Penyelidik bukan warga akademik jangan dilupa
Hasil penyelidikan bukan sahaja terhad kepada penerbitan ilmiah atau perbincangan di peringkat universiti.

GERAN penyelidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan sesuatu kajian saintifik. Tanpa sokongan kewangan yang mencukupi, banyak idea penyelidikan yang berpotensi tinggi tidak dapat direalisasikan dalam bentuk projek yang sebenar.
Geran yang berkualiti mampu memberi satu impak yang hebat kepada sesuatu penyelidikan, mempengaruhi perubahan yang jauh melangkaui bidang akademik, dengan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat, ekonomi dan alam sekitar.
Dalam konteks yang lebih luas, hasil penyelidikan bukan sahaja terhad kepada penerbitan ilmiah atau perbincangan di peringkat universiti.
Sebaliknya, ia berperanan sebagai pemangkin kepada perubahan sebenar dalam kehidupan seharian manusia. Penemuan daripada kajian boleh membantu memperbaiki dasar awam, meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, memperkukuh sistem pendidikan, serta menyokong pembangunan teknologi yang lebih efisien dan mampan.
Dari sudut masyarakat, penyelidikan dapat menyumbang kepada penyelesaian masalah sosial seperti kesihatan mental, penyakit kronik, kemiskinan, dan ketidaksamaan akses kepada perkhidmatan. Ini secara langsung meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
Dalam konteks pembangunan ekonomi pula, inovasi yang terhasil daripada penyelidikan boleh membuka peluang baharu seperti penciptaan produk, peningkatan produktiviti industri serta kemunculan sektor ekonomi baharu. Ia juga membantu negara menjadi lebih berdaya saing di peringkat global.
Sementara itu, bagi aspek kelestarian alam sekitar pula menerangkan bahawa penyelidikan memainkan peranan penting dalam mencari solusi kepada cabaran seperti perubahan iklim, pencemaran dan penggunaan sumber semula jadi secara lestari. Ini memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan bertanggungjawab untuk generasi akan datang.
Cabaran utama
Antara kekangan utama yang sering dihadapi oleh para penyelidik ialah isu pemilikan geran, khususnya dalam kalangan mereka yang memegang jawatan sebagai Pegawai Penyelidik. Secara asasnya, tugas seorang Pegawai Penyelidik memang tertumpu kepada pelaksanaan aktiviti penyelidikan, sama ada secara langsung seperti pengumpulan dan analisis data, mahupun secara tidak langsung seperti penyediaan laporan dan sokongan teknikal.
Malah, dalam penilaian Sasaran Kerja Tahunan (SKT), komponen penyelidikan lazimnya diberikan peratusan yang tinggi, mencerminkan peranan utama mereka dalam menjayakan agenda penyelidikan institusi.
Walau bagaimanapun, realiti yang dihadapi agak berbeza apabila melibatkan peluang untuk memiliki geran sebagai Penyelidik Utama. Pegawai Penyelidik perlu membuat pertimbangan yang sangat teliti dalam memilih geran yang ingin dipohon, kerana tidak semua skim geran membuka peluang kepada mereka. Sebahagian besar geran utama, khususnya yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), menetapkan syarat bahawa hanya kakitangan akademik seperti pensyarah layak bertindak sebagai Penyelidik Utama.
Keadaan ini secara tidak langsung mengehadkan ruang dan autonomi Pegawai Penyelidik untuk mengetuai projek penyelidikan sendiri, walaupun mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman yang setanding.
Sebagai contoh, di Malaysia terdapat pelbagai jenis geran penyelidikan yang disediakan oleh kerajaan seperti KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta agensi luar, bagi merangsang pembangunan ilmu, inovasi dan penghasilan produk.
Antara geran utama termasuk FRGS (Fundamental Research Grant Scheme) yang memfokuskan kepada penyelidikan asas, PRGS (Prototype Research Grant Scheme) yang menekankan pembangunan prototaip, TRGS (Transdisciplinary Research Grant Scheme) yang menggalakkan kolaborasi merentas bidang serta LRGS (Long-term Research Grant Scheme) bagi penyelidikan jangka panjang berskala besar.
Namun demikian, kebanyakan geran ini mensyaratkan pensyarah sebagai ketua projek, sekali gus menghadkan peluang Pegawai Penyelidik untuk memimpin penyelidikan walaupun mereka merupakan tulang belakang kepada pelaksanaan projek tersebut.
Situasi ini menimbulkan satu dilema dalam ekosistem penyelidikan, di mana tanggungjawab yang besar tidak semestinya disertai dengan peluang yang setara. Justeru, terdapat keperluan untuk menilai semula mekanisme sedia ada agar lebih inklusif, sekali gus memberi ruang kepada Pegawai Penyelidik untuk berkembang sebagai peneraju penyelidikan pada masa hadapan.
Skim geran untuk pegawai penyelidik
Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa skim geran yang lebih khusus dan memberi ruang kepada Pegawai Penyelidik. Antaranya ialah Skim Geran Pegawai Penyelidik MRUN (MROGS) yang diwujudkan di bawah Malaysian Research University Network (MRUN) khusus untuk Pegawai Penyelidik di Universiti Penyelidikan (RU) seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Skim ini bertujuan mengukuhkan rangkaian kepakaran, kolaborasi serta membiayai penyelidikan dalam kalangan penyelidik rangkaian MRUN.
Selain itu, terdapat juga geran penyelidikan dalaman di bawah Institut Penyelidikan Kerajaan (GRI) yang hanya boleh dipohon oleh Pegawai Penyelidik agensi masing-masing.
Contohnya termasuk MOH Research Grant (MRG) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, di mana Ketua Penyelidik mestilah daripada kalangan pegawai KKM termasuk di institut seperti IMR dan CRC. Begitu juga di agensi seperti MARDI, FRIM, Agensi Nuklear Malaysia serta MPOB, yang menyediakan dana dalaman khusus untuk penyelidik mereka dalam bidang pertanian, perhutanan, nuklear dan industri sawit.
Di samping itu, terdapat juga geran dalaman universiti yang memberi peluang kepada Pegawai Penyelidik, khususnya mereka dalam skim kontrak atau pasca-doktoral. Sesetengah universiti menyediakan geran kecil atau geran peralihan bagi membolehkan mereka bertindak sebagai Penyelidik Utama dalam skala kecil bagi memenuhi KPI penerbitan. Terdapat juga geran pasca-doktoral yang dikhaskan sepenuhnya untuk penyelidik muda atau felo penyelidikan bagi melaksanakan kajian lanjutan.
Mereformasi akses geran penyelidikan
Secara keseluruhannya, geran penyelidikan merupakan nadi utama dalam menggerakkan ekosistem penyelidikan negara kerana ia bukan sahaja menyokong pelaksanaan kajian, malah memberi impak yang meluas kepada masyarakat, ekonomi dan alam sekitar.
Namun, di sebalik kepentingan ini, wujud ketidakseimbangan dalam akses kepada geran, khususnya dalam kalangan Pegawai Penyelidik yang walaupun memainkan peranan penting dalam pelaksanaan kajian, masih berhadapan kekangan untuk mengetuai projek sebagai Penyelidik Utama.
Situasi ini menunjukkan bahawa sistem sedia ada masih belum sepenuhnya inklusif dan berpotensi mengehadkan perkembangan bakat penyelidik yang berkemahiran tinggi. Jika isu ini tidak ditangani, ia bukan sahaja menjejaskan motivasi individu, malah boleh memberi kesan kepada produktiviti dan daya saing penyelidikan negara secara keseluruhan.
Sudah sampai masanya ekosistem penyelidikan negara bergerak ke arah yang lebih inklusif, dengan memberikan peluang yang lebih adil kepada semua penyelidik tanpa mengira jawatan. Hanya dengan pendekatan yang lebih seimbang, potensi sebenar penyelidikan negara dapat dimaksimumkan demi manfaat bersama.

