SMK Kota Masai terima Anugerah Khas Sekolah Showcase 2025

Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang dalam memperkenalkan pelbagai pembaharuan, amalan baik, pendidikan berkualiti serta pencapaian tinggi murid.

Feature Image (2)

Oleh: ROZAK HADI

KUALA LUMPUR, 14 Disember 2025 – Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Kota Masai terus membuktikan kecemerlangan apabila menerima Anugerah Khas Sekolah Showcase sempena Majlis Apresiasi Pendidikan Khas Daerah Pasir Gudang yang berlangsung di SK Taman Johor Jaya 2 baru-baru ini.

Majlis di bawah penganjuran PPD Pasir Gudang menghimpunkan sekolah-sekolah pendidikan khas sekitar daerah Pasir Gudang bertujuan mengiktiraf usaha, komitmen serta inovasi yang dilaksanakan oleh para pendidik dalam memastikan murid berkeperluan khas mendapat akses pembelajaran terbaik.

Anugerah berprestij itu diberikan kepada PPKI SMK Kota Masai sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka dalam memperkenalkan pelbagai pembaharuan, amalan baik, pendidikan berkualiti serta pencapaian tinggi murid yang dinilai memberi impak besar terhadap dunia pendidikan khas.

Antara komponen yang dipamerkan termasuk pengoperasian kelas dua sesi, penganjuran program berimpak tinggi, program transisi kerjaya, pencapaian murid di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan serta sokongan terampil bagi kelas kemahiran yang dirangka secara sistematik mengikut kemampuan serta minat murid.

Sesi Penyerahan Anugerah Khas Sekolah Showcase disampaikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan PPD Pasir Gudang, Surieyani Samsudin kepada Pengetua SMK Kota Masai, Subramaniyan Dorasamy.

Pengetua SMK Kota Masai, Subramaniyan Dorasamy merakamkan penghargaan kepada guru-guru PPKI yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaan tersebut.

“Pengiktirafan ini adalah hasil kerja keras serta dedikasi seluruh warga PPKI yang sentiasa komited mendidik dan membimbing murid dalam suasana pembelajaran yang inklusif dan menyeronokkan. Ia juga membuktikan bahawa murid berkeperluan khas mampu mencapai potensi tinggi jika diberikan ruang, sokongan dan bimbingan yang tepat,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendidikan Khas, Jamilah Ali turut menyatakan bahawa anugerah tersebut menjadi pemangkin semangat untuk terus meningkatkan kualiti program pendidikan khas pada masa hadapan.

“Kami komited untuk terus menghasilkan pendekatan baharu serta memperkukuh latihan kemahiran bagi memastikan murid mampu berdikari dan bersedia menghadapi kehidupan sebenar,” katanya.

Majlis Apresiasi Pendidikan Khas Daerah Pasir Gudang diadakan setiap tahun sebagai platform menghargai kecemerlangan sekolah, guru serta murid dalam pelaksanaan program pendidikan khas. Tahun ini, majlis turut menyaksikan pelbagai persembahan, pameran serta penyampaian anugerah kepada sekolah yang menunjukkan prestasi membanggakan.

Turut hadir merasmikan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Surieyani Samsudin.

Selain anugerah showcase, PPKI SMK Kota Masai juga meraih anugerah lain, antaranya anugerah yang diraih oleh pendidik adalah Anugerah Kepimpinan Terbaik, Anugerah Guru Harapan, Anugerah Pengurus Teknik dan Anugerah Penghargaan Pensijilan Kemahiran Malaysia.

Anugerah yang diraih murid pula adalah Anugerah Tokoh Murid, Anugerah Terbaik Penilaian Akhir TVET, Anugerah Terbaik Merentas Desa dan Anugerah Terbaik bagi Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran Pendidikan Khas Johor.

Kejayaan PPKI SMK Kota Masai ini diharapkan dapat menjadi inspirasi dalam memperkasa pendidikan inklusif serta memupuk bakat murid berkeperluan khas secara berterusan.