Wahai pelajar, jadikan Asia pilihan destinasi pengajianmu

Asia semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pendidikan pilihan, terutamanya kerana faktor kos yang jauh lebih berpatutan tanpa menjejaskan kualiti pengajian.

Gambar Hiasan (1)

RAMAI pelajar lepasan SPM bercita-cita menyambung pengajian ke luar negara. Dahulu, negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia sering menjadi pilihan utama.

Namun trend kini berubah, Asia semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pendidikan pilihan, terutamanya kerana faktor kos yang jauh lebih berpatutan tanpa menjejaskan kualiti pengajian.

Antara kelebihan utama belajar di negara-negara Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan China ialah kos yang jauh lebih rendah berbanding Amerika Syarikat atau Eropah.

Yuran pengajian di kebanyakan universiti di Asia adalah setanding atau lebih berpatutan berbanding universiti-universiti ternama di negara Barat.

Sebagai contoh, kos pengajian ijazah di universiti awam Korea Selatan, Jepun atau China secara umumnya di bawah RM30,000 setahun, berbanding lebih RM50,000 setahun di negara Barat.

Kos sara hidup harian juga adalah sepadan dengan taraf hidup pelajar Malaysia. Harga makanan, pengangkutan awam, penginapan dan keperluan lain di bandar-bandar utama Asia masih dalam lingkungan berpatutan, apatah lagi dengan banyaknya kemudahan untuk pelajar antarabangsa.

Bagi keluarga dan penaja pelajar, kos pengajian yang lebih rendah di Asia memberikan kelebihan yang besar. Dengan jumlah yuran yang lebih kecil, lebihan dana boleh digunakan untuk memenuhi keperluan penting lain seperti kos sara hidup, penginapan atau inisiatif pembangunan akademik tambahan.

Malah, dana yang sama juga berpotensi membiayai lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian ke luar negara, sekali gus memperluas peluang generasi muda untuk mendapatkan pengalaman serta pendedahan bertaraf antarabangsa.

Beberapa universiti di Asia kini tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia seperti Universiti Tokyo, Universiti Kyoto, Seoul National University dan Tsinghua University.

Infrastruktur pendidikan moden, makmal canggih serta reputasi para pensyarah di bidang masing-masing memberi jaminan kepada pelajar untuk mendapat akses kepada ilmu dan inovasi terkini.

Selain itu, sebahagian besar universiti terkemuka Asia kini menawarkan program dalam bahasa Inggeris bagi menarik lebih ramai pelajar luar, sekaligus mengurangkan halangan bahasa.

Negara Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan China bukan saja pesat membangun dari segi ekonomi, malah menjadi peneraju global dalam pelbagai bidang teknologi dan kejuruteraan.

Misalnya, Jepun terkenal sebagai hab robotik dan automasi dunia, Korea Selatan dalam industri semikonduktor dan teknologi digital, manakala China mendominasi inovasi kecerdasan buatan (AI) serta rangkaian komunikasi 5G.

Dengan melanjutkan pelajaran di negara-negara ini, pelajar dapat terlibat secara langsung dalam ekosistem industri berteknologi tinggi.

Peluang menjalani latihan industri di syarikat bertaraf dunia seperti Toyota, Samsung, Huawei dan banyak lagi akan memberi nilai tambah yang besar kepada pengalaman pembelajaran.

Bagi pelajar Malaysia, menuntut ilmu di negara-negara Asia selalunya lebih mudah dari segi penyesuaian diri. Jarak yang lebih dekat bukan sahaja menjimatkan masa dan kos perjalanan terutamanya dalam situasi kecemasan atau urusan keluarga malah memberi ketenangan dari segi akses.

Di kebanyakan kampus Asia, makanan halal lebih mudah didapati, dengan banyak restoran dan kafe halal berhampiran universiti.

Selain itu, budaya masyarakat Timur yang menekankan nilai kekeluargaan, kesopanan dan saling menghormati amat selari dengan budaya Malaysia. Semua ini menjadikan proses adaptasi pelajar jauh lebih lancar dan selesa.

Kelebihan utama melanjutkan pengajian di Asia terletak pada keseimbangan antara kos yang berpatutan dan peluang pendidikan bertaraf dunia. Dengan sokongan tenaga pengajar berpengalaman, kemudahan moden, serta ekosistem teknologi canggih dan akses kepada rangkaian global, Asia kini muncul sebagai destinasi ideal bagi pelajar Malaysia.

Semua faktor ini menawarkan peluang pendidikan antarabangsa tanpa tekanan kewangan yang ketara, membolehkan pelajar melangkah lebih jauh dalam pencapaian akademik dan kerjaya di pentas global.

Peluang untuk meneroka pelbagai pilihan pendidikan bertaraf antarabangsa melalui tawaran biasiswa dan dana khas dari negara seperti Jepun, Korea Selatan dan China kini terbuka luas.

Insentif yang disediakan meliputi pengecualian atau pengurangan yuran pengajian, elaun sara hidup, serta kursus persediaan bahasa, sekali gus memudahkan proses penyesuaian pelajar di negara baharu.

Namun demikian, pelajar disarankan untuk sentiasa peka terhadap syarat dan tarikh permohonan serta merujuk laman web rasmi agar tidak terlepas peluang berharga ini.

Bagi pelajar Malaysia, termasuk lepasan Asasi, Matrikulasi, A-Level dan SPM yang sedang mencari arah masa depan, lihatlah ke Asia sebagai permulaan langkah anda.

Dengan memilih untuk melanjutkan pengajian di rantau ini, anda bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan, malah berpeluang meraih pengalaman berharga, membina jaringan antarabangsa dan mengasah potensi diri di tengah-tengah pusat ekonomi yang semakin berkembang pesat.

Percayalah, keputusan hari ini akan menjadi batu loncatan yang memacu kejayaan anda pada masa hadapan. Jangan takut untuk bermimpi besar dan melangkah jauh. Masa depan yang cemerlang sedang menanti anda di Asia!


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.