Kepentingan bekalan ilmu psikospiritual dalam membentuk keluarga bahagia

Ilmu ini menekankan pemahaman emosi, pembinaan akhlak serta hubungan yang erat dengan Tuhan sebagai asas kekuatan dalaman.

Poster Terkini (2)


KELUARGA bahagia merupakan impian setiap insan, tidak kira yang telah berumahtangga mahupun yang masih bujang.

Namun, kebahagiaan keluarga tidak hanya bergantung kepada aspek luaran semata-mata seperti kemewahan atau keselesaan material, sebaliknya memerlukan keseimbangan dari sudut emosi, akhlak dan spiritual.

Di sinilah pentingnya ilmu psikospiritual Islam iaitu satu pendekatan yang menggabungkan psikologi dan kerohanian Islam dalam mendidik dan membimbing jiwa.

Ilmu ini menekankan pemahaman emosi, pembinaan akhlak serta hubungan yang erat dengan Tuhan sebagai asas kekuatan dalaman.

Dalam konteks keluarga, pendekatan psikospiritual Islam secara umumnya dapat membantu ahli keluarga memahami antara satu sama lain, mengurus konflik dengan sabar, serta memupuk nilai kasih sayang, tanggungjawab dan keikhlasan.

Ilmu ini juga memberi panduan dalam menghadapi cabaran hidup seperti tekanan dan konflik dengan cara yang matang dan berlandaskan nilai agama.

Oleh itu, penghayatan ilmu psikospiritual Islam ini mampu membentuk keluarga yang bukan sahaja bahagia dan harmoni tetapi juga menjadi tempat yang menenangkan dan memberdaya jiwa setiap ahlinya.

Kehidupan berumah tangga, tidak terlepas dari melalui pahit manis dengan adanya perbezaan, kekurangan dan cabaran.

Kadangkala, konflik yang timbul bukan berpunca daripada masalah yang besar tetapi kerana harapan yang tidak realistik atau perbandingan yang tidak wajar antara pasangan dengan orang lain.

Dalam ilmu Psikospiritual Islam, penekanan terhadap syukur atas apa yang telah Allah kurniakan mampu menyeimbangkan ‘expectation’ yang tinggi dan tidak realistik tersebut.

Setiap pasangan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dan setiap manusia tidak sempurna. Melihat kepada kelebihan pasangan lain hanya akan mengeruhkan lagi terhadap keistimewaan yang ada di depan mata.

Hal ini boleh diatasi dengan melatih jiwa agar sentiasa bersyukur dan ianya akan melahirkan rasa ketenangan manakala sikap membanding-banding pula hanya menambah tekanan.

Di samping itu, ilmu ini juga mengajarkan nilai kesabaran dalam menghadapi setiap ujian rumah tangga. Perselisihan dan cabaran hidup pasti datang dalam pelbagai bentuk antaranya ialah dalam pengurusan emosi seperti keupayaan menahan amarah dalam perkara kecil dan tidak membiarkan emosi menguasai diri menjadi kunci penting dalam mengekalkan keharmonian.

Pasangan yang matang akan memilih untuk berfikir secara rasional dan positif dalam menghadapi setiap isu serta menyelesaikannya secara berhemah, bukan dengan kata-kata tajam, sindiran atau tindakan terburu-buru.

Dengan kefahaman tentang sabar, ia dapat membimbing jiwa seseorang agar tenang dalam bertindak, berlapang dada dan tidak menjadikan masalah kecil sebagai medan pertengkaran yang boleh merosakkan hubungan.

Elemen penting lain dalam pendekatan psikospiritual Islam ialah mendidik hati dengan rasa takut kepada Allah SWT.

Apabila suami atau isteri meletakkan Allah SWT sebagai pemerhati utama dalam kehidupan, mereka akan lebih berhati-hati dalam setiap perlakuan yang boleh mengundang murka Allah SWT.

Seseorang yang benar-benar takut kepada balasan Allah tidak akan sesuka hati menyakiti pasangan, mengabaikan tanggungjawab atau menjalinkan hubungan yang diharamkan oleh agama.

Ini termasuk segala bentuk hubungan yang melampaui batas yang telah ditetapkan oleh syariat seperti menjalinkan komunikasi romantik yang boleh menimbulkan syahwat, hubungan fizikal di luar ikatan pernikahan yang sah atau mungkin dengan menggunakan platform digital untuk membina keintiman yang tidak halal.

Dalam Islam, hubungan yang dibina atas dasar nafsu tanpa ikatan sah dianggap sebagai dosa besar kerana ia membuka pintu kepada pengkhianatan, keruntuhan rumah tangga dan pelanggaran maruah diri serta pasangan.

Justeru, seseorang yang benar-benar takut kepada balasan Allah tidak akan sesuka hati menyakiti pasangan, mengabaikan tanggungjawab atau Rasa takut ini bukan kerana ancaman semata-mata tetapi kerana kesedaran bahawa kehidupan ini adalah amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Maka, ia menjadi benteng utama dalam menjaga kehormatan dan kelangsungan rumah tangga. Hal ini dapat melahirkan kasih sayang dalam bantera keharmonian rumah tangga. Ia bukan hanya lahir dari perasaan, tetapi perlu diterjemah melalui tindakan – seperti memberi perhatian, saling membantu, dan menzahirkan penghargaan. Kasih sayang yang subur dalam keluarga menjadikan rumah tempat yang mendamaikan jiwa. Anak-anak pula akan membesar dalam suasana yang sihat dan penuh dengan nilai keharmonian.

Akhir sekali, jangan pernah berhenti berdoa. Doakan pasangan agar terus menjadi pendamping yang setia dan sabar. Doakan anak-anak agar dibentuk menjadi insan yang soleh dan solehah, penyejuk mata dan penawar hati.

Doa yang ikhlas, meskipun tidak kelihatan kesannya secara zahir, namun ia mampu mengubah takdir dengan izin Allah SWT. Rumah tangga yang sentiasa dinaungi doa adalah rumah yang dipelihara oleh rahmat-Nya.

Ilmu psikospiritual Islam dilihat boleh memberi panduan yang seimbang antara akal, emosi dan rohani dalam membina keluarga yang bahagia.

Ia menuntut kita untuk mensyukuri pasangan, bersabar dalam ujian, sentiasa sedar akan pengawasan Allah, memupuk kasih sayang yang tulus, menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan menyerahkan segala urusan kepada Tuhan.

Dalam dunia yang semakin mencabar ini, pendekatan psikospiritual Islam bukan lagi pilihan tetapi keperluan. Hanya dengan jiwa yang tenang dan hati yang bergantung kepada Allah SWT, sebuah keluarga dapat dibina atas dasar cinta yang kekal dan diredai-Nya.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.