Ijazahnya ada, kemahiran pula yang belum cukup
Janji ahli politik untuk mencipta pekerjaan sememangnya wajar dialu-alukan tetapi jumlah pekerjaan sahaja tidak mencukupi.

MALAYSIA menunjukkan kemajuan dalam pasaran buruh apabila kadar pengangguran graduan menurun kepada 3.2 peratus pada 2024. Namun, angka ini belum menggambarkan keseluruhan realiti pekerjaan golongan muda. Data Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mei 2026, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun masih berada pada 10.2 peratus, melibatkan kira-kira 291,600 orang.
Bagi kumpulan berumur 15 hingga 30 tahun pula, sekitar 396,000 orang masih menganggur, dengan kadar 6.3 peratus. Kedua-duanya jauh lebih tinggi berbanding kadar pengangguran keseluruhan negara. Lebih membimbangkan, memperoleh pekerjaan tidak semestinya bermakna kelayakan dan potensi seseorang graduan digunakan sepenuhnya.
Pada suku pertama 2026, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran masih tinggi pada 35.2 peratus. Ini bermakna lebih satu pertiga daripada pekerja berpendidikan terdiari berada dalam pekerjaan separa mahir atau berkemahiran rendah. Cabaran sebenar bukanlah graduan tidak mempunyai kelayakan akademik.
Sebaliknya, masalah utama terletak pada jurang antara kelayakan yang dimiliki dengan keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, berkomunikasi, sikap bekerjasama, menyelesaikan masalah dan membuat pertimbangan dalam situasi kerja sebenar. Ramai graduan memenuhi syarat akademik sesuatu jawatan, tetapi belum mencapai tahap kompetensi yang diperlukan oleh majikan.
Isu ini semakin relevan apabila peluang pekerjaan belia dijadikan janji politik. Sebagai contoh, dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini, terdapat parti politik menjanjikan 200,000 pekerjaan berkualiti, termasuk 100,000 pekerjaan bergaji premium yang disokong oleh pelaburan strategik dan sektor berteknologi tinggi. Fokus utama perbincangan ini menunjukkan ikrar tersebut menggambarkan kecenderungan yang semakin ketara dalam politik Malaysia.
Janji untuk mencipta pekerjaan sememangnya wajar dialu-alukan tetapi jumlah pekerjaan sahaja tidak mencukupi. Persoalan yang perlu dijawab ialah sama ada pekerjaan tersebut menawarkan gaji yang munasabah, menggunakan kelayakan graduan, menyediakan perkembangan kerjaya dan benar-benar boleh diakses oleh golongan muda tempatan.
Lebih penting, adakah graduan mempunyai keupayaan untuk mendapatkan, melaksanakan dan mengekalkan pekerjaan tersebut? Dalam suatu kajian yang dilakukan terhadap majikan dalam sektor perbankan dan insurans sekitar ibu negeri di Kuala Lumpur, menunjukkan terdapat jurang antara tahap kepentingan yang diberikan oleh majikan dengan tahap kompetensi graduan baharu dalam kesemua tujuh domain kemahiran kebolehkerjaan yang dikaji. Jurang terbesar melibatkan kemahiran interpersonal, diikuti kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan komunikasi.
Walaupun etika kerja muncul sebagai kompetensi paling kukuh, tahap yang ditunjukkan graduan masih belum memenuhi sepenuhnya kepentingan yang diletakkan oleh majikan. Dapatan ini tidak bermaksud graduan langsung tidak mempunyai kemahiran. Secara umumnya, mereka memiliki asas kompetensi yang munasabah. Namun, mereka masih kurang bersedia untuk mengendalikan tuntutan kerja yang melibatkan interaksi dengan pelanggan, kerjasama antara jabatan, penyelesaian masalah tidak berstruktur dan pembuatan keputusan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap.
Jurang tersebut menjadi semakin kritikal dalam persekitaran Revolusi Perindustrian Keempat. Kecerdasan buatan dan automasi boleh menyediakan laporan, memproses data dan melaksanakan tugasan rutin dengan lebih pantas. Namun, teknologi tidak menggantikan keperluan untuk pekerja menilai ketepatan maklumat, menjelaskan implikasi keputusan, berinteraksi dengan pihak berkepentingan dan bertanggungjawab terhadap hasil akhir. Oleh itu, kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi.
Graduan yang cekap menggunakan teknologi tetapi tidak mampu berkomunikasi, bekerjasama atau membuat pertimbangan profesional masih akan menghadapi kesukaran di tempat kerja. Pada masa yang sama, kemahiran komunikasi tanpa pengetahuan teknikal juga belum memadai dalam ekonomi berasaskan teknologi. Tanggungjawab untuk menutup jurang ini tidak boleh diletakkan pada graduan semata-mata.
Universiti perlu memperluas pembelajaran berasaskan masalah sebenar, projek industri, tugasan pelbagai disiplin dan latihan industri yang mempunyai penyeliaan serta maklum balas yang jelas. Majikan pula perlu menyediakan program graduan, bimbingan, perantisan dan latihan di tempat kerja, bukannya mengharapkan pekerja baharu terus berfungsi sebagai tenaga kerja yang lengkap.
Janji politik berkaitan pekerjaan juga memerlukan instrumen ukuran kejayaan yang lebih bermakna. Selain jumlah jawatan yang diwujudkan, kerajaan perlu melaporkan kadar pengambilan belia tempatan, tahap gaji, kesepadanan antara kelayakan dengan pekerjaan, peluang latihan dan kadar pengekalan pekerja. Matlamat dasar pekerjaan tidak seharusnya sekadar memindahkan golongan muda daripada kategori “menganggur” kepada “bekerja”.
Malaysia memerlukan pekerjaan yang menggunakan pendidikan mereka secara produktif, menawarkan kemajuan kerjaya dan memberikan pendapatan yang bermaruah. Dalam masa yang sama, negara perlu melahirkan graduan yang bukan sahaja berkelayakan, tetapi benar-benar berkeupayaan untuk bekerja.

