjaga etika sebelum berdoa, contoh: mengambil wuduk,dan menghadap kiblat.
4. Menadah tangan dengan penuh rasa rendah diri dan hina ketika berdoa. Tidak perlu berteriak atau mengangkat tangan terlalu tinggi (sesungguhnya Allah itu Maha Dekat dan Maha Mendengar).
5 Membaca: “La ilaha illa-llahu wahdahu laa sharikalah, lahu-lmulku walahu-lhamdu wahuwa ’ala kulli syai’in qadiir.” (Inilah zikir terbaik yang dibaca oleh para nabi terdahulu).
6. Memperbanyakkan zikir: “Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illa-llahu, wallahu akbar.” (Ini adalah kalimat yang paling dicintai Allah SWT).
7. Berdoa dengan doa yang diajarkan oleh baginda SAW berdasarkan Al-Qur’an dan Al-Hadith.
8. Hadirkan rasa khusyuk serta rendah diri. Mohonlah rahmat dan keampunan dari Allah SWT.
Hari Arafah adalah hari yang penting bagi umat Islam, sama ada yang menunaikan haji mahupun tidak. Ia adalah hari meminta segala hajat, hari keampunan dosa dan hari pembebasan dari api neraka, sebagaimana sabda Nabi SAW:
“Tiada satu hari pun yang lebih ramai hamba dibebaskan daripada api neraka selain daripada Hari Arafah.” (Riwayat Muslim)
Terdapat banyak kelebihan yang menceritakan tentang Hari Arafah sebagaimana disebut dalam hadis Nabi SAW, antaranya:
1. Ramainya hamba yang dibebaskan daripada api neraka pada hari Arafah.
2. Hari di mana Allah SWT menyempurnakan agama Islam.
3. Puasa pada hari Arafah mampu menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
Bagi mereka yang tidak melaksanakan haji, jangan sampai meninggalkan Hari Arafah ini berlalu tanpa melakukan amalan soleh. Disunatkan berpuasa bagi mereka yang tidak menunaikan haji kerana berpuasa pada Hari Arafah membawa kelebihan yang besar. Ia merupakan anugerah daripada Allah SWT yang mesti dimanfaatkan oleh setiap Muslim. Perbanyakkan zikir dan doa sepertimana yang dilakukan oleh mereka yang berwukuf di Arafah. Bertaubat dan jauhi segala maksiat agar mendapat maghfirah dari Allah SWT.
Sesungguhnya, Hari Arafah merupakan hari yang sangat agung. Pada hari inilah Rasulullah SAW menyampaikan khutbah terakhirnya, menyempurnakan agama Islam dan amanah kerasulan. Pada hari inilah para sahabat, tabi’in, para ulama dan salafussoleh sepanjang zaman berkumpul untuk berdoa, memohon keampunan dan rahmat.
Justeru, buanglah segala ego dan rasa riya’ dalam diri kita, letakkanlah diri dalam keadaan serendah-rendahnya, takutlah akan azab dan balasan Allah yang nyata, sesalilah segala dosa yang telah dilakukan, bertaubatlah dengan penuh keikhlasan dan mohonlah rahmat dan keampunan Allah dengan penuh pengharapan. Inilah masa untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada doa, kekhusyukan, kerendahan hati, dan munajat kepada Allah SWT.
Semoga kita semua diberi peluang untuk merebut kelebihan Hari Arafah yang dijanjikan oleh Allah SWT agar termasuk dalam golongan yang diampuni, dibebaskan dari api neraka, dan diterima amal baiknya, Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.