Warga UiTM Negeri Sembilan Kampus Rembau meriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan

Warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) Negeri Sembilan Kampus Rembau turut melaksanakan usaha dalam meraikan bulan kemerdekaan negara yang ke-68.

Feature Image (1)

REMBAU, 15 Ogos 2025 – Warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) Negeri Sembilan Kampus Rembau turut melaksanakan usaha dalam meraikan bulan kemerdekaan negara yang ke-68, selaras peranannya sebagai sebuah institusi yang menjadi tunggak pengembangan ilmu di negara ini.

Sambutan kali ini menjadi lebih bermakna apabila kerajaan mengisytiharkan tema penuh simbolik bagi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 iaitu ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’.

Pemilihan tema tersebut bukanlah slogan semata-mata bagi warga UiTM Negeri Sembilan Kampus Rembau, sebaliknya mencerminkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, sejajar aspirasi Malaysia Madani yang menjadikan ilmu sebagai teras untuk mengangkat nilai perpaduan, keadilan dan kesejahteraan untuk semua.

Madani dan masyarakat berilmu merupakan perkara yang tidak dapat dipisahkan. Melalui sambutan bulan kemerdekaan ini, pelbagai aktiviti bercirikan kemerdekaan dijalankan meskipun universiti berada dalam musim cuti semester. Aktiviti tersebut merangkumi acara tradisi serta gabungan acara kontemporari yang mendokong kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia.

Malah, acara-acara yang diadakan turut berfungsi sebagai kunci memperlihatkan kebebasan dan kemerdekaan berasaskan ilmu. Penolong Rektor UiTM Negeri Sembilan Kampus Rembau, Prof Madya Dr Masitah Ahmad berkata, ilmu telah terbukti berjaya mewujudkan minda yang merdeka, bukan sahaja daripada penjajahan fizikal tetapi juga penjajahan pemikiran.

“Ilmu juga melambangkan sesuatu kejayaan atau keruntuhan sesebuah tamadun. Bagi warga UiTM Negeri Sembilan Kampus Rembau, tiang seri ini memainkan peranan dalam memastikan solidariti dalam sesebuah organisasi, mengekalkan kualiti pencapaian keluarga, masyarakat, ummah dan negara.

“Ilmu yang menjaga akal, emosi, fizikal dan spiritual seorang insan adalah selari dengan tuntutan dan ajaran setiap agama. Ilmu jugalah yang memperkasakan pembangunan adab dan akhlak ummah serta menjamin kehidupan yang tenang dan menenangkan,” katanya.

Beliau berkata, sebuah organisasi yang tenang dan berjiwa merdeka akan memberikan kebahagiaan yang mendorong produktiviti dan kreativiti, seterusnya menghasilkan inovasi yang cemerlang dan gemilang.

“Tuntasnya, ilmu yang benar-benar membenihkan nilai-nilai murni dan akhlak yang mantap akan membawa kepada kebahagiaan jiwa yang mendorong insan menjadi lebih proaktif,” katanya.

Secara keseluruhannya, program sambutan bulan kemerdekaan kali ini diharapkan dapat menyuntik kesepaduan dan perpaduan dalam kalangan warga kampus untuk menjadi tunggak institusi ilmu kepada masyarakat awam serta mahasiswa supaya hidup aman dan harmoni dalam negara berbilang kaum, agama dan ideologi.

Melalui penyertaan dalam program ini, besar harapan agar para peserta khususnya warga kampus dapat menjadi pemangkin perubahan aktif dalam membangunkan masyarakat yang bersatu dan progresif.