Mencorak masa depan TH melalui solidariti ekonomi ummah
Kekuatan dana TH memerlukan sokongan berterusan daripada mereka yang mempunyai lebihan kecairan.

PENGUMUMAN agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 baru-baru ini disambut dengan penuh kelegaan oleh jutaan pendeposit di seluruh negara. Namun bagi para pemerhati ekonomi dan penganalisis kewangan Islam, angka 3.5 peratus itu hanyalah sebahagian kecil daripada sebuah naratif pemulihan yang jauh lebih besar.
Apa yang lebih penting untuk dicermati ialah kejayaan TH kembali membina rizab buat kali pertama dalam tempoh 3 tahun di samping mengekalkan kedudukan aset yang melebihi liabiliti secara tekal.
Perkembangan ini merupakan satu isyarat jelas bahawa fasa ‘rawatan kecemasan’ yang dilalui oleh TH sejak beberapa tahun lalu telah membuahkan hasil. Namun di sebalik kestabilan ini, timbul satu persoalan strategik yang lebih mendesak iaitu mampukah kekuatan fiskal ini diterjemahkan kepada aliran deposit yang lebih mampan serta kalis masa depan?
Membedah potensi cabaran sepuluh juta umat Islam
Apabila kita menekuni angka 9.7 juta pendeposit yang menerima agihan berjumlah RM3.22 bilion tahun ini, terdapat satu realiti demografi yang perlu diteliti dengan serius. Hakikatnya, 9.7 juta pendeposit tersebut hanyalah mewakili kira-kira separuh (53 peratus) daripada keseluruhan populasi Muslim di Malaysia yang dianggarkan seramai 18.5 juta orang berdasarkan unjuran populasi nasional terkini.
Hal ini bermakna terdapat pasaran terpendam (untapped market) hampir 10 juta umat Islam di Malaysia yang masih belum mempunyai akaun TH (atau tidak aktif menabung).
Sekiranya TH ingin kekal sebagai tonggak kewangan umat Islam, agenda peremajaan jenama (brand rejuvenation) merupakan satu keperluan strategik demi memperkukuh asas deposit bagi sebuah institusi yang menjadi nadi kepada ekosistem haji dan kestabilan sistem kewangan Islam negara.
Tanpa usaha agresif untuk menarik 10 juta individu ini terutamanya golongan profesional muda, TH berisiko berhadapan dengan masalah penuaan profil pendeposit (aging depositor profile) yang boleh menjejaskan kecairan jangka panjang TH.
Fardu kifayah dan tanggungjawab golongan berkemampuan
Satu aspek yang jarang dicermati dalam konteks simpanan TH adalah dimensi fardu kifayah yang melangkaui kepentingan peribadi. Cabaran TH tidak setakat terhenti pada usaha menyantuni pendeposit baharu tetapi juga memastikan pendeposit sedia ada, terutamanya mereka yang telah selesai menunaikan haji untuk terus mengekalkan simpanan mereka dalam jumlah yang signifikan.
Sekiranya TH hanya mengharapkan kekuatan deposit daripada mereka yang belum menunaikan haji yang secara puratanya sedang gigih menyimpan untuk mencukupkan belanja haji terkini sebanyak RM33,300, maka TH bakal berdepan dengan isu ‘kualiti’ dana.
Hal ini berpunca daripada kecenderungan pendeposit dalam kategori ini untuk mengeluarkan sebahagian besar simpanan mereka sebaik sahaja mereka berangkat ke Tanah Suci. Rentetan itu, peranan golongan kaya atau kategori T20 menjadi sangat kritikal untuk menjamin kelestarian tabung menerusi simpanan jangka panjang yang lebih stabil.
Kekuatan dana TH memerlukan sokongan berterusan daripada mereka yang mempunyai lebihan kecairan (excess liquidity). Falsafah ini sebenarnya mirip dengan ekosistem takaful di mana kelestarian tabung bergantung kepada penyertaan mereka yang ‘sihat’ untuk membantu mengekalkan manfaat bagi mereka yang memerlukan.
Apabila golongan berkemampuan mengekalkan simpanan yang besar di TH, dana tersebut dapat dilaburkan semula ke dalam instrumen yang memberikan pulangan stabil bagi menyokong pelbagai inisiatif bantuan haji serta agihan zakat kepada asnaf secara konsisten.
Mengekang aliran keluar bersih dalam dilema persaingan
Kita harus bersikap jujur dalam menilai landskap kewangan hari ini yang semakin mencabar. Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, menyuarakan kebimbangan mengenai arah aliran pengeluaran bersih (net outflow) yang mencecah purata RM1.2 bilion pada tahun 2025. Walaupun kedudukan kewangan TH semakin stabil, arah aliran pengeluaran yang melebihi simpanan baharu adalah isyarat awal yang tidak boleh dipandang enteng.
Dalam persekitaran kadar keuntungan yang dinamik, pendeposit kini lebih sofistikated dalam membandingkan pulangan TH dengan instrumen lain seperti unit amanah, simpanan tetap perbankan Islam, mahupun pelaburan emas.
Namun TH memiliki kelebihan kompetitif yang tidak mampu ditiru oleh mana-mana institusi kewangan komersial melalui saranan nilai unik (unique value proposition) yang menggabungkan simpanan patuh syariah yang telah dilunaskan zakatnya, pengurusan haji bertaraf dunia dan tanggungjawab sosial yang berpaksikan ummah.
Menyimpan di TH juga merupakan ‘tiket penyertaan’ dalam sebuah ekosistem kebajikan yang luas dan berimpak tinggi. Kekuatan TH menjalar jauh ke dalam nadi masyarakat melalui agihan zakat yang mencecah RM100 juta setahun kepada agensi zakat negeri.
Malah, entiti di bawah naungan TH seperti Bank Islam, Syarikat Takaful Malaysia, TH Properties dan lain-lain terus menyumbang secara tekal kepada pembangunan sosioekonomi melalui zakat perniagaan serta penyediaan peluang pekerjaan yang luas. Inilah kesan limpahan (spillover effect) yang membezakan TH daripada institusi kewangan komersial yang lain.
HAFIS dan kelestarian bantuan kewangan haji
Terdapat tanggapan yang kurang tepat dalam kalangan masyarakat bahawa Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) yang berjumlah kira-kira RM200 juta setahun merupakan subsidi langsung daripada kerajaan. Hakikatnya, HAFIS disokong sepenuhnya oleh keutuhan dana deposit dan keuntungan pelaburan TH sendiri secara mandiri.
Kelongsoran dalam aliran deposit baharu atau peningkatan berterusan pengeluaran bersih akan menyempitkan ruang bagi TH untuk mengekalkan bantuan kewangan buat jemaah kategori B40 dan M40 pada masa hadapan. Dalam erti kata lain, setiap ringgit yang dikekalkan oleh pendeposit, terutamanya mereka yang telah bergelar haji sebenarnya merupakan sumbangan langsung kepada kelestarian dana yang membolehkan jemaah lain menjejakkan kaki ke Baitullah.
Transformasi digital serta literasi kewangan masa depan
Langkah peremajaan jenama yang sedang giat dilaksanakan oleh pengurusan TH ketika ini wajar dilihat dalam kerangka yang lebih strategik dan menyeluruh. Pengenalan identiti visual yang lebih segar, cogan kata yang menyentuh sanubari seperti Labbaikallahumma Labbaik, serta pemerkasaan ekosistem digital melalui aplikasi THiJARI merupakan jambatan untuk merapatkan jurang dengan Generasi Z dan Milenial yang mendambakan kemudahan transaksi di hujung jari.
Justeru, inisiatif literasi kewangan seperti program ‘Cilik-Cilik Dah Celik’ dengan kerjasama AKPK berfungsi sebagai langkah proaktif dalam membina budaya menabung sejak awal usia. Usaha memupuk tabiat menyimpan dalam kalangan kanak-kanak bukan sahaja menjamin masa depan kewangan peribadi mereka, malah menjadi penentu kepada kelangsungan aliran deposit TH untuk dekad mendatang.
Ukuran kejayaan sebenar TH
Tuntasnya, agihan keuntungan 3.5 peratus bagi tahun 2025 adalah satu kejayaan yang wajar diraikan sebagai isyarat jelas berakhirnya fasa pemulihan asas bagi TH. Namun, bagi sebuah institusi yang memikul amanah besar umat, perjuangan yang lebih hakiki sebenarnya baru sahaja bermula.
Kayu ukur kejayaan TH selepas ini tidak lagi boleh disandarkan sepenuhnya kepada kadar agihan tahunan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai menerusi keupayaannya untuk mengekang pengeluaran bersih (net outflow), memperdalam budaya simpanan dalam kalangan umat Islam yang belum berdaftar serta membina rizab yang lebih teguh bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi global yang kian mencabar.
Sebagai simbol kedaulatan ekonomi umat Islam di Malaysia, kelestarian TH merupakan komitmen kolektif seluruh lapisan masyarakat untuk terus menyokong serta mempercayai institusi keramat ini demi kemaslahatan generasi akan datang.

