Budi dalam bicara, hormat dalam kerja
Perlu berhati-hati dalam berkata, kerana kata yang salah boleh mencalar serta mengguris semangat orang lain.

DALAM dunia kerja hari ini, komunikasi bukan sekadar menyampaikan maklumat. Ia adalah cerminan siapa kita, bagaimana kita berfikir dan sejauh mana kita menghormati orang di sekeliling.
Malangnya, banyak salah faham dan ketegangan di tempat kerja bermula bukan kerana isu besar tetapi kerana cara berkomunikasi yang kurang beradab. Nada mesej yang salah, teguran yang kasar atau kata-kata yang disampaikan tanpa empati, semuanya boleh meretakkan hubungan kerja yang baik.
Ibarat kata pepatah “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Maka, perlu berhati-hati dalam berkata, kerana kata yang salah boleh mencalar serta mengguris semangat orang lain.
Dalam sesebuah organisasi, bahasa ialah cermin budaya. Jika ketua berbicara dengan sopan, pasukannya akan mencontohi. Jika pemimpin suka meninggikan suara atau menyindir staf di khalayak, budaya takut dan bisu akan menular. Komunikasi yang baik bukan sekadar memudahkan kerja tetapi menguatkan hubungan. Bila seseorang itu merasa dihargai, dia akan memberi lebih daripada yang diminta. Sebaliknya, bila dia terasa diperlekeh, semangatnya akan hilang, ibarat “biar lidah lembut berkata, jangan hati keras merasa”.
Pemimpin yang baik tidak hanya bijak memberi arahan tetapi tahu bila perlu mendengar. Kadang-kadang, staf tidak mahu membantah, mereka cuma mahu difahami. Dalam memimpin, kelembutan bukan tanda lemah, ia tanda kebijaksanaan. Boleh bertegas, tapi mesti berhemah. Kata pepatah, “air yang tenang jangan disangka tiada buaya”. Orang yang tenang itulah selalunya yang paling banyak berfikir sebelum bertindak.
Apabila ketua menegur dengan beradab, staf akan belajar menghormati. Bila ketua mampu berdiam sebelum menghakimi, staf akan lebih berani bersuara dengan jujur.
Budaya saling menghormati tidak terbina dalam sehari. Ia tumbuh daripada kebiasaan cara kita menulis mesej, memberi maklum balas dan melayan rakan sekerja. Hormat bukan hanya kepada yang berpangkat tinggi tetapi kepada semua yang menyumbang, daripada pengawal keselamatan hingga ke pengurus besar.
Apabila setiap individu dilayan dengan maruah, organisasi akan jadi lebih kukuh. “Bersatu teguh, bercerai roboh”. Begitu juga dengan hubungan kerja yang dibina atas dasar budi dan hormat.
Komunikasi yang berhemah tidak memerlukan tenaga besar. Ia hanya memerlukan hati yang ikhlas dan lidah yang dijaga. Pemimpin yang baik tahu bahawa kata-kata boleh menjadi ubat dan juga racun. Pilihan ada di tangan kita sama ada mahu menyembuh atau mahu melukakan.
Justeru, jagalah budi dalam bicara dan hormat dalam kerja. Kerana daripada kata lahirnya rasa, dan daripada rasa lahirlah budaya; iaitu budaya kerja yang saling menghormati, harmoni dan penuh insan.

