Gaya tontonan dahulu dan kini, mengungkap niat dan tujuan menonton
Pengaruh komunikasi massa seperti televisyen dilihat sebagai berfungsi pada tahap yang baik seandainya ia dapat mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku penonton.

CUTI hujung minggu baru-baru ini, penulis berpeluang untuk berbuka puasa di kampung halaman bersama ahli keluarga. Waktu yang ada digunakan sebaik mungkin memandangkan bukan mudah dapat bersahur dan berbuka puasa bersama ekoran terpisah sementara dek tuntutan kerja.
Pada sebelah siang, hanyalah aktiviti santai yang memenuhi ruang kecil rumah pusaka ini. Penulis memilih untuk duduk di suatu sudut sambil memerhatikan gelagat anak saudara yang pelbagai peringkat umur sedang menonton televisyen. Terhibur juga hati melihat keadaan dan gelagat mereka menonton.
Namun, tiba-tiba terdengar suatu ungkapan dialog yang menerjah “tak de cerita best lah, semua tak best”. Demikianlah kata-kata yang diluahkan salah seorang daripada mereka yang bersama menonton televisyen. Tersentak dengan pengakuan ihklas berkenaan menyebabkan penulis berfikir sendirian. Begitu banyak siaran yang ditawarkan mengapa masih ada andaian yang sebegitu?
Konteks ucapan yang ringkas namun banyak yang boleh dibahaskan terutamanya jika kita memperkatakan tentang perubahan pola tontonan masyarakat terutamanya berkaitan dengan pendekatan sumber yang mempunyai pengaruh kepada khalayak tontonan.
Secara jelas, pengaruh komunikasi massa seperti televisyen dilihat sebagai berfungsi pada tahap yang baik seandainya ia dapat mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku penonton, bukan sekadar hanya menarik minat untuk masyarakat mula menonton. Penafsiran ini selalunya akan disokong dengan suasana persekitaran kehidupan dan tidak bersifat statik untuk menjelaskan sesuatu keadaan.
Pengaruh sumber dapat dikenal pasti berpandukan beberapa indikator seperti keupayaan mencapai matlamat tontonan, kesan tontonan, perkaitan kandungan, kepelbagaian khalayak dan strategi yang digunakan terhadap khalayak penonton.
Berdasarkan pengamatan awal antara pengalaman terdahulu dan realiti hari ini, keadaan dan suasana agak berbeza terutamanya dalam erti kata bagaimana pemilihan rancangan dilakukan oleh seseorang individu.
Bagi penulisan kali ini, kupasan adalah berkenaan niat dan tujuan menonton atau lebih tepat keupayaan mencapai matlamat tontonan. Dengan membuat perbandingan corak tontonan dahulu dan kini sememangnya mudah untuk kita mendapat penjelasan tentang perbezaan yang wujud ketika memilih rancangan untuk ditonton.
Harus diakui bahawa keadaan dahulu dan kini jelas menunjukkan perbezaan dalam banyak hal, tak terkecuali dalam perkara pemilihan rancangan yang bakal ditonton. Mengimbau ketika sekitar tahun 80-an dan awal 90-an dahulu, rata-rata pemilihan rancangan yang bakal ditonton kebiasaannya memerlukan semakan di akhbar yang tertera maklumat kandungan rancangan di ruangan khas iaitu dikenali sebagai intisari rancangan yang bersifat harian.
Perjalanan saluran rancangan di stesyen televisyen akan dipaparkan dengan jelas dengan nama rancangan dan waktu siaran secara penuh diperuntukan seharian. Ini sangat membantu dalam membuat perancangan masa tontonan yang disesuaikan dengan aktiviti harian.
Bagi golongan kanak-kanak mungkin tumpuan akan terarah kepada rancangan kartun tempatan ataupun dari luar negara yang sudah tentu bersiaran pada lewat petang iaitu waktu lapang selepas tamat aktiviti persekolahan.
Rancangan yang memfokuskan golongan wanita pula kebiasaannya akan mewarnai siaran pada sebelah pagi hari sabtu dan ahad, memandangkan itu adalah waktu istirehat kepada para wanita yang bekerja terutamanya, maka mereka berpeluang untuk menonton ketika itu. Rancangan memasak, tips penjagaan diri dan pelbagai lagi program yang dilihat mampu memotivasikan diri pada hujung minggu.
Begitulah seterusnya pembahagian atau pecahan format rancangan dan genre persembahan lain yang secara umumnya mempunyai khalayak sasaran yang khusus dan waktu yang signifikan untuk membolehkan tontonan berlangsung. Penyusunan rancangan harus berpandukan strategi yang sesuai bagi membolehkan penyampaian kandungan secara optimum dilaksanakan.
Masyarakat akan tertumpu pada pemilihan berdasarkan niat dan tujuan untuk menonton kerana mereka akan terikat dengan jangkaan masa siaran dan perancangan aktiviti harian yang direncanakan. mMnakan tidak, kesediaan sebelum menonton akan meliputi ketepatan masa, berteraskan minat, daya ingatan individu dan perlu melapangkan waktu berdasarkan masa siaran adalah perkara yang harus dipertimbangkan.
Jika berlaku kelewatan duduk dihadapan televisyen untuk menonton maka memungkinkan anda terlepas maklumat atau kandungan yang dinantikan. Dengan kata lain, persediaan harus dilakukan dengan cermat dan tahap kesediaan untuk menonton berada pada tahap terbaik. Nampak ringan namun jika diteliti persediaan ini akan mempengaruhi corak tontonan dengan lebih berkesan.
Pengorbanan demi menonton rancangan pilihan adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Ada anak-anak yang terlepas menonton televisyen kerana memilih untuk bermain dipadang bola dan tak kurang juga babak perebutan untuk memilih siaran rancangan dengan ahli keluarga yang lain memandangkan set televisyen kebiasaannya hanya ada sebuah sahaja.
Zaman berubah dengan pantas dan teknologi makin hebat tanpa dapat dibendung. Kini pemilihan boleh dilakukan dengan cara mudah dengan sokongan teknologi digital yang semakin maju.
Keadaan ini sama seperti pemilihan zaman dahulu cuma yang berbeza adalah ia dapat dilakukan dengan mudah atas beberapa faktor seperti penjadualan rancangan secara digital, saluran yang pelbagai dan keistimewaan untuk mengendalikan kandungan rancangan dengan pelbagai kaedah kawalan yang dikendalikan oleh penonton sendiri mengikut kesesuaian masa tontonan individu.
Malah tawaran tontonan juga sangat menjanjikan kepuasan berdasarkan kepelbagaian rancangan yang disediakan dengan kandungan terkini. Namun yang nyata, dari dahulu hingga kini tahap tumpuan tontonan harus berlandaskan niat dan tujuan menonton. Jika perkara ini jelas maka ianya menjadi penentu pada tahap penerimaan dan kadar tumpuan yang diberikan selari dengan minat serta kesediaan untuk menonton.
Terpulang kepada masyarakat dalam membuat keputusan tepat untuk mendedahkan diri mereka dengan jenis dan bentuk rancangan untuk tatapan sendiri. Mahu menonton secara rawak atau lakukan pemilihan berdasarkan minat dan kesediaan menonton sebagai persediaan. Kemudahan untuk menonton sentiasa berubah dengan teknologi namun asas pemilihan masih mendasari kepada keperluan dan kehendak individu yang pelbagai.
Dengan segala keistimewaan yang ditawarkan namun masih lagi ada ruang yang tidak mampu diisi dengan kepesatan teknologi. Ruang yang dahulunya diadun sempurna hanya untuk sebuah tontonan dan diikat erat dengan disiplin tontonan yang menjanjikan sebuah kepuasan menonton.
Mungkin sudut perbandingan nampak tidak adil dari sokongan teknologi namun atas kehendak dan keperluan masih berada pada tahap yang sama. Ia adalah penghargaan bagi sebuah rancangan yang bersandarkan niat dan minat untuk ditonton yang harus dipilih berdasarkan keutamaan dalam aktiviti kehidupan. Menonton kartun atau bermain bola misalnya.
Tiada rakaman, tiada jangkaan ulang tayang, tiada rumusan awal rancangan dan tiada kepastian sama ada dapat menonton dengan selesa dari segala hal gangguan sekeliling.
Apa yang pasti hanya ada satu pilihan sahaja iaitu menonton atau tidak. Rangkuman minat dan pilihan yang senantiasa mendasari kepentingan individu ketika keputusan dilakukan.

