Guru sekolah Orang Asli dinobat sebagai Pemenang RISE Educator Award

SUBANG JAYA, 10 Jun 2024 – Taylor’s College dan cabang penglibatan pelajarnya, The Risers, menobatkan Shawn Stanly Anthony Dass sebagai pemenang RISE Educator Award 2024.

Pendidik dedikasi yang mengajar di sebuah kampung terpencil di Gerik, Perak itu menerima wang tunai RM5,000 atas pencapaian beliau dan RM20,000 untuk Sekolah Kebangsaan RPS Banun.

Tahun ini, 10 kisah inpsirasi guru-guru luar biasa disenarai pendek dan dipaparkan di platform media sosial Taylor’s College untuk undian awam.

Lima guru inspirasi dengan undian terbanyak adalah Shawn bersama Anne Margarette Kho dari SK Belipat, Sarawak; Muhammad Anas Murugan Abdullah dari SK Seri Intan, Perak; Siti Ainulmursyida Shamsudin dari SMK Orkid Desa, Kuala Lumpur; dan Siti Intan Farahana Mhd Fauzy dari SK Bandar Laguna Merbok, Kedah.

Pada majlis tersebut, Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan menekankan komitmen institusi itu dalam memastikan pendidikan saksama bagi semua kanak-kanak.

“Di Taylor’s College, kami bertekad untuk memastikan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai peluang yang saksama untuk belajar dan berkembang maju.

“Kami berhasrat untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, menginspirasi inovasi, dan memupuk potensi setiap pelajar.

“Peluang untuk bekerjasama dengan pemenang dan finalis Anugerah Pendidik RISE yang lalu telah membuka mata kami kepada kesan mendalam hasil daripada dana yang disumbangkan.

“Dana ini telah memberikan impak besar kepada sekolah dan pelajar-pelajarnya dalam memperoleh pendidikan yang lebih saksama.

“Di samping RM20,000 yang diberikan kepada sekolah pemenang, kami tetap komited untuk menyokong aspirasi pendidikan mereka,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Ketua Interim Fellowship Teach For Malaysia, Sawittri Charun.

“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Taylor’s College dalam meraikan pendidik-pendidik luar biasa yang menginspirasi dan memberdayakan.

“Kisah mereka sangat menyentuh hati kami, mencerminkan usaha transformasi pendidik di seluruh Malaysia.

“Komitmen Shawn yang luar biasa dalam memperkayakan pembelajaran pelajar Orang Asli mengingatkan kami akan misi Teach For Malaysia dalam memerangi ketidaksamaan pendidikan,” kata Sawittri.

Pendekatan pedagogi inovatif Shawn telah memperkayakan pembelajaran pelajar dan penglibatan di SK RPS Banun, sebuah sekolah yang keseluruhannya Orang Asli, di mana buta huruf dan kadar keciciran tinggi menjadi isu yang meruncing.

Melalui integrasi simulasi dan pengalaman dunia nyata, beliau telah mencipta persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dan berkesan.

Salah satu projeknya yang terkenal termasuk pembangunan simulator penerbangan dan kelas pemuliharaan marin bertemakan pantai, yang kedua-duanya telah memainkan peranan penting dalam membantu pelajar memahami konsep kompleks melalui pembelajaran pengalaman.

“Usaha penglibatan adalah kunci kejayaan dalam bilik darjah saya.

“Kaedah pengajaran saya telah meningkatkan motivasi dan penglibatan pelajar, yang membawa kepada peningkatan kehadiran dan keyakinan.

“Ini telah memupuk ketahanan dan ketabahan, menggalakkan pelajar untuk menerima pembelajaran.

“Walaupun buta huruf tidak sepenuhnya diselesaikan, terdapat kemajuan sejak Jun 2022. Dengan menyediakan peluang pembelajaran dan memberdayakan pelajar, prestasi akademik dan penglibatan kokurikulum telah melonjak.

“Ketika pelajar saya terus cemerlang, ia menunjukkan potensi mereka dan menekankan kepentingan menyediakan peluang dan mempercayai kemampuan mereka.

“Memenangi anugerah ini menonjolkan potensi besar pelajar kita. Saya komited sepenuhnya untuk menyediakan mereka dengan pengalaman pembelajaran terbaik dan peluang untuk merealisasikan potensi penuh mereka,” kata Shawn.

Sementara itu, Guru Besar SK RPS Banun, Mohd Zamarol Ahmad menyuarakan rasa bangga yang mendalam terhadap pencapaian luar biasa Shawn, yang telah menjayakan beliau memenangi RM20,000 untuk sekolah itu.

“Geran ini akan memainkan peranan penting dalam mewujudkan hab pembelajaran khusus untuk pelajar kami. Kami komited untuk menyokong Shawn dalam usaha-usaha masa depannya dan akan sentiasa memperjuangkan usaha beliau untuk menyediakan pendidikan luar biasa untuk pelajar-pelajar kami,” katanya.

Setiap finalis RISE Educator Award 2024 juga menerima RM1,000, dengan tambahan RM10,000 yang diperuntukkan kepada sekolah mereka untuk meningkatkan kemudahan atau infrastruktur yang dapat menyokong persekitaran yang kondusif untuk pendidikan berkualiti.

Proses pemilihan untuk pemenang dan finalis dirangka untuk menggabungkan undian awam (pertimbangan yang membawa 25 peratus kesuluruhan penilaian) dengan penilaian panel yang terkemuka.

Panel ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Teach For Malaysia, Josephine Tan, Chan Soon Seng dan RISE Educator of the Year 2023, Cikgu Kumaresan Muniandy yang menilai usaha dan impak calon (pertimbangan yang membawa 75 peratus kesuluruhan penilaian) untuk menentukan penerima anugerah ini.