AI perkasa tradisi hafazan al-Quran
Dari kota Madinah ke Baghdad, dari Andalusia hingga ke bumi Melaka, tradisi hafazan terus subur sebagai nadi pengajian Islam.

DALAM dunia serba moden yang dipacu oleh teknologi canggih, tradisi dan inovasi sering kali dianggap dua arah yang bertentangan. Namun apabila keduanya disatukan dengan penuh hikmah, hasilnya mampu melahirkan perubahan besar yang mengubah wajah pendidikan Islam serta menghidupkan kembali warisan ilmu yang berakar sejak zaman Rasulullah SAW.
Sejarah Islam membuktikan bahawa umat ini tidak pernah menolak kemajuan, bahkan sentiasa menjadi pelopor dalam menggabungkan wahyu dan akal. Tradisi hafazan al-Quran bermula sejak wahyu pertama diturunkan di Gua Hira’, ketika para sahabat Rasulullah SAW menghafaz setiap ayat dengan penuh cinta dan ketelitian. Mereka bukan sahaja menjadi penjaga wahyu tetapi juga perintis kepada sistem pendidikan berasaskan hafazan yang kemudiannya berkembang ke seluruh dunia Islam.
Dari kota Madinah ke Baghdad, dari Andalusia hingga ke bumi Melaka, tradisi hafazan terus subur sebagai nadi pengajian Islam. Setiap generasi melahirkan para huffaz yang menjadi benteng keaslian al-Quran, memastikan kalam Ilahi terpelihara tanpa sebarang perubahan walau satu huruf.
Kini, dalam era digital yang penuh cabaran dan peluang, kemajuan teknologi kecerdasan buatan atau AI membuka ruang baharu untuk memperkukuh semula tradisi suci ini. Teknologi bukan sekadar alat moden, tetapi satu peluang besar untuk meneruskan warisan agung yang telah dipelihara selama lebih empat belas abad, warisan yang menjadikan umat Islam istimewa kerana memiliki kitab suci yang dihafaz, difahami dan diamalkan secara turun-temurun di seluruh pelosok dunia.
Jika suatu ketika dahulu, proses menghafaz bergantung sepenuhnya kepada hafalan manual dan tunjuk ajar guru secara bersemuka, kini kecerdasan buatan atau AI menawarkan pendekatan baharu yang membantu pelajar dan guru menyesuaikan diri dengan cabaran zaman digital. Kehadiran teknologi ini bukan untuk menggantikan peranan insan tetapi memperkukuh tradisi penghafazan supaya terus segar dan sesuai dengan gaya hidup generasi muda.
Sejak dahulu lagi, hafazan al-Quran bukan sekadar latihan minda tetapi juga proses pembentukan rohani. Seorang hafiz bukan hanya dituntut mengingati ayat, malah memahami maksudnya dan mengamalkannya dalam kehidupan. Proses ini membina disiplin, ketekunan serta kesedaran spiritual yang tinggi.
Dalam sejarah Islam, para huffaz dianggap penjaga wahyu dan penerus rantai ilmu dari satu generasi ke generasi berikutnya. Namun dalam arus dunia moden yang serba pantas, tradisi ini semakin berdepan cabaran seperti kekurangan guru tahfiz, tekanan masa serta perubahan minat generasi baharu yang lebih tertarik kepada teknologi digital berbanding pembelajaran konvensional.
Dalam keadaan ini, teknologi AI muncul sebagai pelengkap yang berpotensi memperkasa semula kaedah hafazan. Sistem pintar berasaskan AI kini berperanan seperti pembantu maya yang setia membantu pelajar mengulang bacaan, membetulkan tajwid dan menilai ketepatan sebutan.
Melalui penggunaan pengecaman suara dan algoritma pembelajaran mesin, sistem ini mampu mengesan kesilapan dengan ketepatan tinggi. Huruf yang hampir sama bunyi dapat dibezakan, dan kesalahan hukum bacaan seperti mad, qalqalah dan idgham dapat dikenal pasti secara automatik.
Dengan aplikasi AI, pelajar tidak lagi terikat dengan waktu kelas tertentu. Mereka boleh mengulang hafazan pada bila-bila masa, sama ada di rumah, asrama atau ketika dalam perjalanan. Pelajar hanya perlu menggunakan telefon pintar untuk mengakses mushaf digital dan sistem akan memberi maklum balas secara serta-merta.
Ini amat membantu pelajar di luar bandar atau kawasan pedalaman yang sukar mendapatkan guru tetap. Dalam erti kata lain, AI menjadi guru tambahan yang tidak mengenal erti penat dan sentiasa sedia membantu mengukuhkan hafazan pelajar.
Selain membantu dari aspek teknikal, teknologi ini turut menjadikan hafazan lebih menarik dan menyeronokkan. Aplikasi interaktif yang mengandungi unsur permainan seperti ganjaran maya, tahap pencapaian dan penilaian skor memberikan motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha.
Pendekatan ini seiring dengan minat generasi muda yang lebih sukakan suasana pembelajaran berbentuk visual dan berasaskan pengalaman digital. Dalam persekitaran yang gamified ini, pelajar bukan sahaja lebih bersemangat tetapi juga mampu mengurus hafazan dengan lebih tersusun dan konsisten.
Walau bagaimanapun, kemajuan ini tidak seharusnya menenggelamkan nilai asas pendidikan Islam. Para ulama dan pendidik menegaskan bahawa hafazan bukan hanya urusan mengingati ayat tetapi juga latihan hati dan adab.
Tradisi talaqqi iaitu proses belajar secara bersemuka antara guru dan pelajar, membawa keberkatan yang tidak mampu diganti oleh mesin. Seorang guru bukan sekadar pembetul bacaan, malah menjadi pembimbing rohani dan pembentuk akhlak pelajar. Oleh itu, AI harus dilihat sebagai alat bantuan, bukan pengganti. Teknologi mesti mengukuhkan hubungan guru dan pelajar, bukannya menjauhkan mereka daripada nilai kasih dan keberkatan ilmu.
Namun, cabaran tetap wujud. Ketepatan sistem pengecaman suara masih memerlukan penambahbaikan kerana faktor loghat dan intonasi yang berbeza boleh mempengaruhi pengesanan bacaan. Ada juga kebimbangan mengenai kebergantungan pelajar kepada teknologi sehingga mengurangkan disiplin kendiri dan semangat mujahadah yang menjadi tunjang seorang hafiz. Justeru, institusi tahfiz perlu memastikan penggunaan AI disertai bimbingan berterusan daripada guru agar keseimbangan antara teknologi dan nilai rohani sentiasa terpelihara.
Selain itu, aspek keselamatan data dan etika penggunaan teknologi juga mesti diberi perhatian. Bacaan al-Quran yang dirakam dan disimpan oleh sistem AI perlu dijaga kerahsiaannya dengan penuh tanggungjawab.
Pembina aplikasi wajib memastikan semua algoritma mematuhi garis panduan syariah serta tidak mengubah, menokok atau mengurangkan mana-mana ayat suci. Penggunaan teknologi dalam konteks wahyu Ilahi menuntut integriti tertinggi agar kesucian al-Quran tidak dicemari oleh sebarang unsur manipulasi digital.
Bagi Malaysia yang mempunyai sistem pendidikan tahfiz paling pesat di rantau ini, penerapan AI membawa potensi besar untuk mengangkat martabat pendidikan Islam ke tahap global. Guru boleh menggunakan sistem pintar untuk menilai bacaan pelajar sebelum kelas bermula, membolehkan sesi pengajaran lebih fokus kepada pemahaman ayat dan penghayatan makna.
Pelajar pula boleh mengulang hafazan secara kendiri di rumah dengan bimbingan digital. Pendekatan hibrid yang menggabungkan kekuatan manusia dan teknologi menjadikan proses tahfiz lebih efisien, sistematik dan menarik.
Beberapa institusi di negara ini telah mula bereksperimen dengan aplikasi pengecaman suara al-Quran yang dibangunkan oleh pakar tempatan. Malah, universiti Islam turut mengorak langkah ke arah pembangunan kurikulum tahfiz berasaskan AI yang menekankan integrasi ilmu naqli dan aqli. Usaha sebegini menunjukkan kesediaan Malaysia untuk menjadi peneraju pendidikan Islam berteknologi tinggi di peringkat antarabangsa. Jika diteruskan dengan panduan syariah yang jelas, pendekatan ini mampu menjadi model bagi negara-negara Islam lain.
Dalam menghadapi dunia yang semakin digital, penting bagi masyarakat memahami bahawa kemajuan teknologi tidak semestinya menjauhkan manusia daripada agama. Sebaliknya, apabila digunakan dengan betul, ia mampu mendekatkan manusia kepada sumber ilmu dan panduan hidup yang hakiki iaitu al-Quran. Kecerdasan buatan boleh menjadi jambatan baharu yang membawa generasi muda lebih dekat dengan kitab suci, dengan cara yang lebih sesuai dengan zaman mereka.
Gabungan tradisi dan inovasi ini wajar disambut dengan hati terbuka serta kebijaksanaan. AI bukan ancaman kepada dunia tahfiz, malah satu peluang besar untuk memperkukuh lagi warisan ilmu Islam dalam bentuk baharu yang lebih segar dan lestari. Hafazan al-Quran tidak akan kehilangan rohnya selagi guru, pelajar dan masyarakat terus mengekalkan adab, keikhlasan serta semangat cinta terhadap kalam Allah. Setiap ciptaan teknologi hendaklah dilihat sebagai alat untuk mengangkat martabat wahyu, bukan sebagai permainan digital semata-mata.
Apabila Ai dan kecerdasan hati digabungkan secara seimbang, dunia tahfiz akan terus hidup dan berkembang. Tradisi yang diwarisi turun-temurun ini akan terus bersinar di hati generasi muda yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga celik rohani.
Inilah masa depan pendidikan Islam yang menyatukan iman dan ilmu, membina insan yang mampu berfikir dengan akal dan berzikir dengan hati dalam satu langkah yang harmoni menuju keredaan Allah.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
