Bijak meletakkan waktu layar pada tempatnya
Penyelidikan yang dilakukan terhadap anak-anak muda di Malaysia berkenaan tabiat digital menemui dapatan yang membimbangkan.

WAKTU layar bukanlah satu watak yang jahat dalam drama peranan digital tetapi tujuan dan aturan masa yang perlu difokuskan, yang memegang peranan penting dalam penceritaan kehidupan digital.
Mudah bagi kita untuk meletakkan kesalahan pada layar gajet bagi semua keadaan, penyebab kepada kualiti tidur yang rendah sehinggalah kepada tahap fokus yang tidak menentu. Namun demikian, banyak bukti daripada penyelidikan membentangkan bahawa persoalan yang sebenar bukan berapa lama waktu yang dihabiskan dengan peranti tetapi apa yang kita lakukan dengannya dan juga bila.
Bagi pelajar-pelajar di Malaysia yang mempunyai tuntutan kelas, penghantaran tugasan dan ada yang bekerja sambilan, dua persoalan ini lebih penting dibincangkan berbanding isu jumlah jam penggunaan peranti digital.
Umum mengetahui negara kita dewasa ini tersenarai sebagai salah satu negara yang mempunyai penglibatan digital harian yang tertinggi. Laporan terbaru menerangkan warganet Malaysia menghabiskan masa dalam dunia digital secara purata lebih lapan jam sehari dan antara aktiviti yang dilakukan adalah melayari media sosial atau singkatannya medsos dan penstriman audio dan video.
Jumlah jam penggunaan ini menarik perhatian para pakar dan ia sebenarnya menyampaikan mesej yang penting iaitu maklumat berkaitan aktiviti dan juga waktu penggunaan peranti digital.
Kebelakangan ini, penyelidikan yang dilakukan terhadap anak-anak muda di Malaysia berkenaan tabiat digital menemui dapatan yang membimbangkan. Tamsilnya, ada satu kajian berskala besar memaparkan ramai anak-anak muda yang berlebihan dalam menggunakan gajet dan coraknya berbeza berdasarkan aktiviti kesukaan masing-masing. Antara aktivitinya ialah menonton secara pasif, menatal media sosial dan bermain pada lewat malam, di mana setiap aktiviti ini memberi impak berbeza terhadap kesejahteraan diri.
Di samping itu, ada beberapa kajian di Malaysia menunjukkan segelintir remaja menggunakan peranti lebih daripada empat jam setiap hari dan mereka yang menggunakannya berlebihan sebelum tidur, melaporkan mutu tidur yang teruk dan berasa letih pada siang hari.
Agensi-agensi kesihatan di peringkat global melihat fokus isu ini lebih kepada kualiti penggunaan peranti berbanding cadangan pemansuhan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan waktu layar tidak aktif di kalangan anak-anak kecil dan remaja dihadkan dan yang lebih penting, mereka perlu diingatkan untuk mementingkan waktu rehat selain daripada berhenti seketika daripada layar dan bangun bergerak untuk mengelakkan duduk terlalu lama menghadap peranti.
Tambahan lagi, idea menghadkan waktu layar selamat dan tunggal dilihat kurang sesuai kerana bukti menunjukkan kesan berbeza mengikut umur dan aktiviti. Bukan semua waktu layar boleh diperuntukkan sama tempohnya, misalnya pembacaan bersama, aktiviti pembelajaran kolaboratif dan pembelajaran berasaskan video yang aktif memberi kebaikan dan risiko berbeza berbanding menatal secara pasif.
Kenapa aturan masa itu penting dalam penggunaan peranti? Penyelidikan saintifik berkenaan psikologi tidur menerangkan penggunaan peranti sebelum tidur mengganggu tidur melalui dua cara.
Pertama, isi kandungan itu sendiri seperti hantaran penuh emosi, persaingan dalam permainan dan mesej yang menekan jiwa, boleh mencetuskan rangsangan yang kurang baik dan yang kedua, cahaya yang terang daripada layar peranti boleh menyekat penghasilan melatonin (hormon tidur) dalam tubuh badan seseorang.
Banyak kajian menemui intervensi menangguhkan atau menukar aturan masa penggunaan peranti, misalnya menetapkan ruang bagi aktiviti-aktiviti bukan layar satu jam sebelum tidur, dapat meningkatkan kualiti tidur individu.
Hasil kajian di peringkat global berkenaan perubahan generasi akibat penggunaan telefon pintar menyatakan bahawa waktu layar tidak wajar diperuntukkan sama rata bagi semua pengguna. Hal ini demikian kerana ada segelintir anak-anak remaja yang melayari media sosial tetapi masih meneruskan hubungan fizikal yang kuat tidak menunjukkan simptom depresi seperti pengguna tegar peranti yang bersendirian. Situasi ini sekali lagi merumuskan bahawa konteks dan tujuan penggunaan peranti merupakan penentu kepada waktu layar seseorang.
Jadi, apa tindakan yang sesuai dilaksanakan oleh kita terutamanya golongan pelajar dan pendidik? Pertama, bahagikan waktu layar kepada beberapa kategori aktiviti. Contohnya, aktiviti akademik seperti kelas segerak, aktiviti produksi seperti kerja kreatif, aktiviti sosial seperti hubungan atas talian, dan aktiviti rekreasi seperti penstriman.
Seterusnya, jadikan waktu petang sebagai masa yang perlu dicakna sebaiknya, misalnya hentikan penggunaan teknologi satu jam sebelum tidur, lakukan aktiviti yang rangsangannya rendah seperti membaca dan perbualan ringkas tetapi bermakna dan galakkan waktu rehat pendek yang aktif selepas sesi belajar yang panjang.
Akhir sekali, ubah kaedah ajaran kepada latihan di mana dedahkan pelajar-pelajar bagaimana untuk aturkan penggunaan peranti seiring dengan jadual belajar dan tidur, bukan semata-mata memendekkan waktu penggunaan.
Akhir kata, mesej kepada kita semua adalah ringkas, iaitu layar peranti adalah sejenis peralatan, bukan penentu nasib ketentuan kita. Apabila digunakan pada masa yang betul, bagi tujuan yang betul, layar ini membantu pelajar-pelajar untuk belajar tetapi apabila digunakan pada waktu yang salah, layar ini mencuri waktu tidur dan kualiti fokus.
Asas usaha yang sebenar, bukan kita berpandukan kepada jam semata-mata, tetapi bagaimana waktu layar disesuaikan dengan corak belajar, bersosial dan tidur yang sihat dalam kehidupan seharian kita.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
