Kepercayaan, nilai dan ESG: Bolehkah Malaysia mentakrif semula kelestarian?

Sudah sedia maklum bahawa Malaysia merupakan peneraju global dalam kewangan Islam. Malaysia sejak awal lagi telah menggabungkan prinsip tadbir urus beretika, pelaburan bertanggungjawab dan pengawasan sumber yang rasional.

Feature Image (1)

DI MALAYSIA, perbincangan mengenai ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) sering dilihat melalui lensa Barat. Piawaian ESG, laporan pencapaian ESG dan agensi penarafan global semuanya diterima pakai dari Barat tetapi, adakah wajar begitu?

Malaysia adalah sebuah negara yang unik, kaya dengan kepelbagaian budaya serta berakar umbi kukuh dalam kewangan Islam. Sewajarnya, Malaysia berpeluang merintis hala tuju berbeza iaitu membina kerangka ESG yang mencerminkan bukan sekadar pematuhan global, tetapi juga nilai tempatan.

ESG dan Kewangan Islam: Saling Melengkapi Secara Semula Jadi

Sudah sedia maklum bahawa Malaysia merupakan peneraju global dalam kewangan Islam. Malaysia sejak awal lagi telah menggabungkan prinsip tadbir urus beretika, pelaburan bertanggungjawab dan pengawasan sumber yang rasional.

Setakat tahun 2024, menurut Bank Negara Malaysia (BNM), sektor kewangan Islam merangkumi 40 peratus daripada jumlah aset sistem kewangan Malaysia. Ini antara yang tertinggi di dunia. Daripada skala global, aset kewangan Islam dijangka melepasi USD4.5 trilion menjelang 2030, dengan Malaysia memegang sekitar 20% daripada terbitan sukuk global.

Jelas wujudnya paralel antara ESG dan kewangan Islam. Jika ESG menyeru pengelakan daripada industri berbahaya, undang-undang Syariah pula melarang pembiayaan aktiviti seperti perjudian, arak, atau senjata. Jika ESG menuntut ketelusan tadbir urus, kewangan Islam menekankan keadilan, akauntabiliti dan perkongsian risiko.

Oleh yang demikian, jika Malaysia ingin membentuk model ESG yang berteraskan pada identiti tempatan, negara tidak perlu bermula daripada kosong, ia boleh terus merujuk kepada ‘playbook’ kewangan Islam.

Melangkaui Tiang ‘E’: Tiang ‘S’ yang Sering Dilupakan

Sebahagian besar perbincangan ESG di peringkat global tertumpu pada tiang ‘E’ (Alam Sekitar) iaitu pelepasan karbon dan pendedahan iklim. Namun di Malaysia, tiang ‘S’ (Sosial) adalah sama penting dan mempunyai keperluan yang mendesak.

Isu-isu sosial dalam tenaga kerja atau buruh Malaysia sering mendapat perhatian global. Di mana, pekerja migran merangkumi sekitar 13.3 peratus daripada tenaga kerja Malaysia (sekitar 2.4 juta pekerja berdaftar pada 2024, dengan anggaran tambahan 1–2 juta tidak berdaftar). Sebagai contoh, amalan buruh Malaysia dalam sektor seperti minyak sawit dan sarung tangan getah berulang kali dikenakan larangan oleh Amerika Syarikat atas dakwaan buruh paksa.

Disebabkan itu, kerangka ESG yang berasaskan agama boleh menambah kekuatan moral kepada isu ini. Islam, misalnya, menekankan maruah pekerja (‘adl’ – keadilan) dan penjagaan alam sekitar (‘khalifah’ – pengamanah). Dengan menghayati nilai ini, tiang ‘S’ dalam ESG tidak lagi sekadar pelaporan kosong tetapi menjadi kewajipan etika yang dituntut agama.

Pertembungan Definisi: ESG Siapa Untuk Diguna Pakai?

Penarafan ESG global dari Barat sering menghukum industri teras Malaysia seperti minyak sawit atas risiko penebangan hutan tetapi ia sama sekali mengabaikan sumbangan industri sawit terhadap sosioekonomi tempatan. Jika diikutkan penarafan ESG global, ramai petani kecil yang bergantung kepada sawit, berisiko diketepikan oleh kerangka Barat ini.

Ini menimbulkan persoalan penting, haruskah Malaysia terus menggunakan piawaian ESG Barat atau patutkah ia mewujudkan kerangka ESG yang mencerminkan nilai serta realiti tempatan?

Sebuah ESG beridentiti Malaysia boleh menilai penciptaan pekerjaan, pengurangan kemiskinan dan kesejahteraan komuniti yang sama pentingnya dengan isu pelepasan karbon dan pendedahan iklim. Ia bukanlah merendahkan kerangka ESG Barat tetapi meluaskannya agar ia merangkumi apa yang benar-benar berkepentingan di dalam ekonomi Malaysia.

Inovasi ESG Melalui Wakaf dan Zakat

Malaysia sudah sedia mempunyai institusi-institusi yang sejajar dengan matlamat ESG, terhadap tanggungjawab sosial dan pertumbuhan inklusif semua lapisan masyarakat. Institusi zakat dan wakaf sudah lama wujud di Malaysia.

Sebagai contoh sekitar 2023, aset wakaf di Malaysia dianggarkan bernilai RM1.3 bilion dalam bentuk tunai dan RM800 juta dalam bentuk tanah di bawah majlis agama Islam negeri-negeri. Ini menyediakan satu potensi besar yang masih belum diterokai. Selain itu, pada 2024 kutipan zakat di seluruh negara melepasi RM3.1 bilion, memberi bantuan kepada ratusan ribu golongan asnaf Malaysia.

Jika digerakkan dengan kerangka dan strategi yang betul, dana ini boleh disalurkan kepada projek sejajar ESG, tenaga hijau untuk komuniti berpendapatan rendah, perumahan mampu milik, bantuan kos kesihatan atau kos pendidikan. Bayangkan sebuah ‘Waqf-Green Sukuk’ yang menggabungkan filantropi Islam dengan pelaburan patuh ESG, satu inovasi yang pasti hanya Malaysia mampu pelopori.

Ke Arah Identiti ESG Malaysia

Bagi membolehkan Malaysia memimpin dalam ruang ini, beberapa langkah boleh diambil:

1. Membangunkan kerangka ‘ESG berteraskan iman’, berpaksikan prinsip kewangan Islam tetapi terbuka kepada nilai pelbagai budaya Malaysia
2. Menggerakkan dana waqaf dan zakat ke arah projek pembangunan yang selari dengan tiang-tiang ESG
3. Mendesak standard ESG ASEAN yang mencerminkan realiti serantau, supaya Malaysia dan negara Asia Tenggara lain tidak dipaksa tunduk kepada kerangka global yang ‘satu acuan untuk semua’
4. Mendidik PKS tentang bagaimana amalan etika mereka yang sedia ada boleh dipadankan dengan pelaporan ESG, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap pelaporan ESG global.

Peluang Luar Biasa ESG Malaysia

Malaysia memiliki peluang luar biasa untuk menjadi pencetus inovasi ESG global. Daripada sekadar menerima piawaian Barat, negara kita boleh menjadi contoh bagaimana kelestarian, etika dan kepercayaan boleh disatukan.

Jika kita terus menggunakan piawaian ESG Barat, Malaysia berisiko untuk tunduk kepada kerangka yang tidak serasi tetapi jika kita mengakar ESG pada nilai budaya tempatan dan agama sendiri, sambil mengekalkan kredibiliti global, Malaysia boleh memimpin perbincangan baharu di mana kelestarian bukan sekadar pematuhan tetapi satu kepercayaan dan nilai kehidupan yang diyakini.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.