Jangan biarkan belon membawa berita duka bila turun ke bumi

Setiap belon, tanglung udara atau bahan lain yang dilepaskan akan turun semula sebagai sampah yang mencemari daratan, sungai, tasik dan laut.

Feature Image

APA sahaja yang dilepaskan ke udara, akhirnya akan kembali jatuh ke bumi.

Itulah hakikat yang sering kali kita terlepas pandang. Aktiviti pelepasan belon atau apa jua objek ke udara mungkin kelihatan indah, simbolik dan penuh bermakna pada saat ia dilakukan.

Namun kesannya tidak berakhir di langit. Setiap belon, tanglung udara atau bahan lain yang dilepaskan akan turun semula sebagai sampah yang mencemari daratan, sungai, tasik dan laut.

Sampah ini bukan sekadar mencemarkan kawasan malah merosakkan pemandangan. Tambahan pula, membawa risiko serius kepada alam sekitar dan kehidupan.

Belon dan tali boleh tersangkut pada pokok atau kabel elektrik, manakala cebisan plastik, getah dan tali mudah ditelan oleh hidupan marin dan darat, mengakibatkan kecederaan, kelaparan seterusnya kematian.

Bagi tanglung udara pula, api yang masih menyala berisiko mencetuskan kebakaran, merosakkan harta benda dan membahayakan nyawa.

Kesan daripada aktiviti pelepasan ini sebenarnya telah pun berlaku tanpa kita sedari. Sebagai contoh, pada tahun 2021 di Malta, seekor penyu dilaporkan mati setelah memakan belon yang jatuh ke laut.

Pada tahun yang sama di Amerika Syarikat, seekor penyu ditemui di Pantai Ellis, Massachusetts dalam keadaan kritikal selepas menelan tali belon.

Penyu itu berjaya diselamatkan dan tali tersebut dapat dikeluarkan. Fenomena ini berlaku kerana penyu sering menyangka belon yang terapung di laut sebagai obor-obor iaitu sebahagian daripada diet semula jadinya.

Di Brazil pula sejak tahun 1970-an hingga 1990-an, terdapat banyak laporan kebakaran hutan yang dikaitkan dengan pelepasan tanglung udara yang jatuh ketika apinya masih menyala.

Kebakaran hutan ini menyebabkan kehilangan dan kemusnahan biodiversiti penting. Sejak tahun 1998, pelepasan tanglung udara dikategorikan sebagai jenayah alam sekitar di negara Brazil.

Baru-baru ini, sebuah festival di salah sebuah pantai terkenal di Pahang telah menganjurkan pelepasan tanglung udara secara besar-besaran.

Aktiviti tersebut menarik perhatian ramai, termasuk pempengaruh terkenal dan menjadi tular di media sosial.

Namun, tular sebuah video yang menunjukkan sisa-sisa tanglung berkenaan terdampar di pesisir pantai setelah dipulangkan kembali oleh ombak. Situasi ini menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai kesan pencemaran yang berlaku.

Hasil daripada desakan orang ramai, aktiviti serupa sedemikian yang dijadualkan berlangsung di sebuah negeri lain juga pada akhir Oktober akhirnya dibatalkan dan digantikan dengan aktiviti lain oleh pihak penganjur.

Di beberapa negara, aktiviti pelepasan belon dan tanglung udara telah dikawal ketat atau diharamkan sepenuhnya, antaranya di Australia, Jerman dan Isle of Man.

Larangan ini bukanlah bertujuan untuk menyekat kreativiti atau kebebasan meraikan tetapi sebagai langkah pencegahan demi menjaga keselamatan awam serta melindungi alam sekitar.

Hakikatnya, setiap pelepasan ke udara adalah seperti pembuangan sampah merata-rata, hanya bezanya ia bermula di langit sebelum berakhir di bumi.

Di Malaysia, meskipun belum ada peruntukan undang-undang khusus yang melarang aktiviti ini, masih belum terlambat untuk dicadangkan dan digubal.

Tindakan awal mampu mencegah normalisasi aktiviti berisiko ini, sekali gus mengelakkan kita daripada berdepan dengan tragedi alam sekitar dan kemalangan yang lebih besar pada masa hadapan.

Naik ke langit, jatuh ke alam, begitulah perjalanan sebenar belon mahupun tanglung udara yang dilepaskan.

Tiada apa yang terlepas tanpa meninggalkan jejak mahupun kesan. Mungkin pada zahirnya ia kelihatan kecil tetapi kesan jangka panjang terhadap ekosistem, keselamatan dan kesejahteraan kehidupan jauh lebih besar daripada yang kita bayangkan.

Sebagai masyarakat yang semakin sedar tentang isu kelestarian, kita bertanggungjawab memastikan setiap momen yang diraikan tidak mengorbankan alam sekitar dan generasi masa depan.

Sudah tiba masanya kita memilih simbolik yang lebih bermakna, lestari dan mesra alam.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.