Mungkin juga kita yang prejudis terhadap mereka

Benarkah generasi muda hari ini lemah atau kita yang terlalu prejudis terhadap mereka?

Rendy Novantino - Unsplash

KEBELAKANGAN ini, sering kedengaran dakwaan bahawa generasi muda hari ini, termasuk pelajar, mahasiswa dan mereka yang baru melangkah ke alam pekerjaan dikatakan kurang berdikari dan cenderung mengajukan soalan tanpa terlebih dahulu berusaha mencari jawapan sendiri. Mereka dilihat mengharapkan jawapan segera, seolah-olah segala perkara perlu dihidang di depan mata.

Sebagai contoh, seorang mahasiswa sepatutnya mampu mendapatkan maklumat asas seperti alamat e-mel pensyarah yang lazimnya tersedia dalam laman sesawang fakulti, namun masih ada yang memilih untuk terus bertanya. Begitu juga apabila tugasan diberikan, maklumat seperti tarikh dan kaedah penghantaran telah dinyatakan dengan jelas melalui notis rasmi tetapi tetap ada pelajar yang menghubungi pensyarah untuk perkara yang telah dimaklumkan.

Sikap sebegini menimbulkan rasa kurang selesa, malah kadangkala kecewa dalam kalangan guru, pensyarah, majikan dan sesiapa sahaja yang berurusan dengan mereka. Mereka dianggap kurang peka, tidak berusaha dan terlalu bergantung kepada orang lain untuk mendapatkan maklumat. Hari ini, rasa kecewa ini tidak lagi terhad dalam perbualan tertutup, sebaliknya semakin terbuka diluahkan di media sosial sehingga terbentuk tanggapan umum bahawa generasi kini sedang mengalami kemerosotan.

Namun persoalannya, benarkah generasi muda hari ini lemah atau kita yang terlalu prejudis terhadap mereka? Sebagai seorang pendidik yang berhadapan secara langsung dengan generasi muda, tidak dinafikan bahawa perubahan tingkah laku ini sememangnya wujud. Namun, perubahan ini wajar dilihat dalam konteks yang lebih luas, bukan sekadar sebagai kelemahan yang perlu dihukum.

Perubahan ini sebahagiannya mungkin dipacu oleh kemudahan teknologi. Jika dahulu, pelajar akan berfikir dua kali sebelum menghubungi pensyarah kerana keterbatasan akses dan kos komunikasi, hari ini segala bentuk interaksi menjadi terlalu mudah.

Melalui WhatsApp, Telegram, Microsoft Teams dan pelbagai platform lain, mesej boleh dihantar bukan sahaja tanpa sebarang kos, malah tanpa batas waktu yang jelas. Kemudahan ini memang memudahkan urusan tetapi dalam masa yang sama ia telah membentuk satu tabiat baharu iaitu kecenderungan untuk mendapatkan jawapan dengan segera tanpa melalui proses mencari dan memahami terlebih dahulu.

Ironinya, keadaan ini berlaku dalam zaman di mana maklumat sebenarnya berada di hujung jari. Dengan kewujudan enjin carian, dan kini diperkukuh lagi dengan ledakan kecerdasan buatan, pelajar mempunyai akses kepada sumber yang jauh lebih luas dan pantas berbanding generasi terdahulu.

Secara logiknya, keupayaan untuk mencari maklumat sepatutnya menjadi lebih baik. Namun realitinya, kemudahan ini tidak semestinya mendorong usaha, sebaliknya dalam sesetengah keadaan, ia menjadikan proses bertanya lebih dominan daripada proses mencari.

Walau bagaimanapun, adalah tidak adil untuk menilai fenomena ini sebagai kegagalan keseluruhan generasi. Generasi terdahulu juga tidak sunyi daripada kelompok yang mengambil jalan mudah, bertanya tanpa usaha atau bergantung kepada orang lain. Bezanya, kelompok ini tidak menonjol.

Dalam lingkaran pengalaman kita sendiri, kita mungkin tidak banyak berinteraksi dengan mereka, dan tanpa kehadiran media sosial, tingkah laku sebegini tidak tersebar luas untuk membentuk persepsi umum. Apa yang dulunya sekadar perbualan dalam kelompok kecil, kini menjadi naratif besar yang seolah-olah mewakili keseluruhan generasi.

Namun, jika dilihat dari sudut yang berbeza, kecenderungan untuk bertanya ini tidak semestinya membawa makna negatif sepenuhnya. Dalam banyak keadaan, sikap ingin mendapatkan kepastian secara terus sebenarnya membantu menjelaskan sesuatu perkara dengan lebih tepat dan menepati kehendak pihak yang dirujuk.

Keinginan untuk mendapatkan jawapan dengan segera, jika dilihat dalam lensa yang lebih positif, boleh menyumbang kepada kecekapan dalam melaksanakan sesuatu tugasan, khususnya dalam persekitaran yang menuntut kepantasan dan ketepatan.

Cuma, apabila kecenderungan ini tidak disertai dengan usaha awal untuk mencari dan memahami maklumat, ia mula kehilangan nilainya. Apabila semua perkara, termasuk yang asas, diserahkan kepada orang lain untuk dijawab, di situlah timbulnya persoalan tentang tahap kebergantungan dan keupayaan berdikari.

Pada masa sama, tidak dapat dinafikan bahawa generasi hari ini membawa kelebihan yang tersendiri. Mereka lebih cekap mengendalikan teknologi, pantas menyesuaikan diri dengan perubahan, dan mempunyai keupayaan untuk mengakses serta memproses maklumat dengan kelajuan yang tinggi.

Jika kecenderungan untuk bertanya ini dapat diseimbangkan dengan disiplin mencari dan menilai maklumat secara kendiri, ia berpotensi melahirkan individu yang bukan sahaja cekap, tetapi juga matang dalam membuat pertimbangan dan keputusan.

Di sinilah letaknya peranan kita selaku golongan yang lebih berpengalaman, sama ada guru, pensyarah, majikan atau rakan sekerja yang lebih senior, untuk membimbing generasi muda. Bukan sekadar mengeluh dan mengecam kerana ia tidak akan menyelesaikan apa-apa.

Bimbing mereka bukan dengan terus memberikan jawapan, sebaliknya mendidik cara untuk mendapatkan jawapan. Proses ini menuntut kesabaran dan ketegasan yang seimbang, agar mereka tidak terus bergantung, tetapi dalam masa yang sama tidak hilang keyakinan untuk bertanya apabila perlu.

Lebih menarik lagi, fenomena ini membuka ruang untuk refleksi yang lebih mendalam tentang cara kita menilai perubahan generasi. Adakah kita terlalu cepat menghakimi? Adakah kita menilai generasi muda hari ini dengan ukuran generasi terdahulu, tanpa menyedari bahawa dunia telah berubah, termasuk dari segi kemudahan akses maklumat dan budaya komunikasi? Sering kali, kita menganggap cara kita dahulu sebagai standard universal, sedangkan realitinya setiap generasi membesar dalam konteks yang tersendiri.

Akhirnya, persoalan tentang generasi muda bukan sekadar tentang siapa yang lebih baik antara dahulu dan sekarang. Ia adalah tentang bagaimana kita memahami perubahan dan bagaimana kita memilih untuk bertindak balas terhadapnya. Jika kita terlalu cepat menghukum, kita mungkin hanya mengulangi rungutan yang sama tanpa membawa perubahan. Namun, jika kita memilih untuk memahami dan membimbing, kita sebenarnya sedang membentuk generasi yang lebih bersedia menghadapi dunia yang semakin kompleks.