ARChem inovasi pendidikan kimia guna realiti terimbuh
Projek ARChem dibangunkan oleh tiga pensyarah PASUM iaitu Dr Syazreen Nadia Sulaiman, ChM Wan Nurhidayah A. Karim dan Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki.

KUALA LUMPUR, 20 Jun 2025 – Teknologi realiti terimbuh (AR) semakin mendapat tempat dalam dunia pendidikan apabila projek inovatif ‘ARChem: Visualising Orbitals in Augmented Reality’ dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) berjaya meraih pingat perak di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2025 yang berlangsung baru-baru ini.
Mewakili pasukan Universiti Malaya (UM), projek ARChem dibangunkan oleh tiga pensyarah PASUM iaitu Dr Syazreen Nadia Sulaiman, ChM Wan Nurhidayah A. Karim dan Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki. Ia merupakan satu-satunya inovasi berasaskan AR yang diketengahkan oleh UM dalam pameran tersebut.
Selaras dengan tema ITEX tahun ini, ‘The Power of STEAM and AI’, projek ARChem memanfaatkan teknologi AR sebagai medium pembelajaran kimia secara visual dan interaktif, sekali gus menyokong pembelajaran berpusatkan pelajar serta pembangunan kemahiran abad ke-21 secara holistik.
Direka khas untuk pelajar Asasi Sains UM, ARChem membolehkan eksplorasi kendiri terhadap konsep kimia kompleks menerusi persekitaran maya yang imersif, sekali gus memperkasa penguasaan topik yang sukar difahami melalui kaedah konvensional di dewan kuliah.
“Inovasi ini bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menarik dan mudah difahami, malah sejajar dengan minat generasi baharu yang lebih cenderung kepada pendekatan visual dan interaktif,” kata Dr Syazreen Nadia ketika ditemui pada pameran berkenaan.
Berdasarkan hasil kajian melibatkan pelajar aliran Sains Hayat dan Sains Fizikal, kumpulan yang menggunakan ARChem menunjukkan peningkatan signifikan dalam pemahaman konsep kimia berbanding kumpulan yang mengikuti pengajaran kuliah biasa. Ini menunjukkan potensi besar teknologi AR sebagai pelengkap berkesan kepada kaedah pengajaran tradisional.
ARChem juga dilihat menyumbang kepada transformasi pendidikan tinggi dengan membuka ruang kepada pengalaman pembelajaran maya yang mendalam, sekali gus meningkatkan penguasaan pelajar dalam kemahiran teknikal yang semakin mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Kejayaan ARChem di pentas ITEX 2025 bukan sahaja mengharumkan nama PASUM dan Universiti Malaya, malah membuktikan bahawa gabungan teknologi AR dan AI mampu mendefinisikan semula landskap pendidikan negara ke arah yang lebih interaktif, inklusif dan berdaya saing.
* Maklumat lanjut mengenai inovasi ini boleh didapati melalui ChM Wan Nurhidayah A Karim, Dr Syazreen Nadia Sulaiman atau Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya di wannurhidayah@um.edu.my