Sains genetik dan budaya perkasa mahasiswa IPPT USM di Sumatera
Program itu bukan sahaja membuka ruang pembelajaran merentas sempadan tetapi turut mengukuhkan hubungan budaya dan ilmiah antara dua wilayah Nusantara.
PROGRAM mobiliti pelajar serantau yang menghimpunkan mahasiswa pascasiswazah dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) bersama mahasiswa jurusan Farmasi dari Sekolah Tinggi Ilmu Kesehatan (STIKes) As Syifa Kisaran, Sumatera Utara, yang berlangsung dari 5 hingga 10 November 2025 menjadi platform transformasi dalam memperkasa komuniti, membina kepimpinan belia, serta memupuk kebolehan komunikasi sains dalam kalangan generasi muda serumpun.
Program itu bukan sahaja membuka ruang pembelajaran merentas sempadan tetapi turut mengukuhkan hubungan budaya dan ilmiah antara dua wilayah Nusantara yang berkongsi sejarah, bahasa dan akar warisan yang sama.
Sains genetik moden mula berkembang hasil kajian mendalam yang dijalankan oleh Gregor Mendel pada abad ke-19. Melalui siri eksperimen terperinci menggunakan tanaman kacang pis, Mendel merungkai pola pewarisan ciri antara generasi dan seterusnya meletakkan asas kepada hukum genetik yang menjadi rujukan dunia hingga kini.
Penemuan saintis ini bukan sahaja membuka jalan kepada pemahaman tentang pewarisan dan variasi biologi, malah mencetus revolusi dalam bidang perubatan, pertanian dan bioteknologi.
Sains genetik mengkaji bagaimana maklumat pewarisan disimpan, dipindahkan serta berfungsi secara biologi dalam setiap organisma. Teras kepada bidang ini ialah asid deoksiribonukleik (DNA) iaitu molekul yang menyimpan kod genetik yang menentukan sifat, fungsi dan perkembangan makhluk hidup.
DNA memainkan peranan penting bukan sahaja dalam pewarisan ciri tetapi juga dalam proses penting seperti pembahagian sel, sintesis protein dan tindak balas biologi dalam badan.
Di dalam setiap gen tersimpan kisah keturunan yang menjadikan kita unik, ibarat tanda tangan biologi yang tidak pernah berulang. Apabila keunikan ini bergabung dengan persekitaran dan amalan hidup, ia mendorong kepada perkembangan budaya dan tradisi dalam komuniti.
Interaksi antara faktor genetik dan budaya memperlihatkan bagaimana profil DNA dan latar persekitaran turut menentukan pembentukan identiti masyarakat serumpun. Walaupun kita berkongsi hampir keseluruhan jujukan genom yang sama, perbezaan kecil sekitar 0.1 peratus dalam variasi DNA sudah memadai untuk menghasilkan keunikan setiap individu iaitu meliputi perbezaan rupa, sifat dan keupayaan adaptasi.

Sebagai contoh, rantau Austronesia memperlihatkan bagaimana migrasi, sejarah perdagangan, mobiliti tenaga kerja dan percampuran etnik sejak berabad-abad telah membentuk pola persamaan yang ketara dalam populasi komuniti Melayu di Malaysia dan Indonesia.
Pada masa sama, budaya seperti bahasa, dialek, adat dan cara hidup turut mempengaruhi corak interaksi dan pembentukan komuniti serumpun. Kajian saintifik moden seperti analisis pendek berulang, polimorfisme nukleotida tunggal, penjujukan DNA, pohon filogenetik dan analisis DNA mitokondria membolehkan para penyelidik mengenalpasti variasi dalam genom serta menelusuri aliran gen antara populasi yang berbeza.
Penemuan daripada pelbagai analisis genom ini mengukuhkan bahawa budaya juga meninggalkan ‘jejak’ dalam struktur populasi manusia. Oleh itu, interaksi antara faktor genetik, budaya dan persekitaran wajar dilihat sebagai komponen utama dalam menerangkan persamaan identiti, hubungan serumpun dan pembentukan jati diri komuniti di rantau ini.
Melalui program mobiliti antarabangsa itu, usaha memperkasa generasi muda serumpun dapat diperkukuh melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan nilai rentas budaya. Program itu membuka ruang kepada mahasiswa IPPT-USM untuk berperanan sebagai jambatan ilmu antara dua negara, sekali gus mengukuhkan hubungan Malaysia-Indonesia dalam konteks pendidikan, sains dan pembangunan komuniti.
Di SMKS Muhammadiyah 5 Kisaran, Sumatera Utara, mahasiswa IPPT-USM berpeluang berkongsi ilmu mengenai konsep hereditari dan demonstrasi eksperimen makmal menggunakan kaedah penyelidikan asas dalam bidang genetik seperti pengekstrakan DNA.
Aktiviti pengekstrakan DNA ini membolehkan pelajar melihat sendiri proses mengasingkan DNA daripada sel tumbuhan, di samping memberi gambaran yang lebih jelas tentang struktur, fungsi dan kepentingan molekul tersebut.
Pendekatan hands-on ini turut membantu pelajar mengaitkan konsep genetik dengan kehidupan harian, termasuk pewarisan ciri fizikal, serta aplikasi teknologi DNA dalam bidang perubatan, pertanian dan bioteknologi.
Secara keseluruhan, aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan minat pelajar terhadap sains tetapi juga menggalakkan pemikiran kritis, kemahiran makmal asas dan kesedaran tentang peranan sains dalam kehidupan seharian.
Pada masa sama, pengalaman ini turut mengasah kemahiran komunikasi sains dan interaksi interpersonal dalam kalangan mahasiswa IPPT-USM sendiri, menjadikannya manfaat dua hala antara pelajar sekolah dan mahasiswa universiti.

Di sebalik penerapan kemahiran praktikal dan komunikasi sains, turut diselitkan satu elemen penting iaitu pembentukan jiwa kepimpinan dalam kalangan mahasiswa. Sepanjang program, mahasiswa diberi peluang menerajui aktiviti berkumpulan, berinteraksi dengan masyarakat setempat dan bekerjasama dalam tugasan berasaskan projek.
Pengalaman itu mengasah kematangan dalam membuat keputusan, meningkatkan pemikiran kritis serta membina keupayaan untuk beradaptasi dengan persekitaran serta budaya yang berbeza.
Pengalaman budaya yang mendekatkan dua negara serumpun
Sebagai pelengkap kepada modul akademik, mahasiswa IPPT-USM turut mengikuti komponen penghayatan budaya yang membuka perspektif baharu tentang kehidupan masyarakat Sumatera Utara. Melalui persembahan tarian tradisional Batak, lawatan ke Kampung Tomok serta interaksi bersama komuniti setempat, mahasiswa berpeluang memahami dan menghayati budaya tempatan secara lebih dekat.
Salah satu lokasi penting dalam program itu ialah Danau Toba, tasik kawah terbesar di dunia yang terbentuk hasil letusan gunung berapi berskala besar sekitar 74,000 tahun dahulu. Di tengah tasik ini terletak Pulau Samosir, pusat warisan dan budaya masyarakat Batak Toba yang kaya dengan sejarah, adat dan tradisi turun-temurun. Danau Toba juga dikaitkan dengan lagenda asal-usul nenek moyang Batak yang menjadi sebahagian daripada identiti sejarah dan spiritual masyarakat tersebut.
Di Kampung Tomok, mahasiswa dapat melihat sendiri tinggalan sejarah seperti makam raja-raja Batak, rumah adat tradisional, artifak budaya serta persembahan tarian warisan yang memaparkan kekayaan seni masyarakat Batak Toba.
Pengalaman budaya ini memberikan ruang kepada mahasiswa IPPT-USM untuk mengenali nilai, norma dan amalan komuniti Toba Batak secara lebih mendalam, daripada seni, adat, hinggalah kepada sejarah dan cara hidup masyarakatnya.
Melalui sokongan dana Mobility Matching Fund (MoMaF) 2025 daripada Pejabat Antarabangsa USM dan IPPT, program mobiliti antarabangsa ini bukan sahaja mengaktifkan aktiviti untuk Memorandum Perjanjian (MoA) antara IPPT dan STIKes As Syifa Kisaran, malah turut memperkukuh jaringan akademik Malaysia-Indonesia serta menyemarakkan semangat serumpun yang menjadi asas hubungan kedua-dua negara.
Program itu secara keseluruhannya memberi impak bermakna bukan sahaja kepada pembangunan mahasiswa, tetapi juga kepada usaha memperkukuh hubungan akademik serantau dalam bidang sains, kesihatan dan komuniti.
Semoga pengalaman yang diraih menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama akademik pada masa hadapan serta membuka jalan kepada pelbagai inisiatif pendidikan dan khidmat masyarakat yang mampu mengangkat martabat ilmu di rantau ini.
