Satukan sahaja semuanya, kurangkan ‘keletihan’ digital
Pada era digital serba pantas ini, seharusnya wujud satu penyelesaian tunggal yang memudahkan segalanya iaitu satu aplikasi untuk semua.

PERNAHKAH kita terfikir, mengapa masih perlu membuka lima hingga enam aplikasi berbeza hanya untuk menyelesaikan urusan harian seperti membayar bil, membeli tiket, menempah makanan atau mengakses perkhidmatan kerajaan?
Pada era digital serba pantas ini, seharusnya wujud satu penyelesaian tunggal yang memudahkan segalanya iaitu satu aplikasi untuk semua.
Konsep ‘satu untuk semua’ bukanlah sesuatu yang mustahil. Malah, ia sudah menjadi kenyataan di beberapa negara maju.
Di China, contohnya, aplikasi seperti Alipay dan WeChat bukan sekadar platform sosial atau e-dompet, tetapi menjadi tunjang kehidupan harian.
Melalui satu aplikasi, rakyat China boleh membayar tambang teksi, membayar tambang MRT dan bas, membeli makanan di restoran, membayar bil utiliti, menghantar wang kepada rakan, malah mendaftar untuk kelas universiti.
Begitu juga di Korea Selatan dengan aplikasi seperti KakaoTalk yang menggabungkan perbualan, pembayaran, perbankan dan pembelian tiket di bawah satu bumbung digital.
Di Singapura, Grab telah berkembang daripada sekadar aplikasi e-hailing menjadi platform serba guna untuk penghantaran makanan, pembelian barangan runcit dan pembayaran.
Pendek kata, dunia sudah mula bergerak ke arah digitalisasi menyeluruh satu platform, pelbagai fungsi.
Namun, di Malaysia, realitinya masih berbeza. Pengguna perlu membuka aplikasi berasingan untuk setiap keperluan: Touch ‘n Go e-Wallet untuk tol dan pengangkutan awam, Boost untuk pembayaran, Grab untuk makanan dan teksi, MySejahtera (dahulu) untuk kesihatan, aplikasi universiti tersendiri untuk pelajar, serta pelbagai sistem kerajaan seperti MyBayar Saman, MyJPJ dan MyTax.
Situasi ini bukan sahaja menyusahkan tetapi turut mewujudkan keletihan digital dan kebarangkalian berlakunya kekeliruan dalam kalangan pengguna, terutamanya warga emas, pelajar luar bandar dan golongan kurang celik digital.
Bayangkan jika Malaysia membangunkan satu aplikasi serba guna, satu ‘Super App Nasional’ yang menyatukan semua perkhidmatan penting dalam satu platform mudah digunakan.
Aplikasi ini boleh dinamakan sebagai contoh ‘MyMalaysia+’ dan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk membayar bil dan utiliti, membeli tiket pengangkutan awam seperti bas, LRT, MRT dan KTM, membayar yuran pengajian serta menyemak keputusan akademik, menempah makanan dan barangan runcit, melakukan urusan perbankan digital asas, mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan secara dalam talian serta menyimpan kad identiti dan dokumen rasmi dalam bentuk digital secara selamat.
Melalui satu log masuk dan satu antaramuka mesra pengguna, rakyat tidak lagi perlu mengingati pelbagai kata laluan atau menyimpan banyak aplikasi yang memenuhkan storan telefon. Ia juga membolehkan pemantauan transaksi dalam satu rekod yang lebih sistematik.
Namun, untuk menjayakan impian ini, beberapa perkara asas perlu dititikberatkan. Pertama ialah infrastruktur digital. Aplikasi sehebat mana pun tidak akan berkesan jika sambungan internet lemah atau tidak stabil, terutama di kawasan luar bandar. Capaian 4G dan 5G perlu dipertingkatkan dengan menyeluruh agar tiada golongan yang tertinggal.
Kedua, aspek keselamatan siber mesti dijadikan keutamaan. Pengguna perlu diyakinkan bahawa semua maklumat peribadi dan kewangan mereka dilindungi.
Dalam era penipuan digital dan pencurian identiti, kepercayaan adalah faktor utama kejayaan mana-mana aplikasi berskala besar. Sistem sekuriti berlapis dan autentikasi biometrik boleh dimasukkan sebagai syarat utama log masuk dan transaksi.
Ketiga ialah kerjasama pelbagai pihak. Aplikasi ini tidak boleh dibangunkan oleh satu entiti sahaja. Ia memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, agensi teknologi tempatan seperti MIMOS dan CyberSecurity Malaysia, syarikat swasta, serta institusi pendidikan dan perbankan. Hanya dengan pendekatan bersepadu dan strategik, satu ekosistem digital nasional yang utuh dapat diwujudkan.
Selain itu, pendidikan digital kepada rakyat perlu diperluas. Rakyat perlu diberi latihan dan pendedahan tentang cara menggunakan aplikasi serba guna ini dari pelajar sekolah rendah hinggalah warga emas.
Pendigitalan tanpa pemahaman hanya akan melebarkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, antara celik teknologi dan yang belum bersedia.
Kita juga perlu belajar dari negara-negara lain yang telah berjaya melaksanakan model aplikasi serba guna.
Mereka tidak bermula dengan kesempurnaan, tetapi dengan kesungguhan politik, pelaburan berterusan dan sokongan rakyat yang padu. Malaysia juga boleh mencontohi mereka tetapi dengan pendekatan tersendiri yang mengambil kira keperluan dan realiti tempatan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, pelaksanaan MyDigital ID oleh kerajaan Malaysia adalah langkah penting yang menyokong pembangunan aplikasi serba guna.
MyDigital ID ialah identiti digital rasmi yang membolehkan pengesahan identiti pengguna secara selamat dalam talian. Dengan integrasi MyDigital ID ke dalam aplikasi nasional seperti ‘MyMalaysia+’, urusan berkaitan agensi kerajaan seperti permohonan bantuan, pembaharuan lesen, semakan cukai dan pelbagai lagi boleh dilakukan dengan lebih pantas dan selamat.
Ia juga dapat mengurangkan penipuan identiti serta mempercepatkan proses log masuk dan pengesahan tanpa perlu mengingati pelbagai kata laluan.
Akhir kata, masa depan adalah digital tetapi hanya akan menjadi realiti jika kita bersedia menggabungkan kecekapan teknologi dengan keselesaan pengguna.
Aplikasi ‘satu untuk semua’ bukan sekadar satu impian, ia adalah satu keperluan masa depan yang sudah bermula hari ini.
Jika satu aplikasi boleh memudahkan kehidupan seharian rakyat, menjimatkan masa, mengurangkan kekeliruan dan meningkatkan kecekapan urusan kerajaan serta swasta mengapa tidak kita mulakan sekarang?
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.