PSI, IJNUC meterai MoA, tawar Program Sarjana Muda Psikologi
UPSI bertindak sebagai badan penganugerahan ijazah manakala IJNUC akan melaksanakan pengajaran program berkenaan bagi melahirkan graduan yang kompeten.
Md. Amin (hadapan kiri) bersama Durrishah bergambar sambil memegang dokumen MoA yang ditandangani bersama dalam satu majlis yang diadakan di Bangunan Yayasan Selangor.
Oleh: BAZLI RAZAK
KUALA LUMPUR, 24 November 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Kolej Universiti IJN (IJNUC) bagi melaksanakan program Ijazah Sarjana Muda Psikologi (Kepujian).
Perjanjian itu menandakan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi untuk memperkukuh pendidikan psikologi dalam sektor penjagaan kesihatan negara melalui gabungan kepakaran akademik UPSI dan persekitaran pembelajaran klinikal IJNUC.
Di bawah perjanjian tersebut, UPSI bertindak sebagai badan penganugerahan ijazah manakala IJNUC akan melaksanakan pengajaran program berkenaan bagi melahirkan graduan yang kompeten, berperikemanusiaan dan bersedia memasuki industri.
MoA itu ditandatangani oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dan Naib Canselor IJNUC, Prof. Emerita Durrishah Idrus di Bangunan Yayasan Selangor.

Menurut Prof. Datuk Dr. Md. Amin, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen UPSI untuk memperluas impak pendidikan melalui perkongsian strategik yang menyatukan pengetahuan akademik dan aplikasi dunia sebenar.
“UPSI berbangga bekerjasama dengan IJNUC dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja memahami ilmu psikologi tetapi mampu mengaplikasikannya dalam konteks kesihatan.
“Integrasi psikologi dalam bidang perubatan amat penting ketika ini, sejajar penekanan negara terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan emosi sebagai keutamaan nasional,” ujar beliau.

Sementara itu, Prof. Emerita Durrishah berkata kerjasama itu selari usaha IJNUC memperluas portfolio akademiknya ke luar bidang sains klinikal tanpa mengabaikan matlamat melahirkan tenaga profesional kesihatan yang berkemahiran serta empati dalam memberikan rawatan.
“Kerjasama ini membuka lembaran baharu buat IJNUC kerana psikologi mempunyai hubungan rapat dengan penjagaan kesihatan, khususnya dalam memahami tingkah laku manusia dan kesejahteraan mental untuk rawatan holistik.
“Dengan menggabungkan kekuatan IJNUC dalam pendidikan kesihatan dan keunggulan akademik UPSI, kita dapat menyediakan graduan yang seimbang dari aspek kompetensi dan belas ihsan, selaras dengan keperluan semasa,” katanya.

Menerusi kerjasama tersebut, pelajar program berkenaan akan mengikuti kurikulum pelbagai disiplin yang merangkumi teori, latihan klinikal dan pendedahan kepada persekitaran penjagaan kesihatan bagi mengukuhkan pemahaman tentang dimensi psikologi dalam kesihatan.
Program itu dijangka ditawarkan pada September 2026 selepas memperoleh kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
