Mengubah dunia, satu kehidupan pada satu masa
20 tahun United Voice memperjuangkan hak individu dengan masalah pembelajaran
KUALA LUMPUR, 3 Disember 2025 – Kurang upaya atau kelainan upaya? Bagi United Voice, sebuah NGO yang berdedikasi memperkasakan individu dengan masalah pembelajaran, kedua-dua istilah ini sangat berbeza maknanya.
Baru meraikan ulang tahun ke-20 dan bersempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa (IDPD) yang disambut hari ini, United Voice terus teguh melangkah untuk memperjuangkan hak dan penyertaan individu dengan masalah pembelajaran. Organisasi itu juga menyeru masyarakat untuk menyayangi, memahami dan menerima golongan yang sering disalahfahami dan dipinggirkan ini.
“Masalah pembelajaran, yang merupakan kumpulan terbesar dalam kalangan orang kurang upaya, bukan bermaksud mereka tidak boleh belajar. Sebaliknya mereka belajar dengan cara berbeza dan mempunyai keupayaan yang berbeza juga.
“Di Malaysia, terdapat seramai 751,421 orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar tetapi angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi disebabkan kurangnya kesedaran, stigma sosial dan faktor-faktor lain. Ini menunjukkan bahawa sebenarnya ramai orang kurang upaya berada di sekeliling kita tetapi kita jarang melihat mereka menyertai masyarakat kerana golongan ini tersembunyi dan peluang untuk mereka juga terhad. Namun, kita mesti ingat bahawa setiap daripada mereka adalah anugerah dan sebahagian daripada masyarakat kita juga, mereka berhak untuk mendapat pendidikan, penerimaan sosial, pekerjaan dan kebebasan untuk menjalani kehidupan yang bermakna, tanpa halangan,” kata Naib Presiden United Voice, James Kong Yau Kin.
Sejajar dengan tujuan ini dan selaras dengan usaha kerajaan MADANI yang menawarkan peluang saksama kepada OKU, United Voice terus bekerja tanpa mengenal lelah untuk menyentuh hati dan mengubah minda masyarakat, supaya orang ramai dapat belajar cara menerima dan melibatkan individu dengan keperluan dan kebolehan yang berbeza. Aktivitinya tertumpu kepada empat tonggak yang saling berkaitan iaitu penglibatan, pemerkasaan, pendidikan dan pekerjaan. Secara keseluruhan, usaha-usaha ini merupakan sebahagian daripada Projek I’mPossible, iaitu program pekerjaan yang berfungsi sebagai platform latihan dan cabang perusahaan sosial United Voice.
Projek I’mPossible bertujuan mewujudkan laluan pekerjaan yang mampan sambil memupuk sifat berdikari dalam kalangan ahlinya dengan menyediakan peluang untuk mereka bekerja, belajar dan menjana pendapatan mengikut keupayaan setiap orang. Inisiatif utamanya termasuklah:
1. Sebuah kafe di premis dan kart kopi bergerak untuk membolehkan ahlinya mempelajari cara berinteraksi dengan pelanggan, mengambil pesanan dan mengembangkan kemahiran barista
2. Pembangunan kapasiti diri, advokasi kendiri, latihan vokasional, keusahawanan dan persediaan pekerjaan untuk membantu ahlinya menyuarakan keperluan mereka dan boleh berdikari
3. Bengkel dan latihan untuk organisasi dan rakan korporat, termasuk Latihan Kesaksamaan Kekurangupayaan (DET), Latihan Kesedaran Kekurangupayaan (DAT), Latihan Perkhidmatan Berkaitan Kekurangupayaan (DRST) dan Akses Audit, bagi membantu peserta memahami individu dengan masalah pembelajaran serta strategi untuk menyokong penglibatan mereka.

Setelah bertahun-tahun diperkenalkan, ramai yang telah mendapat manfaat daripada program ini seperti Lee May Yoong yang berkata, “Projek I’mPossible membawa perubahan besar dalam hidup saya. Selepas diserang tumor otak yang menjejaskan memori dan pembelajaran saya, United Voice memberi saya banyak peluang untuk belajar dan berkembang. Daripada latihan pentadbiran pejabat kepada bendahari, mengendalikan bengkel latihan kesedaran dan belajar cara bercakap dengan orang lain tentang hak saya selain meminta sokongan apabila diperlukan.”
Antara yang turut berasa selesa menimba ilmu di United Voice ialah Cynthia Thomas. Di sini beliau membina keyakinan dan kemahiran sehingga membolehkannya bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah klinik, mendaftarkan pesakit dan membantu melaksanakan pelbagai tugasan. Begitu juga dengan Siti Farhah Azyan yang berasa diterima dan menemui kepuasan dalam pekerjaannya. Di samping menyokong orang lain, beliau juga mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik Khas Dunia pada 2015 dan berjaya mencipta kenangan manis dengan membawa pulang beberapa pingat menerusi acara boling.
Bagi Clement Ooi Kit Meng, aspek pertuturan menjadi cabaran besar bagi individu autism sepertinya. Namun beliau berjaya mengekspresikan dirinya dengan begitu indah melalui karya seni yang berani dan mempunyai gaya tersendiri, yang kini mempunyai pengikut di dalam dan di luar negara.
Perjalanan hidup ahli United Voice menjadi sumber inspirasi dan harapan, menunjukkan apa yang boleh dicapai oleh individu dengan masalah pembelajaran. Walaupun terdapat pelbagai program yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan organisasi lain untuk membantu orang kurang upaya memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka, tetapi sokongan dari semua lapisan masyarakat sangat penting untuk merangsang perubahan yang berkekalan dan mampan.
“Sepanjang 20 tahun ini, kami telah menyentuh kehidupan ramai individu, bukan setakat ahli kami bahkan keluarga mereka. Kami telah membantu meningkatkan kesedaran orang ramai dan syarikat. Namun, masih banyak yang perlu dilakukan. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Lebih banyak tangan, lebih ringanlah beban. Kami turut mengalu-alukan sebarang pertanyaan mengenai program kami dan sokongan sama ada dari orang ramai atau pihak korporat. Dengan bantuan anda, kami boleh meneruskan misi kami, mengubah lebih banyak kehidupan, dan mencipta gelombang perubahan positif yang lebih luas dalam masyarakat,” kata Kong.
Pada musim cuti ini dan seterusnya, marilah kita memberi impak yang positif dan menjadi agen perubahan.
Kunjungi www.unitedvoice.com.my untuk melihat karya seni dan barangan kraf yang unik, singgah di kafe dan bakeri kami, daftar untuk bengkel, atau paling tidak, bantu sebarkan maklumat. Organisasi boleh menyokong United Voice dengan bekerjasama di bazar dan acara pop-up, membuat pesanan hadiah korporat atau menyertai bengkel DET, DAT dan DRST untuk mempelajari cara melibatkan orang kurang upaya dan menginterasikan kemahiran mereka ke dalam tenaga kerja yang lebih inklusif.
Untuk makluman terkini dan aktiviti akan datang, ikuti www.instagram.com/unitedvoice_malaysia.
