Amalan mengambil berat sesama insan boleh kurangkan trend kodokushi
Fenomena kodokushi pada asalnya sering dikaitkan dengan masyarakat di Jepun, khususnya dalam kalangan warga emas.

TREND kodokushi atau kematian dalam kesunyian merupakan antara isu sosial yang wajar diberi perhatian serius oleh pelbagai pihak. Peningkatan kes kematian tanpa diketahui dalam kalangan masyarakat di Malaysia menunjukkan perkembangan yang membimbangkan dan memerlukan penelitian yang menyeluruh.
Fenomena kodokushi pada asalnya sering dikaitkan dengan masyarakat di Jepun, khususnya dalam kalangan warga emas dengan catatan terkini adalah sebanyak 76,020 kes pada tahun lalu.
Dalam kebanyakan kes, jasad mangsa hanya ditemui beberapa hari selepas kematian akibat kurangnya interaksi sosial, penuaan populasi serta peningkatan jumlah individu yang tinggal bersendirian.
Di Malaysia, laporan daripada beberapa akhbar utama turut menunjukkan trend yang semakin meningkat, dengan anggaran sekitar 3,500 kes setahun, terutamanya melibatkan warga emas.
Antara faktor yang dikenal pasti ialah pengasingan diri, ketiadaan pasangan hidup serta kesan urbanisasi yang menyebabkan hubungan kejiranan semakin renggang sehingga jiran tidak lagi mengenali antara satu sama lain.
Islam menekankan kepentingan amalan silaturahim, saling mengenali dan berbuat baik kepada masyarakat sekeliling, khususnya jiran tetangga kerana daripadanya lahir pelbagai hikmah yang mampu membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
Amalan berbuat baik serta bersikap prihatin terhadap semua manusia tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit telah lama dianjurkan dalam Islam kerana ia selari dengan objektif maqāṣid al-syariah dalam memelihara keharmonian dan kelestarian sosial.
Prinsip ini boleh dikaitkan secara langsung dengan fenomena kematian dalam kesunyian yang mencerminkan kewujudan jurang sosial dalam masyarakat, sehingga menyebabkan kurangnya keprihatinan terhadap keadaan sekeliling.
Sikap masyarakat masa kini yang cenderung berpegang kepada prinsip “tidak mahu menjaga tepi kain orang” wajar dinilai semula dengan memberikan tafsiran yang lebih positif terhadap konsep tersebut. Dalam erti kata lain, “menjaga tepi kain orang” boleh difahami sebagai sikap mengambil berat dan cakna terhadap kebajikan jiran tetangga.
Keprihatinan sosial seperti mengetahui keadaan jiran yang hidup bersendirian tanpa pasangan sama ada dalam kalangan warga emas mahupun golongan dewasa serta memastikan mereka tidak terpinggir daripada interaksi komuniti, perlu diberi perhatian yang serius. Pendekatan ini penting bagi mengelakkan berlakunya fenomena kodokushi (kematian dalam kesunyian) dalam masyarakat.
Selain itu, sikap saling menghormati dan bertegur sapa dalam kalangan individu serta masyarakat sekeliling, khususnya di kawasan kediaman, dapat memupuk nilai keprihatinan dan rasa tanggungjawab sosial terhadap keadaan individu lain.
Hal ini amat penting terutamanya bagi golongan warga emas yang hidup bersendirian dan menghidap penyakit tidak berjangkit (non-communicable diseases) seperti penyakit jantung, hipertensi dan diabetes.
Kajian turut menunjukkan bahawa selain faktor penyakit tidak berjangkit, tekanan emosi serta kesunyian akibat hidup bersendirian tanpa kehadiran pasangan atau anak-anak juga merupakan antara penyumbang utama kepada berlakunya fenomena kodokushi.
Justeru, aspek sokongan sosial dan interaksi komuniti perlu diperkukuh sebagai langkah pencegahan terhadap gejala tersebut.
Islam menekankan kepentingan menghormati serta mengasihi golongan dewasa, khususnya warga emas, sebagai sebahagian daripada asas pembinaan masyarakat yang beradab dan sejahtera. Prinsip ini dapat difahami melalui hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa seorang lelaki tua datang menemui Nabi SAW, lalu para sahabat melambatkan pergerakan mereka untuk memberi ruang kepadanya.
Baginda SAW kemudian bersabda yang bermaksud: “Bukanlah daripada golongan kami barang siapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa” (Hadis Riwayat Imam Tarmizi)
Hadis tersebut telah disyarahkan oleh Al-Munawi yang menjelaskan bahawa tuntutan berbuat baik dan menunjukkan kasih sayang terhadap golongan muda serta menghormati golongan dewasa bersifat timbal balik. Ia menuntut wujudnya hubungan saling mengambil berat dan memberi manfaat antara satu sama lain dalam kerangka kehidupan bermasyarakat.
Justeru, berdasarkan hadis tersebut dapat difahami bahawa Islam amat menggalakkan kehidupan secara kolektif yang berasaskan sikap saling menghormati dan mengambil berat antara satu sama lain demi kemaslahatan hidup manusia secara keseluruhannya.
Prinsip ini menegaskan bahawa kesejahteraan sosial tidak dapat dicapai tanpa wujudnya hubungan kemasyarakatan yang erat dan bertanggungjawab. Fenomena kematian dalam kesunyian tanpa pengetahuan masyarakat sekeliling dapat diminimumkan sekiranya budaya keprihatinan dan sikap saling mengambil berat dapat diperkasakan, khususnya dalam kalangan jiran tetangga.
Amalan ini bukan sahaja mampu mencegah pengasingan sosial, malah turut menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih sejahtera, harmoni dan berdaya tahan.

