Bantu putuskan rantaian penjenayah siber
Penipuan siber boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira tahap pendidikan atau kemahiran teknologi. Literasi digital, budaya bertanya dan tindakan segera penting untuk mengelakkan kerugian.

HARI ini, penipuan dalam talian bukan lagi isu yang hanya berlaku kepada individu yang dianggap “naif” dengan teknologi. Dalam dunia digital hari ini, sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran, termasuk golongan berpendidikan, profesional, pengguna tegar media sosial dan mereka yang sudah biasa melakukan transaksi dalam talian.
Setiap hari, semakin banyak kisah mangsa jenayah siber dikongsikan di media sosial. Ada yang kehilangan simpanan akibat penipuan pelaburan, ada yang terpedaya dengan tawaran pekerjaan palsu, manakala ada yang menyerahkan maklumat perbankan selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank atau pihak berkuasa.
Persoalannya, mengapa masih ramai yang menjadi mangsa walaupun semakin banyak kempen kesedaran dijalankan? Salah satu sebabnya ialah penipuan siber hari ini bukan semata-mata mengeksploitasi kelemahan teknologi, tetapi turut mengeksploitasi kelemahan manusia.
Penjenayah tidak semestinya perlu memecahkan sistem komputer atau mencipta teknologi yang terlalu kompleks. Sebaliknya, mereka hanya perlu membuat seseorang berasa takut, teruja, tamak, kasihan atau terdesak untuk bertindak tanpa berfikir panjang.
Kita sering mendengar komen seperti, “Macam mana boleh kena scam? Dia kan berpendidikan?” atau “Dia kan keje, guna komputer hari-hari, takkan kne scam jugak?” Pandangan sebegini perlu diubah. Menjadi mangsa penipuan tidak semestinya bermaksud seseorang itu tidak bijak atau tidak tahu menggunakan teknologi.
Penipuan direka untuk memanipulasi proses membuat keputusan manusia. Sebagai contoh, seseorang mungkin sangat mahir menggunakan aplikasi perbankan tetapi tetap boleh terpedaya apabila menerima panggilan yang mendakwa terdapat transaksi mencurigakan dalam akaunnya.
Seorang profesional pula mungkin biasa menggunakan e-mel dan media sosial, tetapi boleh terpengaruh dengan mesej yang menyamar sebagai ketuanya dan meminta bayaran segera. Dalam keadaan panik, manusia cenderung untuk memberi tumpuan kepada masalah yang perlu diselesaikan dengan segera, bukannya mempersoalkan sama ada maklumat yang diterima itu benar.
Sebab itu, literasi digital tidak boleh hanya diukur berdasarkan kemampuan seseorang menggunakan teknologi. Yang lebih penting ialah keupayaan untuk menilai maklumat, mengenal pasti tanda-tanda manipulasi, membuat pengesahan dan mengambil keputusan yang selamat. Cabaran menjadi lebih besar apabila teknologi berkembang.
Pada masa lalu, mesej penipuan mungkin mudah dikenal pasti kerana mempunyai banyak kesalahan ejaan, menggunakan bahasa yang pelik atau mengandungi pautan yang mencurigakan. Hari ini, keadaan sudah berubah. Mesej boleh kelihatan lebih profesional, menggunakan identiti organisasi yang dikenali dan disusun mengikut konteks penerima.
Perkembangan kecerdasan buatan (AI) juga berpotensi menjadikan penipuan lebih meyakinkan. Teknologi AI boleh digunakan untuk menghasilkan teks yang lebih kemas, mencipta imej palsu dan, dalam sesetengah kes, menghasilkan suara atau kandungan yang menyerupai individu sebenar.
Ini bermakna kita tidak lagi boleh bergantung kepada satu petunjuk mudah seperti, “Kalau bahasa pelik, mesti scam.” Sebaliknya, pengguna perlu membina satu tabiat yang lebih penting, iaitu berhenti seketika sebelum bertindak. Jika menerima mesej yang mendesak kita membuat bayaran, memberikan maklumat peribadi atau mengklik pautan, jangan terus bertindak. Semak melalui saluran rasmi dan hubungi pihak berkenaan menggunakan nombor telefon yang diperoleh daripada laman sesawang rasmi, bukannya nombor yang diberikan dalam mesej tersebut.
Di sinilah peranan keluarga menjadi sangat penting. Dalam banyak keluarga, individu yang lebih celik teknologi sering menjadi tempat rujukan apabila ibu bapa, adik-beradik atau saudara-mara menerima mesej yang mencurigakan. “Betul ke mesej ini daripada bank?”, “Boleh percaya ke nombor ini?” atau “Dia kata akaun saya akan disekat kalau saya tak buat bayaran sekarang.”
Soalan-soalan ini mungkin kedengaran mudah bagi sesetengah orang. Namun, bagi individu yang kurang terdedah kepada modus operandi penipuan digital, situasi tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan panik. Pada ketika inilah pengetahuan kita boleh menjadi satu bentuk perlindungan kepada orang lain.
Kita tidak seharusnya menyalahkan seseorang yang bertanya. Sebaliknya, jadikan bertanya sebelum bertindak sebagai satu budaya dalam keluarga. Lebih baik seseorang bertanya sepuluh kali sebelum membuat transaksi berbanding membuat satu keputusan yang menyebabkan kehilangan ribuan ringgit.
Satu lagi perkara yang perlu kita ubah ialah cara kita berkongsi maklumat tentang scam. Kita sering berkongsi kisah penipuan selepas seseorang menjadi mangsa. Kisah tersebut kemudiannya menjadi bahan perbincangan di media sosial — bagaimana mangsa terpedaya, berapa jumlah wang yang hilang dan bagaimana penjenayah menjalankan modus operandi mereka. Perkongsian sebegini memang penting, tetapi pendidikan sepatutnya berlaku sebelum kejadian, bukan selepasnya.
Jika kita mengetahui modus operandi penipuan yang baharu, kongsikan dengan ibu bapa dan ahli keluarga. Terangkan bukan sekadar “jangan percaya scam”, tetapi bagaimana scam tersebut berfungsi. Contohnya, jika terdapat penipuan yang menyamar sebagai pegawai bank, bincangkan apakah maklumat yang biasanya diminta, bagaimana penjenayah mewujudkan rasa panik dan apakah langkah yang boleh diambil untuk mengesahkannya. Dengan cara ini, kita bukan sekadar memberikan amaran, tetapi membina keupayaan membuat keputusan.
Jangan takut untuk mengaku sudah tertipu. Rasa malu menyebabkan sesetengah mangsa mengambil masa terlalu lama untuk memberitahu keluarga atau mendapatkan bantuan. Ada yang takut dimarahi, dianggap cuai atau dipersalahkan kerana menyerahkan wang atau maklumat. Hakikatnya, kelewatan hanya memberikan lebih banyak masa kepada penjenayah.
Menjadi mangsa bukan sesuatu yang memalukan; yang penting ialah bertindak segera, mendapatkan bantuan dan belajar daripada pengalaman tersebut. Pengalaman seorang mangsa juga boleh membantu orang lain mengenal pasti modus operandi yang sama sebelum mereka menjadi mangsa seterusnya.

