Nafkah 50-50, pastikan adil

Suami tidak sepatutnya mementingkan diri atau mengambil kesempatan atas keikhlasan isteri yang membantu.

Feature Image

NAFKAH asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal bukan sekadar keperluan tetapi satu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh suami kepada isterinya. Kewajipan ini telah dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud “Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’rūf.” (Al-Baqarah 2: 233)

Pengabaian terhadap tanggungjawab ini tidak akan terlepas daripada hisab di akhirat kelak. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Āṣ, di mana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.” (Sunan Abī Dāwud Kitāb al-Zakāh, Bāb Fī Ṣillah al-Raḥim, hadith no. 1692)

Maka tidak hairanlah perkahwinan disebut sebagai mīthāqan ghalīẓā iaitu satu perjanjian yang berat, namun di dalamnya tersembunyi ibadah yang terpanjang dalam rumah tangga. Firman Allah SWT, “Dan mereka (isteri-isterimu) telah megambil perjanjian yang kuat (ikatan pernikahan) dari kamu.” (An-Nisa’ 4: 21)

Waima begitu, isu nafkah kekal menjadi antara topik paling hangat dalam perbincangan masalah rumah tangga. Hakikatnya, kegagalan melaksanakan tanggungjawab ini sering menjadi punca utama retaknya hubungan suami isteri. Lebih menarik, muncul pula naratif baharu iaitu ‘nafkah 50-50’ atau ‘nafkah seimbang’ di mana tanggungjawab kewangan dibahagi sama rata antara suami dan isteri.

Timbul persoalan penting, sejauh manakah naratif ini selari dengan hukum Islam? Persoalan ini semakin relevan apabila ramai isteri pada hari ini turut bekerja bagi membantu suami dalam menyara keluarga.

Dalam Islam, nafkah bukan sekadar kewajipan tetapi lambang kasih dan tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya. Makanan, pakaian dan tempat tinggal adalah asas yang mesti disediakan tanpa alasan dan tanpa pengecualian.

Walaupun isteri bekerja atau memiliki kedudukan yang lebih tinggi, tanggungjawab itu tetap di bahu suami. Islam menetapkan bahawa nafkah diberi mengikut kemampuan suami, bukan mengikut status atau kehendak isteri. Jika suami berharta, maka nafkahnya seiring dengan kekayaannya.

Sekiranya miskin, maka kadar pemberiannya mengikut kemampuan. Hakikatnya, dalam soal nafkah, tiada ruang untuk kompromi kerana di sinilah letaknya nilai kepimpinan, kasih dan amanah seorang suami. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah SWT kepadanya (sekadar yang mampu).” (Al-Ṭalāq 65: 7)

Menariknya, isu nafkah 50-50 ini semakin menjadi buah mulut apabila dikaitkan dengan realiti isteri masa kini yang bekerja dan berpendapatan sendiri. Ada yang berhujah kerana pekerjaan itu dilakukan atas keizinan suami, maka sebagai tanda timbal balik, isteri wajar turut berkongsi tanggungjawab nafkah bersama suami.

Masyarakat perlu memahami bahawa peranan isteri membantu suami dari segi kewangan hanyalah satu bentuk ihsan, bukan kewajipan mutlak. Tanggapan bahawa isteri perlu menanggung separuh daripada nafkah keluarga adalah konsep yang salah dan bercanggah dengan prinsip Islam. Hakikatnya, kedudukan isteri tetap berada di bawah tanggungan suami sebagaimana yang telah ditegaskan dalam al-Quran bahawa menjadi tanggungjawab suami untuk menyediakan nafkah kepada isteri dan anak-anak mengikut kemampuan dirinya.

Apabila suami diuji dengan kesempitan, isteri yang mempunyai sikap ihsan akan hadir sebagai penenang, membantu seikhlas hati meringankan beban pasangannya seperti dalam bentuk perbelanjaan anak-anak, rawatan perubatan atau sokongan moral yang tidak ternilai.

Namun, yang paling penting, setiap tindakan itu dilakukan dengan reda kedua-dua pihak. Di sinilah letaknya keindahan rumah tangga apabila suami isteri saling berbincang, berlebih kurang dan memahami antara satu sama lain hingga tercapai kata sepakat yang menenangkan jiwa.

Maka, suami tidak sepatutnya mementingkan diri atau mengambil kesempatan atas keikhlasan isteri yang membantu. Kewajipan memberi nafkah tidak pernah gugur selagi masih terikat dalam perkahwinan. Pemberian nafkah yang wajar dan sesuai bermaksud suami memberikan nafkah mengikut kemampuan tanpa berlebih-lebihan, tidak menunjukkan ketidaksenangan dan tanpa menunda atau mengabaikan keperluan pasangan.

Andai terlepas di dunia, amanah ini pasti dituntut di akhirat. Tunjukkanlah nilai gagah dan wibawa sebagai lelaki sejati, pelindung yang menenangkan, bukan beban yang menyesakkan. Jangan biarkan isteri hilang rasa selamat di sisi suami yang sepatutnya menjadi tempat berlindungnya.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.

Nur Faezah Musthapar ialah Pensyarah di Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Pahang dan boleh dihubungi di nurfaezah@umpsa.edu.my